SMC Punggol West yang baru jadi rebutan PAP, WP
Anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) Sun Xueling akan dicabar anggota Parti Pekerja (WP) Tan Chen Chen untuk merebut kawasan undi perseorangan (SMC) Punggol West yang baru.
SINGAPURA: Anggota Parti Tindakan Rakyat (PAP) Sun Xueling akan dicabar anggota Parti Pekerja (WP) Tan Chen Chen untuk merebut kawasan undi perseorangan (SMC) Punggol West yang baru.
Cik Sun, 41 tahun, yang juga Setiausaha Parlimen Kanan Menteri Ehwal Dalam Negeri merangkap Pembangunan Negara, memimpin kawasan undi itu ketika ia di bawah GRC Pasir Ris-Punggol. SMC tersebut dikeluarkan daripada GRC itu awal tahun ini. Cik Sun sudah menjadi seorang Anggota Parlimen sejak 2015.
"Saya sudah berkhidmat dengan setia bersama anda selama lima tahun lalu, berjumpa ramai daripada anda dan melihat anak-anak anda membesar," kata Cik Sun.
“Ada banyak rancangan menarik untuk Punggol dan saya berharap dapat bekerjasama dengan anda serta pasukan Pasir Ris-Punggol untuk mewujudkan tempat tinggal lebih bermakna untuk semua."
Pencabarnya, Cik Tan, 38 tahun, seorang pentadbir kontrak, bertanding buat pertama kali dalam Pilihan Raya Umum.
Beliau menjadi sukarela WP sejak 2015 dan bergiat aktif di GRC Aljunied di divisyen Bedok Reservoir-Punggol di bawah pimpinan Encik Low Thia Khiang.
“Saya akan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat sepenuh hati kepada anda. Tolong undi Parti Pekerja. Jadikan undi anda bermakna," kata Cik Tan.
Barisan parti itu disahkan di akhir prosiding penamaan calon di pusat penamaan calon, Sekolah Rendah St Anthony’s Canossian.
Parti Suara Rakyat (PV) sebelum ini menyatakan ia akan bertanding di SMC itu tetapi tidak meletakkan mana-mana calon untuk kawasan tersebut pada hari penamaan calon.
Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.