Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siaran Politik Parti: Undilah dengan cara 'papar rasa kecewa', kata Kenneth Jeyaretnam

Parti Reform (RP) pada Khamis (9 Jul) menggesa rakyat Singapura supaya mengundi "dengan cara yang memaparkan kekecewaan" mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Siaran Politik Parti: Undilah dengan cara 'papar rasa kecewa', kata Kenneth Jeyaretnam

Encik Kenneth Jeyaretnam sampaikan Siaran Politik Parti Reform pada 9 Jul 2020

Diterbitkan : 09 Jul 2020 10:20PM Dikemas Kini : 10 Jul 2020 12:18AM

SINGAPURA: Parti Reform (RP) pada Khamis (9 Jul) menggesa rakyat Singapura supaya mengundi "dengan cara yang memaparkan kekecewaan" mereka.

Setiausaha Agung RP Kenneth Jeyaretnam berkata demikian semasa menyampaikan ucapan bagi siaran politik parti yang turut menekankan bahawa usaha memerangi COVID-19 dan "krisis ekonomi terburuk sejak kemerdekaan" adalah isu-isu paling besar yang bermain dalam benak fikiran rakyat Singapura sekarang.

Parti itu bertanding di GRC Ang Mo Kio dan SMC Radin Mas bagi Pilihan Raya Umum kali ini.

"Kita semua sedang mengharunginya, tetapi penderitaan akibat kesilapan Parti Tindakan Rakyat ini tidak sama rata," tegas Encik Jeyaretnam, yang merakam ucapannya dari sebuah hotel di mana beliau sedang menjalani notis jangan keluar rumah.

Merujuk kepada slogan RP untuk "membangunkan semula dengan lebih baik, lebih adil", Encik Jeyaretnam berkata "kita perlu membina semula dengan cara yang lebih baik dan lebih adil bagi semua rakyat Singapura" selepas COVID-19.

Ini termasuk rakyat Singapura dari "golongan berpendapatan paling rendah" hingga ke usahawan dan pemilik perniagaan kecil yang terjejas teruk akibat kemelesetan ekonomi dan golongan pertengahan yang "tersepit".

"Respons PAP adalah setakat untuk membuat sedikit perubahan saja, sekadar skim-skim dan langkah-langkah tetapi pakejnya tidak jauh berbeza daripada belanjawan sedia ada," kata Encik Jeyaretnam.

Ini hanya akan "melengahkan kesulitan ke suatu ketika pada masa akan datang" dan tidak menangani cabaran kelembapan ekonomi dan kesan negatif globalisasi, katanya.

"TIDAK HAIRANLAH JIKA ANDA RASA MARAH"

Menurut Encik Jeyaretnam, calon-calon parti itu - dirinya sendiri, Encik Andy Zhu, Cik Noraini Yunus, Encik Darren Soh, Encik Kumar Appavoo dan Encik Charles Yeo yang bertanding buat kali pertama - mencintai Singapura dan "sangat prihatin" terhadap para pengundi.

Menurut beliau lagi, ia menjadi satu 'penghornatan' untuk berbual-bual dan beramah mesra dengan penduduk, sambil mendengar tentang kekecewaan mereka, cabaran dan "bahkan kemarahan" mereka.

"Estet anda sudah matang dan baru-baru ini anda mendapati bahawa flat anda bukan aset yang meningkat nilainya seperti yang dijanjikan tetapi sebaliknya kian berkurangan nilainya dan kembali menjadi sifar. Golongan elit pula mewarisi harta yang anda tidak akan dapat kecapi," kata Encik Jeyaretnam. "Tidak hairanlah jika anda rasa marah."

Beliau berkata para Anggota Parlimen (AP) "kerap menghilang dan sempadan Ang Mo Kio sekali lagi dimanipulasi", dan ia adalah "GRC terbesar di Singapura" dengan kekurangan seorang AP untuk mewakilinya.

"Tidak hairanlah jika anda rasa marah," tegas Encik Jeyaretnam, sambil menambah bahawa ramai orang kehilangan pekerjaan dan skim yang diusulkan Pemerintah "sukar diakses dan bukan apa yang anda perlukan".

"Anda masih tidak dapat mengakses CPF anda pada usia 55 tahun. Tidak hairanlah jika anda rasa marah," katanya.

Beliau menambah bahawa RP adalah "parti yang diyakini", sambil menarik perhatian bahawa pengurus Majlis Bandaran Ang Mo Kio yang laly sudah dihukum penjara kerana rasuah, sedangkan partinya cuba "menegakkan ketelusan dan kebertanggungjawapan".

"Tidak hairanlah jika anda rasa marah dan bimbang tetapi sekarang mereka boleh dipertanggungjawabkan menerusi undi anda yang positif dan membina," kata Encik Jeyaretnam.

"Anda boleh bersikap patriotik dan mengundi dengan cara yang akan memaparkan kekecewaan anda yang sebenar terhadap prestasi PAP supaya mereka akan berusaha lebih gigih pada masa akan datang."

Beliau turut menggesa para pengundi supaya memilih calon-calon dari partinya, sambil menambah bahawa "adalah penting untuk memilih Parti Reform jika mahukan kekecewaan mereka disuarakan".


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan