Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siaran Politik Parti: Spencer Ng berikrar calon NSP jadi AP sepenuh masa jika dipilih

Para calon dari Parti Perpaduan Nasional (NSP) akan berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) sepenuh masa sekiranya mereka menang Pilihan Raya Umum 2020, kata setiausaha agung parti itu, Encik Spencer Ng dalam siaran politik parti pada Khamis (9 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Siaran Politik Parti: Spencer Ng berikrar calon NSP jadi AP sepenuh masa jika dipilih

Setiausaha Agung Parti Perpaduan Nasional Spencer Ng semasa Siaran Politik Parti 9 Jul 2020

Diterbitkan : 09 Jul 2020 11:04PM Dikemas Kini : 10 Jul 2020 12:17AM

SINGAPURA: Para calon dari Parti Perpaduan Nasional (NSP) akan berkhidmat sebagai Anggota Parlimen (AP) sepenuh masa sekiranya mereka menang Pilihan Raya Umum 2020, kata setiausaha agung parti itu, Encik Spencer Ng dalam siaran politik parti pada Khamis (9 Jul).

Dalam ucapannya, Encik Ng juga berkata para pengundi akan mendapat AP NSP yang mempunyai kepakaran dalam menguruskan majlis bandaran dan berupaya mewakili kepentingan penduduk di Parlimen.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada para penduduk sepanjang tempoh berkempen, sambil menambah bahawa sokongan mereka menguatkan "tekad NSP untuk meneruskan perjuangan ini demi menegakkan keadilan dan kebertanggungjawapan di Parlimen".

"Tetapi apakah sebenarnya yang anda mengundi bagi Pilihan Raya Umum kali ini?" tanya beliau.

"Sekiranya anda memilih calon PAP (Parti Tindakan Rakyat), mereka tidak akan mengatakan tidak terhadap dasar-dasar yang akan membebankan anda - dasar seperti GST 9 peratus (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) dan flat HDB (Lembaga Perumahan dan Pembangunan) yang semakin mahal," kata beliau.

"Mereka tidak akan memperjuangkan kepentingan anda, setakat tunduk kepada whip parti mereka. Mereka setakat 'pak turut' saja."

Encik Ng juga menyentuh tentang kemungkinan Singapura kehilangan "menteri-menteri berharga" jika mereka diundi keluar, menarik perhatian kepada dua individu - Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli dan Menteri Pendidikan Ong Ye Kung.

"(Encik Masagos) mengisytiharkan pada 2017 bahawa kenaikan 30 peratus cukai air setelah GE2015 adalah untuk membolehkan para pengguna merasakan harga penuh air," kata Encik Ng.

"(Encik Ong) pula bertegas untuk mengenakan yuran letak kereta di sekolah bagi guru yang banyak menghabiskan wang mereka sendiri dan masa keluarga yang berharga demi kepentingan pelajar mereka," katanya, sambil menambah bahawa kompas moral PAP adalah "wang mendahului segalanya" .

"Jadi saya katakan, ayuh kita pilih menteri yang lebih baik untuk kedua-dua kementerian ini dalam pemerintah seterusnya," katanya.

Selain itu, calon-calon PAP adalah "AP sambilan" yang "bergantung kepada ejen pengurusan luar untuk mengendalikan majlis bandaran anda", kata Encik Ng.

"Oleh itu, marilah kita menolak tanggapan bahawa hanya PAP saja yang tahu bagaimana untuk mengendalikan sesebuah majlis bandaran," katanya.

Encik Ng turut menyenaraikan perkara-perkara yang akan diperolehi para pengundi jika mereka memilih para calon NSP sebagai AP.

"Ia menjadi bertambah manis jika kami mewakili anda di Parlimen untuk membahaskan dasar-dasar yang pada asasnya tidak bernas atau tidak adil kepada anda," katanya, sambil menambah bahawa penduduk juga akan mendapat "penasihat akar umbi PA (Persatuan Rakyat) yang lebih responsif di kawasan undi anda".

NSP membariskan 10 calon untuk bertanding di GRC Sembawang dan GRC Tampines.

“Bagi penduduk GRC Sembawang dan GRC Tampines, suara anda mempunyai kuasa. Anda boleh memutuskan untuk memberikan cek kosong kepada PAP selama lima tahun lagi atau pemerintah yang lebih peka dan bersikap bertanggungjawab,” kata Encik Ng.

"Negara kita memerlukan Parlimen yang luas dan rencam dengan anggotanya menitikberatkan keperluan rakyatnya dan masa depan negara kita serta bersikap bertanggungjawab. Politik bukan hanya untuk ahli politik. Ia untuk setiap rakyat. Oleh itu, manfaatkanlah sebaik-baiknya undi anda. "


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan