Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siaran Politik Parti: 'Setiap undi penting' bagi 'pilihan raya kritikal kali ini', tegas PM Lee

Setiap undi penting dengan rakyat Singapura keluar mengundi pada Jumaat (10 Jul), menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang turut menyifatkan Pilihan Raya Umum 2020 sebagai 'pilihan raya kritikal' di tengah-tengah 'krisis segenerasi' iaitu COVID-19.

Anggaran Waktu Membaca:
Siaran Politik Parti: 'Setiap undi penting' bagi 'pilihan raya kritikal kali ini', tegas PM Lee

Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyampaikan Siaran Politik PAP pada 9 Jul 2020

Diterbitkan : 10 Jul 2020 12:50AM Dikemas Kini : 10 Jul 2020 12:54AM

SINGAPURA: Setiap undi penting dengan rakyat Singapura keluar mengundi pada Jumaat (10 Jul), menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong yang turut menyifatkan Pilihan Raya Umum 2020 sebagai 'pilihan raya kritikal' di tengah-tengah 'krisis segenerasi' iaitu COVID-19.

"PAP akan melakukan yang terbaik tetapi kami tidak boleh melakukannya seorang diri," kata Encik Lee, setiausaha agung PAP semasa menyampaikan ucapan bagi siaran politik parti pada malam ini (10 Jul).

"Bagi pilihan raya yang kritikal seperti ini, setiap undi penting. Kami memerlukan sokongan setiap rakyat Singapura. Bukan setakat memberikan mandat yang kukuh, tetapi juga untuk memperkasakannya agar dapat bertindak dengan tegas bagi pihak anda dan membawa negara ini ke peringkat yang lebih tinggi."

Encik Lee sekali lagi menekankan bahawa Pilihan Raya Umum kali ini 'tidak seperti yang pernah dialami dalam sejarah kita' sedang COVID-19 terus merebak dengan pantas di seluruh dunia.

"Ekonomi kita terjejas teruk, meskipun kesan sepenuhnya masih belum diketahui dan belum berakhir lagi," kata Encik Lee.

"Kita memerlukan Pemerintah yang kukuh dan berkeupayaan. Bukan setakat untuk mengambil tindakan tegas bagi mencegah satu lagi penularan besar-besaran tetapi juga untuk menyelamatkan perniagaan dan pekerjaan, yang menjadi keutamaan setiap rakyat negara ini."

Menurut PM Lee, PAP mempunyai "pelan kukuh dan idea-idea yang bernas" untuk mencapai matlamatnya dan atas sebab itulah ia memerlukan mandat yang kukuh daripada rakyat Singapura untuk melaksanakan pelan tersebut.

MENYELAMATKAN PEKERJAAN

Pemerintah, menurut PM Lee, sedang melakukan segala-galanya untuk menyelamatkan pekerjaan yang menurut beliau lagi adalah "keutamaan nombor satu".

Sebagai contoh, Skim Bantuan Pekerjaan yang membantu syarikat-syarikat perusahaan terus menggajikan pekerja rakyat tempatan, dengan pinjaman dan pengecualian sewa turut membantu syarikat-syarikat, khususnya syarikat-syarikat kecil dan sederhana untuk terus bertahan dan menguruskan aliran tunai.

"Sejauh ini, langkah-langkah ini dan inisiatif-inisiatif lain berhasil membantu memastikan pekerja kita dapat terus bekerja dan mengelakkan pemberhentian pekerja," kata Perdana Menteri.

Sungguhpun demikian, ia memerlukan masa untuk memulihkan ekonomi Singapura dan PM Lee turut memberi amaran kepada rakyat Singapura supaya menjangkakan lebih banyak kehilangan pekerjaan dengan kemelesetan global diramal berlarutan selama beberapa bulan akan datang.

"Kami tidak mungkin dapat menyelamatkan setiap pekerjaan, tetapi kami akan membantu setiap pekerja," kata PM Lee. "Bagi mereka yang terjejas, mereka sudahpun menerima sokongan Pemerintah."

PM Lee turut menarik perhatian kepada Geran Sokongan COVID-19 bagi mereka yang menyaksikan kemerosotan ketara pada pendapatan mereka dan juga Skim Pelepasan Pendapatan bagi Individu yang Bekerja Sendiri (SIRS) bagi golongan yang bekerja sendiri atau para pekerja bebas.

"Buat masa ini, inisiatif-inisiatif ini dan skim-skim lain akan dapat membantu para pekerja kita dan membantu anda memenuhi keperluan harian anda sedang kita bangkit lebih teguh daripada krisis ini," kata PM Lee.

MEWUJUDKAN PEKERJAAN

Bagi pekerja yang kehilangan pekerjaan, Pemerintah yang diterajui PAP kata PM Lee, akan berusaha sedaya upaya untuk membantu mencari pekerjaan baru untuk mereka.

Pemerintah sedang menubuhkan pusat kerjaya satelit di setiap bandar untuk menganjurkan pameran kerjaya dan menawarkan khidmat memadankan kerjaya, dengan lapan pusat sudahpun beroperasi sepenuhnya.

Di samping itu, Pemerintah PAP juga merancang untuk mewujudkan peluang baru dalam bentuk 100,000 pekerjaan baru dan tempat latihan pada tahun depan, tiga kali ganda lebih tinggi berbanding perangkaan biasa.

Ini termasuk 15,000 pekerjaan dalam sektor awam dan program pelatih yang disasarkan kepada pekerja yang berusia 40-an dan 50-an tahun dan juga graduan baru yang sedang memasuki 'pasaran pekerjaan yang mencabar," katanya lagi.

"Tidak mudah untuk mewujudkan pekerjaan baru dalam kegawatan ekonomi seperti ini, tetapi kami bertekad untuk melakukannya," tambah PM Lee.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/AW/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan