Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siaran Politik Parti: SDP ketengahkan kertas dasar, rancangan komprehensif majlis bandaran bagi 'pilihan raya kritikal'

Dalam siaran politik parti yang disiarkan pada Khamis (9 Jul), Parti Demokratik Singapura (SDP) mengetengahkan kertas dasarnya mengenai isu-isu seperti perumahan dan jagaan kesihatan, dan menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai "kritikal" bagi "masa depan anak-anak dan cucu-cucu kita”.

Anggaran Waktu Membaca:
Siaran Politik Parti: SDP ketengahkan kertas dasar, rancangan komprehensif majlis bandaran bagi 'pilihan raya kritikal'

Dr Paul Tambyah sampaikan siaran politik Parti Demokratik Singapura pada 9 Jul 2020

Diterbitkan : 10 Jul 2020 01:54AM Dikemas Kini : 10 Jul 2020 02:04AM

SINGAPURA: Dalam siaran politik parti yang disiarkan pada Khamis (9 Jul), Parti Demokratik Singapura (SDP) mengetengahkan kertas dasarnya mengenai isu-isu seperti perumahan dan jagaan kesihatan, dan menyifatkan pilihan raya kali ini sebagai "kritikal" bagi "masa depan anak-anak dan cucu-cucu kita”.

Bercakap bagi pihak parti itu, pengerusinya Paul Ananth Tambyah berkata keputusan untuk mengadakan pilihan raya umum di tengah-tengah pandemik adalah 'keputusan yang tidak menghiraukan akibatnya dan mengambil kesempatan' pada pandangan ramai pakar.

Beliau berkata kempen Parti Tindakan Rakyat (PAP) "kelihatan tertumpu kepada taktik lama yang berniat untuk menakut-nakutkan dan merosakkan nama baik tanpa sebarang idea baru untuk berdepan dengan dunia yang sudah berubah secara drastik".

SDP bertanding di SMC Bukit Batok, SMC Bukit Panjang, SMC Yuhua, GRC Holland-Bukit Timah dan GRC Marsiling-Yew Tee.

Menurut Dr Tambyah, beliau dulu sering tertanya-tanya "mengapa PAP begitu takut" dengan setiausaha agung SDP Chee Soon Juan sehingga beliau membaca biografi Encik Goh Chok Tong, Tall Order.

Menukil petikan daripada buku itu, Dr Tambyah berkata: "Encik Lee Kuan Yew gemar sekali mengatakan 'bahawa tanpa GRC, Teo Chee Hean sendiri, bertanding di kawasan undi perseorangan, mungkin tidak akan menang apabila berdepan dengan seseorang seperti Chee Soon Juan'."

"Banyak yang boleh dirumuskan," kata Dr Tambyah.

Merujuk kepada "isu 10 juta penduduk yang hangat dibahaskan", Dr Tambyah menggesa rakyat Singapura "supaya jangan mempercayai SDP atau PAP" tetapi sebaliknya membaca rencana Straits Times dan membuat kesimpulan mereka sendiri.

Pilihan raya kali ini adalah "pilihan raya kritikal mengenai masa depan anak dan cucu kita", kata Dr Tambyah.

Beliau turut menekankan slogan SDP "Empat Ya, Satu Tidak", yang merangkumi gesaan untuk menangguhkan GST hingga hujung 2021, melaksanakan rancangan insurans pemberhentian pekerja dan memperkenalkan pendapatan persaraan untuk warga tua berpendapatan rendah.

"LEBIH BAIK BERI WANG KEPADA RAKYAT"

Dr Tambyah juga merujuk kepada "kertas dasar komprehensif" parti itu yang merangkumi perumahan, jagaan kesihatan, penduduk, pendidikan dan perubahan iklim, dengan menegaskan bahawa semua itu mempunyai tujuan sama iaitu mengutamakan rakyat.

Dr Tambyah berkata rancangan SDP akan dibiayai dengan menggunakan "sedikit lagi daripada pulangan pendapatan pelaburan", dan tidak perlu menggunakan rizab negara.

"Seorang warga emas dengan S$500 atau seorang ibu tunggal yang diberhentikan kerja dengan bantuan S$1,500 lebih berkemungkinan membelanjakan wang itu untuk membeli makanan atau berbelanja di kedai kawasan kejiranan berbanding seorang hartawan yang menyimpan berjuta-juta dolar di Kepulauan Cayman," katanya.

Beliau menambah bahawa "ia jauh lebih baik untuk memberikan wang tunai kepada rakyat negara ini daripada diberikan kepada syarikat-syarikat sambil berharap sebahagian daripada bantuan itu akan menolong kita semua".

Dr Tambyah juga menyentuh tentang "rancangan komprehensif majlis bandaran" SDP, yang akan memastikan "peralihan yang lancar sekiranya kami dipilih", dengan "perakaunan yang telus dan tidak ada lagi syarikat S$2 yang terlibat dalam proses itu".

Beliau berkata parti itu akan menguruskan majlis bandaran tanpa kos tambahan yang dikenakan oleh ejen pengurusan. Beliau turut menyenaraikan masalah yang dikhuatiri penduduk, termasuk keselamatan kebakaran, peningkatan lif yang tertunggak, bahaya trafik, pencemaran bunyi bising, serta kekurangan pusat jagaan anak dan bayi.

"SDP berjanji para AP kami akan bekerja keras demi kebaikan rakyat," kata Dr Tambyah. "Marilah kita sama-sama membangunkan masyarakat yang demokratik berdasarkan keadilan dan kesaksamaan. Majulah Singapura. Terima kasih."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan