Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siaran Politik Parti: Lim Tean ikrar tegakkan kebertanggungjawaban, ketelusan dalam Parlimen

Parti Suara Rakyat (PV) mahukan Parlimen yang bersikap "bertanggungjawab dan telus', kata ketua partinya Lim Tean dalam siaran politik parti itu pada Khamis (9 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Siaran Politik Parti: Lim Tean ikrar tegakkan kebertanggungjawaban, ketelusan dalam Parlimen

Encik Lim Tean sampaikan Siaran Politik Parti Suara Rakyat pada 9 Jul 2020

Diterbitkan : 10 Jul 2020 12:12AM Dikemas Kini : 10 Jul 2020 12:15AM

SINGAPURA: Parti Suara Rakyat (PV) mahukan Parlimen yang bersikap "bertanggungjawab dan telus', kata ketua partinya Lim Tean dalam siaran politik parti itu pada Khamis (9 Jul).

Menurut Encik Lim, Pilihan Raya Umum kali ini "diadakan lebih awal" oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang memerintah dan alasan untuk mengadakannya di tengah-tengah pandemik COVID-19 ketika jumlah kes harian kekal pada paras tiga angka 'tidak boleh dimaafkan'.

Tempoh berkempen selama hanya sembilan hari juga merupakan "tempoh berkempen yang paling singkat dalam dunia yang demokratik", katanya.

"Tempoh berkempen sudah berakhir dan masa depan Singapura kini terletak di tangan anda," katanya.

"Adakah kita di ambang tempoh lima tahun lagi yang hanya akan menguntungkan segelintir golongan istimewa dan di mana ramai akan melihat kemerosotan yang semakin ketara pada taraf kehidupan mereka, dan musnahnya impian mereka untuk diri mereka sendiri dan generasi seterusnya?"

Beliau menambah: "CPF (Tabung Simpanan Pekerja) anda semakin jauh dari genggaman anda, nilai pajakan HDB (Lembaga Perumahan dan Pembangunan) semakin merosot, kos perbekalan awam semakin meningkat, tambang pengangkutan awam juga meningkat, lagi 2 peratus ditambah pada GST (Cukai Barangan dan Perkhidmatan) anda, rekod perubatan anda digodam, peningkatan berterusan pada jumlah warga asing dan tentu saja, lebih banyak isu seperti dormitori pekerja asing baru-baru ini yang menyebabkan kita menyaksikan 45,000 jangkitan COVID-19. "

Tiada pemerintah yang sempurna, kata Encik Lim, sambil menambah bahawa semua pemerintah, kementerian dan jabatan melakukan kesilapan dan menanggung padahnya.

"Tapi tahukah anda apa yang unik tentang Pemerintah PAP ini? Tiada seorang pun yang memohon maaf, tiada seorang pun yang meletak jawatan atau mengundurkan diri, tiada kebertanggungjawaban sama sekali. Sifar, ”katanya.

Encik Lim mendakwa PAP mengamalkan "budaya yang tidak mahu dipertanggungjawabkan' tetapi dibayar gaji tertinggi di dunia.

"Apabila menyentuh tentang kebertanggungjawaban dan ketelusan, rakyat Singapura belum lagi mendapatkannya daripada Pemerintah PAP sekarang," katanya.

"Suara Rakyat akan membawa kebertanggungjawaban dan ketelusan secara tegas ke Parlimen, tidak gentar mengemukakan soalan sukar yang menuntut PAP memperjelaskan idea dan rancangan dasar mereka."

Beliau juga mendakwa bahawa parti pemerintah mahukan pengundi percaya bahawa "Singapura dapat berjalan lancar disebabkan oleh sistem PAP" dan negara ini selamat, aman dan sihat hanya kerana pekerjaan dilakukan mengikut cara PAP”.

"Ini tidak benar dan ini sikap sombong," katanya.

Encik Lim berkata: “Dengan memilih PAP, ini bermakna lagi lima tahun yang sama dengan yang lima tahun yang lalu tanpa kebertanggungjawaban, tanpa ketelusan. Hanya banyak ketidaksamarataan, pengangguran dan imigresen. "

Jika memilih PV pula, ia akan memastikan kepentingan rakyat akan diutamakan demi menjadikan Singapura sebagai kediaman kita sekali lagi," tambah beliau.

"Sudah tiba masanya untuk kita menebus maruah kita, negara kita, masa depan kita!"

Parti Suara Rakyat bertanding bagi merebut 10 kerusi parlimen di dua GRC - Jalan Besar dan Pasir Ris-Punggol - serta SMC Mountbatten.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan