Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siaran Politik Parti: Bayangkan S'pura dengan pencapaian ketara dan tidak ternilai, kata Sylvia Lim

Selain pencapaian yang ketara, Parti Pekerja (WP) yakin bahawa Singapura juga memerlukan "perubahan positif" dari "aspek tidak ternilai", kata pengerusi parti tersebut, Sylvia Lim pada Khamis (9 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Siaran Politik Parti: Bayangkan S'pura dengan pencapaian ketara dan tidak ternilai, kata Sylvia Lim

Cik Sylvia Lim sampaikan Siaran Politik Parti WP pada 9 Jul 2020

Diterbitkan : 10 Jul 2020 02:46AM Dikemas Kini : 10 Jul 2020 02:49AM

SINGAPURA: Selain pencapaian yang ketara, Parti Pekerja (WP) yakin bahawa Singapura juga memerlukan "perubahan positif" dari "aspek tidak ternilai", kata pengerusi parti tersebut, Sylvia Lim pada Khamis (9 Jul).

"Rakyat Singapura bangga dengan pencapaian ketara negara kita. Sekalipun sebagai parti pembangkang, kami memberi penghargaan kepada para pengasas PAP (Parti Tindakan Rakyat) atas prasarana fizikal dan sistem kita yang cekap,” katanya dalam siaran politik parti yang disiarkan di televisyen.

"Namun bagaimana pula dengan aspek tidak ternilai? Bolehkah perubahan positif berlaku di Singapura supaya kita mendakapi keterbukaan kepada pandangan, budaya dan kreativiti lain, di samping ketelusan, baik budi, keadilan dan kebahagiaan? "

Dalam ucapannya, Cik Lim menyeru rakyat Singapura supaya "membayangkan, menggambarkan, mendambakan dan mengimpikan" kemungkinan itu.

Beliau juga menggesa rakyat Singapura supaya membayangkan sebuah negara di mana "ketidakseimbangan kuasa yang ketara dengan Pemerintah mendominasi dan menguasai rakyat, dapat diubah", suara-suara yang pelbagai didengar dengan dasar-dasar "tidak diputuskan terlebih dahulu dan dipaksa untuk menerimanya", serta masyarakat sivil memainkan "peranan penting" dalam membincangkan isu-isu dan mencadangkan idea.

"Bayangkan sebuah Singapura di mana Pemerintah menerima parti-parti pembangkang dan mereka yang bersuara sebagai rakyat Singapura yang mencintai negara ini dan bukan masalah yang perlu diperbetulkan," kata Cik Lim.

Beliau juga menggesa para pengundi supaya mendambakan Singapura di mana pertubuhan-pertubuhan yang membelanjakan wang pembayar cukai, seperti Persatuan Rakyat, "dikendalikan dengan adil dan tidak digunakan untuk mengukuhkan kuasa PAP".

"Di mana tempat di sekolah diperuntukkan secara adil, dan bukannya memberikan keutamaan kepada anggota jawatankuasa yang dikendalikan oleh AP dan penasihat PAP ," tambah Cik Lim.

"Di mana terdapat ketelusan mengenai simpanan CPF dan rizab negara kita, dan keterbukaan mengenai gaji mereka yang melabur, dan dibayar, wang rakyat - sama seperti di tempat lain."

Rakyat Singapura harus mengimpikan sebuah negara di mana mereka dapat menikmati keseimbangan kehidupan bekerja yang sama seperti negara maju yang lain, warga emas yang bekerja "hanya jika mereka memilih untuk berbuat demikian", dan di mana keadilan dan kebahagiaan adalah "matlamat utama" Pemerintah.

"PAP mahukan anda percaya bahawa memiliki masyarakat yang terbuka dan adil dengan kebebasan media akan melumpuhkan keupayaan Pemerintah untuk bertindak dengan pantas dan tegas," katanya. "COVID-19 telah menunjukkan bahawa ini setakat taktik untuk menakut-nakutkan anda."

Cik Lim turut merujuk kepada bagaimana negara-negara seperti New Zealand, Denmark, Australia dan Korea Selatan berjaya menangani wabak tersebut.

“Setiap negara itu adalah antara 45 negara teratas di dunia dari segi kebebasan media. Singapura antara 25 negara paling corot,” katanya.

New Zealand, Denmark dan Finland juga berada di kedudukan yang lebih tinggi daripada Singapura dalam kalangan negara-negara yang paling sukar disogok, sambil berkata bahawa ia "dilakukan dengan pemimpin yang mendapat gaji jauh lebih rendah berbanding pemimpin kita".

WP yakin bahawa "perubahan positif di Singapura boleh berlaku jika cukup ramai berusaha menuju ke arah itu", dengan beberapa calon muda menganggotai parti itu kerana mereka "membayangkan Singapura yang benar-benar lebih baik", katanya.

"Manfaatkan undi anda. Undilah Parti Pekerja. "

WP - satu-satunya parti pembangkang yang mempunyai AP dalam Parlimen lalu - bersaing bagi 21 kerusi di empat GRC dan dua SMC dalam pilihan raya kali ini.

Selain mempertahankan SMC Hougang dan GRC Aljunied, WP juga bertanding di GRC East Coast, Marine Parade dan Sengkang, serta bagi SMC Punggol West.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan