Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siaran Politik Kawasan Undi: Teks ucapan SDP di GRC Marsiling-Yew Tee

SINGAPURA: Calon Parti Demokratik Singapura (SDP) bagi GRC Marsiling-Yew Tee, Damanhuri Abas, menekankan kedudukan masyarakat Melayu di kawasan undi tersebut yang masih sama. 

Anggaran Waktu Membaca:
Siaran Politik Kawasan Undi: Teks ucapan SDP di GRC Marsiling-Yew Tee

Calon Parti Demokratik Singapura (SDP), Encik Damanhuri Abas, semasa menyampaikan ucapan Siaran Politik Kawasan Undi

Diterbitkan : 06 Jul 2020 08:13PM Dikemas Kini : 06 Jul 2020 08:16PM

SINGAPURA: Calon Parti Demokratik Singapura (SDP) bagi GRC Marsiling-Yew Tee, Damanhuri Abas, menekankan kedudukan masyarakat Melayu di kawasan undi tersebut yang masih sama.

Lantas Encik Damanhuri menekankan pentingnya mewujudkan barisan kepimpinan yang berani dan berwawasan untuk memimpin masyarakat.


Beliau berkata demikian dalam ucapan Siaran Politik Kawasan Undi yang disiarkan hari ini (6 Jul).

Berikut ini teks penuh ucapan yang disampaikan Encik Damanhuri Abas dalam Bahasa Melayu:

Salam Sejahtera,

Para pengundi Melayu Marsiling-Yew Tee. Selama dua tahun, anda kehilangan wakil rakyat kaum minoriti anda, di Parlimen.

SDP cuba membantu, namun gagal, mahkamah menolak, rayuan untuk pilihan raya kecil, diadakan. Peguam negara, berhujah, syarat wakil rakyat kaum minoriti, hanya waktu pemilihan.

Setelah lima dekad merdeka, apa yang berlaku di Marsiling-Yew Tee, menunjukkan, kedudukan orang Melayu, dalam banyak hal yang penting, masih sama.

Kemajuan yang kita idamkan untuk masyarakat, masih di luar jangkauan. Apakah hambatan, dan apakah yang perlu dilakukan?

Alhamdulillah, 20 tahun bergiat dalam masyarakat, mendidik saya betapa sedianya kita untuk maju ke depan.

Kita tidak miskin, golongan cerdik-pandai, belia kita terdidik, bijak, berkemahiran, keluarga Melayu masih utuh, dana tersimpan cukup lumayan.

Badan-badan di peringkat masyarakat dan negara siap untuk digemblengkan.

Kunci yang hilang hanya kepimpinan. Mewujudkan barisan pemimpin kita, yang berani dan berwawasan.

Oleh itu izinkan hamba berikan saranan dalam masa yang amat singkat ini.

Pertama, ketepikan segala perbezaan. Mengajak semua lapisan masyarakat, bergabung, berganding bahu, menyahut seruan pengislahan.

Ketepikan politik, utamakan niat dan tujuan.

Kedua, usaha terus meyakinkan pemerintah, merubah tanggapan.

Mansuhkan segala dasar yang kurang adil, menghambat kita berdikari, menghalang kemajuan.

Ketiga, membina wawasan baru yang segar, memukau, dan kaya berencam.

Berpasak khazanah sejarah Melayu Temasek, berjati diri, berbudaya tinggi, beradab, berakhlak, santun dan sopan.

Melangit impian, membumi kenyataan. Di mana bumi dipijak disitu langit dijunjung.

Demi cita-cita indah ini, saya ke depan. Ingin mencapai, apa yang ramai anggap mustahil, mengejar mimpi yang penuh harapan.

Akhir kalam, di masa wabak COVID-19, membelenggu watan, saya menyeru pengundi Melayu GRC Marsiling-Yew Tee.

Mungkin, di peringkat negara, kita tidak berkemampuan, namun di sini, di tangan anda, pemangkin perubahan.

Anda akan memilih pemimpin anda, pastikan janji itu berkekalan, tidak terputus separuh jalan. Semoga niat di hati Tuhan izinkan.

Undilah SDP demi perubahan. Sekian. Terima kasih. 

Sumber : BERITA Mediacorp/sy
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan