Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Siaran Politik GRC Jalan Besar: PAP kongsi semangat kampung, Parti Suara Rakyat seru undi pungutan suara

Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan parti Suara Rakyat (PV) menyampaikan ucapan siaran politik kawasan undi GRC Jalan Besar pada Ahad (5 Jul).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 06 Jul 2020 12:38AM Dikemas Kini : 06 Jul 2020 01:22AM

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan parti Suara Rakyat (PV) menyampaikan ucapan siaran politik kawasan undi GRC Jalan Besar pada Ahad (5 Jul).

Sebagai parti penyandang, PAP telah berucap dahulu. Ucapan mereka berdasarkan tema semangat kampung dan pembaharuan. Encik Heng Chee How dan Cik Denise Phua telah berucap dalam Bahasa Inggeris, Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo berucap dalam Bahasa Inggeris dan Mandarin dan Dr Wan Rizal Wan Zakariah dalam Bahasa Inggeris dan Melayu.

PAP: SEBUAH BANDAR DENGAN NAFAS BARU

Cik Teo yang baru beralih ke kawasan undi itu, berkata bahawa keutamannya adalah untuk mengenali para penduduk Jalan Besar, yang beliau sifatkan sebagai "pusat bandar yang berkembang" dengan "semangat kampung".

Bekas Anggota Parlimen GRC Bishan-Toa Payoh itu berkata para penduduk dan pemimpin akar umbi di sana mengajarnya tentang erti berkhidmat - dan meskipun sebagai seorang menteri beliau akan berusaha melakarkan dasar-dasar yang baik, apa yang mereka mahukan daripadanya sebagai seorang Anggota Parlimen adalah "telinga yang mendengar dan kerelaan hati".

Beliau mengambil perhatian bahawa Jalan Besar mempunyai banyak program dan sukarelawan yang menyokong para penduduk. Meskipun ia merupakan "tempat yang bersejarah dengan warisan", ia juga merupakan "satu tempat yang diperbaharui dengan baik", katanya sambil merujuk kepada ciri-ciri ABC (program Air Aktif, Bersih dan Cantik) di Sungai Kallang dan kawasan Marina Bay misalnya.

Mengulas lebih lanjut tentang tema itu, Encik Heng telah bercakap tentang bagaimana flat-flat Bina-Ikut-Tempahan (BTO) di kawasan itu akan membenarkan anak-anak untuk tinggal berdekatan ibu bapa mereka, supaya "seluruh bandar ini sentiasa disuntik nafas baru".

Beliau menekankan hubungan rapat dan "kepercayaan mendalam" antara para penduduk dengan anggota parlimen "seperti sebuah keluarga".

"Dan disebabkan itu kami dapat memahami satu sama lain, memahami keperluan dan tahu apa yang kami patut dan mesti lakukan untuk para penduduk kami," katanya.

Cik Phua, yang menyifatkan dirinya sebagai "gadis kampung dari Jalan Besar", bercakap tentang perubahan yang beliau lihat di kawasan itu kini.

Dalam lima tahun lalu sahaja, enam stesen MRT baru dibina, sembilan pasar dinaik taraf, 55 program peningkatan flat dijalankan, dan "banyak" program perkhidmatan masyarakat dilaksanakan, katanya.

"Setiap pelan induk yang kami kata kami akan lakukan, yang kami telah janjikan, kami sudah penuhi," kata Cik Phua.

Namun tugas pasukan itu "belum selesai", katanya - mereka mahu menyediakan lebih banyak sokongan kepada para penduduk warga emas dan golongan pekerja dewasa yang pekerjaan mereka diancam oleh COVID-19 dan persaingan global. Mereka juga mahu mendidik kanak-kanak untuk "pembelajaran sepanjang hayat".

Sementara itu, Dr Wan Rizal bercakap tentang pembaharuan pada "peringkat peribadi", dan berkongsi bagaimana beliau beralih dari aliran Normal di sekolah menengah kepada meraih ijazahnya yang pertama pada usia 31 tahun dan kemudian ijazah kedoktoran (PhD).

"Sedang kami terus menangani situasi COVID-19 ini, sedang kami bangkit dan maju ke hadapan, kami mesti terus menjadikan Singapura sebuah negara yang menyediakan banyak peluang. Peluang bagi setiap rakyat Singapura untuk mencapai kejayaan," katanya.

SUARA RAKYAT: UNDI PUNGUTAN SUARA TERHADAP JOSEPHINE TEO

Hanya seorang daripada empat anggota pasukan parti Suara Rakyat (PV) iaitu ketuanya, Lim Tean telah menyampaikan ucapan.

Sambil mempersoalkan cara Pemerintah PAP menangani krisis COVID-19, beliau menyeru para penduduk Jalan Besar untuk menggunakan undi mereka sebagai pungutan bagi "kecekapan dan kepimpinan" Cik Teo, dengan mengatakan bahawa beliau "seorang diri bertanggungjawab" bagi "lonjakan" kes COVID-19 di dormitori pekerja asing.

Menurutnya, Cik Teo seharusnya sudah menyedari, bila kes pertama jangkitan melibatkan pekerja asing di dormitori timbul, tentang bahaya penularan di "dormitori yang penuh sesak".

"Tetapi beliau sama ada tidak hirau atau lalai," katanya.

Beliau juga berkata Singapura disifatkan "sebagai salah satu kegagalan terbesar sejauh mana ia membabitkan COVID-19".

Apabila kes COVID-19 pertama kali timbul, kata Encik Lim, jika ia dibuktikan sebagai "senjata biologi", Singapura "akan perlu bertindak pantas dan tegas".

Namun Pemerintah tidak berbuat demikian, "meskipun mereka memberitahu kami bahawa mereka sudah bersedia selama 17 tahun selepas wabak SARS", kata Encik Lim, menukil kekurangan bekalan pelitup dan bagaimana pihak berkuasa "membenarkan" acara keramaian seperti Perbarisan Chingay dan Pertunjukan Udara Singapura serta acara Generasi Merdeka melibatkan golongan warga emas untuk diteruskan.

Beralih kepada isu berkaitan dasar-dasar imigresen, Encik Lim berkata parti Suara Rakyat mahu "menjadikan Singapura tempat tinggal kami sekali lagi".

"Hari ini, ramai rakyat Singapura berasa diabaikan oleh Pemerintah," katanya, sambil memberi contoh pekerjaan yang bertukar tangan kepada pekerja asing di bawah "undang-undang imigresen yang tidak masuk akal" sejak dua dekad dahulu.

Menyifatkan Pemerintah sebagai "bapa kurang cekap" yang membenarkan seorang "anak asing" ke dalam keluarga, beliau berkata Singapura "menuju ke arah bilangan penduduk seramai 10 juta meskipun ia kini menafikannya".

Jika tidak kerana "suara-suara lantang" seperti Suara Rakyat dan Parti Demokratik Singapura, adakah Pemerintah akan "berganjak dan membuat pusingan-U itu?" soal Encik Lim. "Dan itu menunjukkan kepada anda kepentingan mempunyai pihak pembangkang yang kuat dalam Parlimen," katanya.

Menurutnya lagi, parti Suara Rakyat percaya pada "demokrasi secara langsung", namun dengan pandangan terhadap lebih banyak perbincangan nasional, pungutan suara dan undian tempatan blok rantai atau 'blockchain'.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/HA/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan