Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sharael Taha ingin 'demam pilihan raya' cepat berlalu, segera bantu tangani isu pekerjaan

GRC Pasir Ris-Punggol sempat menarik perhatian ramai semasa Pilihan Raya Umum 2020 kerana menjadi salah satu kawasan undi yang menyaksikan persaingan tiga penjuru dalam tempoh hampir tiga dekad. 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: GRC Pasir Ris-Punggol sempat menarik perhatian ramai semasa Pilihan Raya Umum 2020 kerana menjadi salah satu kawasan undi yang menyaksikan persaingan tiga penjuru dalam tempoh hampir tiga dekad.

GRC tersebut juga merupakan yang kedua terbesar di Singapura dan mempunyai lebih 185,000 pengundi.

Namun, ada perkara lain yang lebih meruncing. Dengan ia terletak sangat dekat dengan Lapangan Terbang Changi dan Singapore EXPO, ramai penduduknya dikatakan bekerja di dua kemudahan besar itu.

Jadi dengan COVID-19 dan sektor pelancongan serta logistik teruk terjejas, sebilangan besar penduduk di kawasan itu turut terkena tempiasnya.

Ini sekaligus menjadi satu cabaran bagi Encik Mohd Sharael Mohd Taha, 39 tahun, selepas diberi kepercayaan untuk menjadi Anggota Parlimen GRC berkenaan.

Pasukan PAP pada Sabtu (11 Jul) sah mempertahankan GRC Pasir Ris-Punggol dengan lebih 64 peratus undi.

"Kepada penduduk Pasir Ris-Punggol, terima kasih atas sokongan anda. Ini adalah titik permulaan untuk kami bekerjasama bersama untuk menempuh cabaran di depan kita," kata Encik Sharael.

PANDANGAN SHARAEL TENTANG ISU PEKERJAAN

Encik Sharael merupakan seorang Naib Presiden di sebuah syarikat enjin pesawat dan ditampilkan sebagai salah seorang daripada enam muka baru Melayu/Islam dalam Parti Tindakan Rakyat (PAP).

"Dalam industri saya, saya melihat ramai yang terjejas. Operasi SIA sahaja dikurangkan sebanyak 96 peratus. Ramai hilang mata pencarian," terang Encik Sharael.

Lantaran itulah, berbekalkan pengalaman luas dalam transformasi industri, beliau berharap 'demam pilihan raya' akan segera berlalu dan pelbagai rancangan dapat segera dijalankan bagi membantu para penduduk.

"Saya ingin bekerjasama dengan masyarakat kita untuk mempertingkatkan kemahiran dan mempersiapkan diri untuk ekonomi baru. Juga dengan belia-belia bagi teknologi baru. Dengan ini, kita dapat membina masyarakat yang lebih berdaya tahan," tambah beliau.

(Gambar: Sharael Taha/Facebook)

Dari pandangan kasarnya, beliau akur menyesuaikan diri kepada ekonomi baru tidak mudah dilakukan tetapi ia langkah yang perlu diambil.

"Ada tiga perkara yang perlu ada untuk atasi masalah pekerjaan. Pertama kemahiran tetapi kita sudah ada 'SkillsFuture'. Kedua adalah pemikiran. Pemikiran untuk belajar perkara baru. Dan ketiga, merebut segala peluang yang ada."

INGIN BERI 'KUNCI' KEPADA WARGA EMAS

Encik Sharael menambah, beliau sememangnya ada banyak idea untuk membantu penduduk. Salah satunya adalah mengajar kemahiran digital kepada golongan lanjut usia yang masih perlu menyara hidup mereka.

"Ia kedengaran remeh tapi penting. Di rumah, anak-anak tidak selalu ada masa untuk membimbing ibu bapa mereka," ulas Encik Sharael.

Beliau menambah, dengan kemahiran menggunakan telefon bimbit sahaja, banyak aplikasi yang boleh diakses para pengguna untuk meningkatkan mutu kehidupan mereka.

Menjelang 2023, GRC Pasir-Ris Punggol bakal menempatkan Daerah Digital Punggol yang akan mewujudkan 28,000 pekerjaan. Namun semua pekerjaan itu memerlukan kemahiran 'ekonomi digital'.

"Pastinya perubahan industri 4.0 merubah kehidupan kita."

Sungguhpun demikian, tidak kira idea apa yang bakal diketengahkan mahupun inisiatif yang dilaksanakan pada peringkat nasional, keberhasilannya tetap bergantung kepada masyarakat, katanya lagi.

"Ia bergantung kepada kita untuk bekerjasama sebagai satu masyarakat, maju bersama, dan berganding bahu."

Semasa masih lagi berkhidmat di Universiti Nasional Singapura sebagai jurutera penyelidik, Encik Sharael pernah disebut dan dipuji Perdana Menteri Lee Hsien Loong dalam satu acara, kerana menonjolkan semangat yang kuat untuk berjaya.

Beliau disifatkan sebagai "salah seorang Melayu yang mengukir nama atas usaha gigih sendiri" bagi pelbagai pencapaian yang diraih, termasuk keupayaan menghasilkan enjin kereta lumba ketika masih lagi seorang mahasiswa.

SEORANG 'FAMILY MAN'

Di samping pelbagai pencapaian luar biasanya, Encik Sharael juga seorang bapa tiga orang anak.

(Gambar: Sharael Taha/Facebook)

(Gambar: Sharael Taha/Facebook)

Beliau begitu menitikberatkan masa yang diluangkan bersama keluarga.

"Ketika saya baru dapat tahu saya menang, saya memberitahu isteri dan ibu saya dahulu. Kedua-dua wanita tersayang saya," kongsi beliau.

"Masa tiba di rumah pada jam 4.00 pagi hari itu juga, saya meluangkan masa bersama isteri saya dahulu. Beliau berjaga menunggu saya. Dan selepas itu, apa yang saya boleh ingat, saya dah tidur," selorohnya.

"Saya seorang 'family man' (sangat sayang dan utamakan keluarga).”

Ditanya pula jika beliau akan merebut peluang sekiranya ditawarkan tempat untuk berkhidmat sepenuh masa dalam bidang politik, ini pula jawapan beliau:

"Pada masa ini, untuk saya, saya cukup syukur bekerjasama dengan penduduk-penduduk Pasir Ris-Punggol dahulu. Jika itu hala tujunya, ada peluang, kita lihat nanti." 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan