Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Sengkang bakal punyai Majlis Bandaran sendiri: WP

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh berkata partinya akan menumpukan usaha untuk meraih hasil yang baik bagi warga Singapura dalam menangani kesan COVID-19. 

Anggaran Waktu Membaca:
Sengkang bakal punyai Majlis Bandaran sendiri: WP

Setiausaha Agung Parti Pekerja Pritam Singh berucap di sidang media pada 12 Jul 2020.

SINGAPURA: Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh berkata partinya akan menumpukan usaha untuk meraih hasil yang baik bagi warga Singapura dalam menangani kesan COVID-19.

Untuk itu, kata beliau, mereka bersedia bekerjasama dengan pemerintah dan parti politik lain bagi mencapai tujuan tersebut.

Dalam satu sidang media maya pada Ahad (12 Jul), WP mengumumkan GRC Sengkang akan mempunyai Majlis Bandarannya sendiri dan bukan gabungan dengan Majlis Bandaran Aljunied-Hougang.

Sekarang ini, WP menguruskan kawasan undi GRC Aljunied dan SMC Hougang di bawah satu majlis bandaran yang sama.

Namun, ia tidak merancang untuk melaksanakan aturan yang sama bagi GRC Sengkang. Sebaliknya, kawasan undi itu akan mempunyai majlis bandarannya sendiri.

Ketua pasukan WP di GRC Sengkang, He Ting Ru, berkata mereka sudahpun menghubungi pegawai-pegawai pengurusan di Majlis Bandaran Ang Mo Kio dan Pasir Ris-Punggol untuk membincangkan proses peralihan yang lancar.

"Kami sudah maklum dengan nasihat NEA mengenai sesi bertemu penduduk (MPS). Kami tidak boleh melakukannya buat masa sekarang kerana kita masih dalam Fasa 2. Jadi jika ada penduduk yang mempunyai soalan atau perlukan bantuan, sila emel kami di sengkang [at] wp.sg," kata Cik He, AP GRC Sengkang.

SEDIA BEKERJASAMA DENGAN PARTI PEMBANGKANG LAIN

Dengan kemenangan di GRC Sengkang, WP mempunyai 10 kerusi di Parlimen sementara dua lagi kerusi NCMP mungkin diisi calon-calon PSP.

Menyentuh tentang hal itu, Pengerusi WP Sylvia Lim berkata partinya terbuka untuk bekerjasama dengan parti pembangkang lain bagi memainkan peranan pembangkang yang membina di Parlimen.

Encik Singh, yang diiktiraf pemerintah sebagai ketua pembangkang, pula berkata tumpuan mereka kini adalah untuk mencari huraian terbaik bagi Singapura dan bukannya kedudukan politik mereka.

"Tumpuan kami adalah untuk mendapatkan huraian yang baik bagi Singapura dan penduduk Singapura dan ia perlu dilakukan bersama sesiapa sahaja untuk mendapatkan hasil itu. Kami akan melakukannya kerana ada penduduk yang merana," kata Encik Singh.

PEMBAHAGIAN DIVISYEN GRC ALJUNIED

Berhubung pembahagian divisyen di GRC Aljunied, Cik Lim mengumumkan bahawa beliau akan berpindah ke divisyen Paya Lebar sementara kawasan lamanya iaitu divisyen Serangoon akan diambil alih oleh Leon Perrera manakala Gerald Giam akan mengambil alih tempat Low Thia Khiang di Bedok Reservoir-Punggol.

Para calon Parti Pekerja Sylvia Lim, Leon Perera, Pritam Singh, Gerald Giam, Faisal Manap. (Gambar fail: Jeremy Long)

Encik Pritam Singh kekal di Eunos dan Encik Faisal Manap pula akan terus memimpin dalam pengurusan divisyen Kaki Bukit.

Menjawab tentang sokongan pengundi dalam Pilihan Raya kali ini, Encik Faisal berkata: "Kami perjuangkan setiap masyarakat. Secara keseluruhan saya percaya kami meraih sokongan dari warga Singapura dari pelbagai latar belakang".

Beliau menambah WP akan terus memperjuangkan undang-undang anti-diskriminasi diperkenalkan seperti yang terkandung dalam manifesto parti itu.  

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan