GE2020

Images
  • sdp low pwee
    SDP pada 29 Jun 2020 memperkenalkan dua calon baru untuk GE2020: Robin Low (kiri) dan Benjamin Pwee. (Gambar: Parti Demokratik Singapura)

SDP perkenal 2 lagi calon; mantan kakitangan awam dan relawan bantuan bencana

SINGAPURA: Parti Demokratik Singapura (SDP) memperkenalkan dua lagi bakal calon baru, yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum (GE) 10 Julai, menerusi laman Facebooknya pada Isnin (29 Jun)

Mereka adalah:

Encik Robin Low, 44 tahun, usahawan yang menubuhkan beberapa syarikat di beberapa sektor dan juga seorang sukarelawan aktif. Beliau mengasaskan bersama Relief 2.0, sebuah pertubuhan bukan pemerintah yang menggalak respons bencana yang cekap dan pemulihan bencana yang mampan.

Beliau juga bekerjasama dengan pelbagai pertubuhan di PBB berhubung isu-isu yang melibatkan pelarian Syria dan Rohingya. Ini merupakan kali pertama beliau bertanding dalam GE.

Encik Benjamin Pwee, 52 tahun, adalah ahli strategi pembangunan perniagaan dan perunding cara bagi syarikat berbilang negara, badan amal serta pemerintah. Beliau sebelum ini memegang pelbagai jawatan di Kementerian Ehwal Luar (MFA) dan Kementerian Ehwal Dalam Negeri (MHA).

Ini adalah kali pertama Encik Pwee bertanding di bawah bendera SDP. Pada GE2011, beliau bertanding di bawah Parti Rakyat Singapura (SPP) dan kemudian pada GE2015 pula sebagai setiausaha agung Parti Demokratik Progresif (DPP).

SDP tidak mendedahkan di mana kedua-dua calon baru itu akan ditempatkan.

Encik Low pernah dilihat bersama pasukan SDP di GRC Holland Bukit-Timah manakala Encik Pwee pula mengadakan lawatan bertemu penduduk dan lawatan ke rumah di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Yuhua.

Seorang lagi calon yang diperkenalkan menerusi Facebook adalah Dr James Gomez, 55 tahun. SDP mengesahkan pada Ahad bahawa Dr Gomez bersama-sama dengan Encik Bryan Lim, 43 tahun, dan Encik Damanhuri Abas, 59 tahun,akan bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Marsiling Yew-Tee.

Dr Gomez tidak bertanding pada GE2015 tetapi adalah calon pasukan SDP di GRC Sembawang pada 2011. Dr Gomes sebelum ini pernah bertanding pada GE2006 sebagai calon Parti Pekerja (WP).

Dalam video pengenalan untuk mengumumkan pencalonannya, Encik Low berkata beliau terlibat dalam usaha bantuan bencara seperti gempa bumi Lautan Hindi dan tsunami pada 2014 serta gempa bumi di Nepal pada 2015.

Bagi Encik Pwee pula, beliau mahu membantu perusahaan kecil dan sederhana (SME) di Singapura. Beliau ingin "membantu mereka mengembangkan perniagaan ke luar negara serta mewujudkan pekerjaan dan pendapatan untuk rakyat Singapura."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp
 

- TODAYonline/FZ/fz

Top