Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

SDP gesa siasatan bebas selepas kesilapan sebabkan wanita tidak dapat mengundi

Parti Demokratik Singapura (SDP) pada Khamis (16 Jul) menggesa satu siasatan bebas ke atas bagaimana Pilihan Raya Umum dikendalikan, setelah seorang wanita terlepas peluang untuk mengundi kerana kesilapan seorang pegawai pilihan raya.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 16 Jul 2020 05:23PM Dikemas Kini : 16 Jul 2020 09:18PM

SINGAPURA: Parti Demokratik Singapura (SDP) pada Khamis (16 Jul) menggesa satu siasatan bebas ke atas bagaimana Pilihan Raya Umum dikendalikan, setelah seorang wanita terlepas peluang untuk mengundi kerana kesilapan seorang pegawai pilihan raya.

Pada Hari Mengundi pada 10 Jul, seorang pegawai penyelia di sebuah pusat mengundi telah cuba mendaftarkan wanita itu, yang hanya dikenali sebagai Cik Lum, beberapa kali tetapi gagal.

Cik Lum, seorang pengundi di GRC Holland-Bukit Timah yang ditandingi oleh SDP, diberitahu bahawa beliau sudahpun mengundi sedang pada hakikatnya, penyelia pusat mengundi itu menggunakan modul yang salah dalam sistem e-Pendaftaran untuk memproses pendaftarannya.

Beliau dilaporkan mengisi kertas undi, yang tidak dikira dalam keputusan akhir.

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) memenangi GRC empat anggota itu dengan 66.36 peratus undi mengatasi pasukan SDP.

Dalam kenyataan medianya, pengerusi SDP Paul Tambyah berkata: "Kami menggesa (1) ELD untuk mendedahkan berapa banyak kejadian di luar kebiasaan yang berlaku selama tempoh mengundi, dan (2) siasatan bebas terhadap pelaksanaan proses mengundi dengan tumpuan khusus pada isu-isu seperti penggunaan 'kertas undi ganti' yang tidak dikira dalam pilihan raya ini.

"Siasatan ini harus diteliti oleh semua parti politik yang mengambil bahagian dalam pilihan raya ini."

Beliau menambah bahawa Jabatan Pilihan Raya (ELD) perlu diasingkan dari Pejabat Perdana Menteri dan diletakkan di bawah badan bebas yang "melaporkan diri kepada semua parti politik yang berdaftar dan bertanggungjawab kepada rakyat Singapura".

SDP juga merujuk kepada masalah-masalah lain pada Hari Mengundi, seperti barisan beratur panjang di pusat-pusat mengundi tertentu dan waktu mengundi yang dilanjutkan selama dua jam.

"Hak untuk memilih pemimpin adalah asas kepada sebuah negara demokratik seperti Singapura. Kejadian ini hanya menunjukkan masalah berkaitan dengan pelaksanaan pilihan raya di tengah-tengah satu pandemik," kata Dr Tambyah.

Beliau menyifatkah pilihan raya kali ini sebagai "penuh dengan salah langkah, kesilapan, dan salah arah. "

ELD sebelum ini menyatakan bahawa kajian menyeluruh mengenai kesilapan pada Hari Mengundi akan dilakukan.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan