Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pusat Konvensyen Suntec lokasi penstriman rapat online GE2020

Pusat Konvensyen Suntec akan digunakan sebagai lokasi penstriman langsung bagi rapat online Pilihan Raya Umum 2020, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Selasa (30 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Pusat Konvensyen Suntec lokasi penstriman rapat online GE2020

(Gambar fail: Visit Singapore)

Diterbitkan : 01 Jul 2020 12:53AM Dikemas Kini : 01 Jul 2020 01:51AM

SINGAPURA: Pusat Konvensyen Suntec akan digunakan sebagai lokasi penstriman langsung bagi rapat online Pilihan Raya Umum 2020, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) pada Selasa (30 Jun).

Khidmat ini akan disediakan oleh Pemerintah memandangkan rapat secara fizikal dan perhimpunan secara beramai-ramai tidak dibenarkan semasa pilihan raya kali ini disebabkan oleh peraturan COVID-19.

ELD pada awal bulan ini menyatakan bahawa Pemerintah akan menawarkan subsidi bagi menampung kos ketersambungan Internet untuk parti-parti dan para calon yang ingin menggunakan tempat sedemikian untuk mengadakan rapat online.

Mulai 1 hingga 8 Julai, sehingga 10 lokasi akan disediakan setiap hari di Pusat Konvensyen Suntec - dari 7.00 pagi hingga 10.00 pagi, 12.00 tengah hari hingga 3.00 petang dan 7.00 malam hingga 10.00 malam.

"Para calon atau ejen pilihan raya mereka boleh menyerahkan permohonan menerusi laman Khidmat Calon di laman ELD dari 8.00 pagi hingga 1.00 tengah hari bagi jadual keesokan hari, menurut ELD dan Penguasa Pembangunan Infokom Media (IMDA) dalam satu kenyataan bersama.

"Jika jumlah permohonan melebihi slot yang disediakan, pengundian akan dijalankan untuk menentukan permohonan yang berjaya."

Lokasi-lokasi itu disediakan dengan yuran kecil dikenakan iaitu S$107. Turut disediakan adalah ketersambungan Internet, lampu, alat hawa dingin serta perabot asas yang terdiri daripada dua buah meja dan 10 kerusi.

"Sama seperti rapat fizikal, selain sokongan asas teknikal di tempat rakaman, para calon perlu menguruskan sendiri rakaman dan penstriman langsung untuk memastikan ia dapat disiarkan dengan sewajarnya," tambah ELD dan IMDA.

Para calon dikehendaki menerbitkan saluran penstriman di platform masing-masing yang sudah diisytiharkan kepada Pegawai Pilihan Raya dan kandungan rapat itu mesti mematuhi Kod Amalan Internet (ICOP) dan undang-undang yang bersangkut paut dengannya.

Penggunaan lokasi yang disediakan pemerintah itu bagaimanapun tidak diwajibkan dan parti-parti boleh mengadakan penstriman langsung tanpa menggunakan tempat-tempat sedemikian.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan