PSP, SDP perlu memperbaharui parti, persiap pemimpin baru, kata pengamat
Pilihan Raya Umum 2020 menyaksikan peralihan undi secara keseluruhan kepada pihak pembangkang. Namun, tidak semua 10 parti yang bersaing dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperolehi keputusan yang sama baik.
SINGAPURA: Pilihan Raya Umum 2020 menyaksikan peralihan undi secara keseluruhan kepada pihak pembangkang. Namun, tidak semua 10 parti yang bersaing dengan Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperolehi keputusan yang sama baik.
Dengan empat lagi kerusi di Parlimen, jumlah anggota Parti Pekerja (WP) mencapai dua angka buat pertama kalinya.10 Anggota Parlimennya yang dipilih mengukuhkan kedudukannya sebagai parti pembangkang utama.
Ini walaupun WP hanya bertanding bagi 21 daripada 93 kerusi yang disediakan - kurang tiga kerusi berbanding 24 kerusi yang ditandingi Parti Kemajuan Singapura (PSP).
Tiada parti pembangkang lain yang menang di kawasan-kawasan mereka bertanding. Walau bagaimanapun, dua anggota PSP akan mengisi kerusi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) selepas meraih keputusan yang baik dalam pilihan raya pertama yang ditandinginya.
Parti-parti lebih kecil seperti Parti Reform (RP) dan Parti Suara Rakyat (PV) tidak meraih peratusan undi lebih besar daripada sekitar 20 peratus yang biasanya diperolehi parti-parti pembangkang.
Adakah pendatang baru PSP akan semakin pudar dan bolehkah parti-parti yang sudah bertapak sekian lama seperti Parti Demokratik Singapura (SDP) dan Parti Rakyat Singapura (SPP) mengorak langkah lebih besar? Para penganalisis politik yang ditemui Mediacorp berkata bahawa ia sangat bergantung kepada bagaimana parti-parti tersebut menjalankan pembaharuan.
Encik Leonard Lim, pengarah negara bagi Singapura di syarikat runding cara ehwal pemerintah Vriens & Partners, berkata bahawa PSP harus "melipat gandakan" kejayaannya dalam pilihan raya pertamanya dan memperbaharui pucuk kepimpinan partinya, memandangkan ketua parti, Dr Tan Cheng Bock sudah berusia 80 tahun.
Kedua-dua NCMP - naib pengerusi parti Hazel Poa, 49 tanun, dan penolong setiausaha agung Leong Mun Wai, 60 tahun - mungkin menjadi barisan pemimpin seterusnya. Bagaimanapun parti itu harus memandang lebih jauh lagi, katanya.
"Kini mesti ada usaha bersepadu untuk mengambil kesempatan dari kelakonan parti itu dalam Pilihan Raya Umum 2020, untuk mengenal pasti dan mempersiapkan calon pemimpin peringkat ketiga. Tumpuan terutamanya harus diberikan kepada usaha mengenal pasti dan mengambil anggota-anggota lebih muda, memandangkan populariti parti itu dalam kalangan Gen Z dan millennial dalam pilihan raya ini tercetus dari catatan media sosial Dr Tan," kata Encik Lim.
Selain daripada personaliti, Encik Lim menambah bahawa PSP harus mengukuhkan kedudukannya melalui dasar-dasar tentang isu-isu utama seperti jagaan kesihatan, imigresen, perumahan dan malah perubahan iklim kerana terdapat beberapa kritikan semasa pilihan raya bahawa dasar-dasar yang diusulkan PSP kurang mantap jika dibandingkan dengan parti lain.
KERUSI NCMP PENTING
Menurut seorang penganalisis, PSP perlu memanfaatkan sepenuhnya dua kerusi NCMP yang disandangnya untuk menunjukkan bahawa ia tetap relevan tanpa Dr Tan.
"PSP perlu menjangkaui keperibadian Tan Cheng Bock, dan kerusi NCMP adalah cara terbaik untuk mencapainya," kata Penolong Profesor Walid Jumblatt Abdullah dari Sekolah Sains Kemasyarakatan Universiti Teknologi Nanyang.
Penyarah Undang-undang Universiti Pengurusan Singapura Eugene Tan berkata bahawa dua kerusi NCMP boleh memperkukuh kedudukan PSP dengan membentuk imej parti itu dalam pandangan awam di Parlimen.
Beliau menambah bahawa kedua-dua parti, PSP dan SDP perlu mengalihkan tumpuan daripada pemimpin utama mereka kepada anggota yang lebih muda. Kedua-dua parti juga mesti terus mendampingi para penduduk supaya kehadiran mereka tetap kukuh selepas pilihan raya dan seterusnya, kata beliau.
“Bagi SDP, ia mungkin menyaksikan lebih banyak sokongan tetapi tidak serupa WP dan PSP. Dr Chee memimpin parti itu sejak pertengahan 1990-an. Pengunduran beliau sebagai (setiausaha agung) membolehkan pemimpin-pemimpin SDP yang lain untuk lebih menonjol dan mengembangkan identiti politik masing-masing,”katanya.
Prof Madya Walid menambah bahawa SDP perlu terus mengabil calon yang baik dan memperkukuh kelakonan mereka di kawasan undi seperti SMC Bukit Panjang dan Bukit Batok.
"Kedua-dua parti boleh mencontohi strategi WP, dan membina pangkalan daripada satu SMC dahulu," katanya.
Bekas Pemimpin WP Low Thia Khiang memenangi Hougang SMC pada tahun 1991. Beliau memperoleh sokongan yang kukuh di sana serta kehadiran di Parlimen, sebelum memimpin pasukan untuk merampas GRC Aljunied pada tahun 2011.
Encik Low kini sudah bersara daripada bertanding dalam pilihan raya, tetapi parti itu telah menunjukkan prestasi yang lebih baik di bawah para pemimpin dan calon barunya dengan memenangi GRC kedua dalam pilihan raya ini.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.