Skip to main content

Iklan

Iklan

Pritam Singh yakin terhadap keupayaan calon muda WP

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Pritam Singh, berkata bahawa beliau menaruh keyakinan terhadap barisan pasukannya 

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Pritam Singh, berkata bahawa beliau menaruh keyakinan terhadap barisan pasukannya meskipun berdepan dengan cabaran-cabaran seperti COVID-19 dan khabar angin yang menyatakan parti-parti pembangkang akan ditumpaskan keseluruhannya di Parlimen.

Encik Pritam berkata demikian ketika ditemui media di kawasan Hougang petang tadi (30 Jun), selepas beliau dan partinya menyerahkan borang pencalonan pada Hari Penamaan Calon hari ini.

CALON MUDA WP SEDIA PERJUANGKAN KEPENTINGAN S'PURA

Bagi Pilihan Raya Umum kali ini, WP bertanding bagi merebut 21 kerusi di enam kawasan undi dengan barisan calon muda yang bakal berdepan dengan anggota politik veteran dari PAP di GRC Sengkang.

"WP selalu bertanding dengan pasukan lawan yang lebih banyak sumber dan selalu memberi persaingan yang sengit pada setiap Pilihan Raya. Saya mempunyai keyakinan yang penuh terhadap keupayaan mereka. Saya rasa mereka akan melakukan yang terbaik bagi WP dan mereka akan membuktikan kepada pengundi yang mereka juga bukan calang-calang calon.

"Mereka sudah bersedia untuk memperjuangkan bagi kepentingan Singapura dan rakyat Singapura, bukan hanya Parlimen, tapi di kawasan undi dan majlis bandaran," kata Encik Pritam.

Encik Pritam berkata beliau bukan saja yakin terhadap barisan calon muda parti itu tetapi juga terhadap kebolehan parti secara menyeluruh.

Beliau memberi contoh bagaimana WP terpaksa mengharungi laluan yang sukar sebagai parti sejak dari dahulu lagi, namun mereka akhirnya dapat mencapainya di penghujung perjuangan.

"Ia mengambil masa selama 16 tahun bagi pihak pembangkang mendapat satu kerusi pada 1981, 16 tahun selepas negara ini mencapai kemerdekaan.

"Ia mengambil 23 tahun selepas penguatkuasaan sistem GRC untuk pembangkang memasuki satu GRC," tambahnya.

KAWASAN UNDI 'PANAS' ANTARA WP, PAP

Menyentuh tentang strategi pasukan lawan, PAP, di GRC East Coast pula, Encik Pritam berkata PAP memberikan isyarat penting bahawa parti itu memandang serius terhadap persaingan dengan WP.

WP, kata beliau tidak akan menyerah kalah, malah akan memberikan persaingan yang sengit di kawasan undi itu.

"Saya rasa ia adalah mesej penting yang PAP sedang sampaikan, bahawa mereka memandang serius terhadap persaingan di East Coast. Saya rasa kita juga memandang serius terhadap persaingan ini dan itulah sebabnya kami mempunyai pasukan calon baru yang kuat di East Coast," tambah beliau.  

Sumber : BERITA Mediacorp/ur
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan