Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pritam Singh peruntuk 50% elaun Ketua Pembangkang bantu penduduk bergaji rendah, tujuan lain

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh mendedahkan pada Selasa (28 Jul) bagaimana beliau akan memperuntukkan separuh daripada elaunnya sebagai Ketua Pembangkang untuk membantu penduduk berpendapatan rendah, membiayai pelbagai keperluan parti dan tujuan-tujuan lain.

Anggaran Waktu Membaca:
Pritam Singh peruntuk 50% elaun Ketua Pembangkang bantu penduduk bergaji rendah, tujuan lain

Ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh.

Diterbitkan : 29 Jul 2020 08:53AM Dikemas Kini : 29 Jul 2020 08:59AM

SINGAPURA: Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh mendedahkan pada Selasa (28 Jul) bagaimana beliau akan memperuntukkan separuh daripada elaunnya sebagai Ketua Pembangkang untuk membantu penduduk berpendapatan rendah, membiayai pelbagai keperluan parti dan tujuan-tujuan lain.

Awal sebelum itu, pihak berkuasa mengumumkan bahawa Encik Singh akan diberikan keistimewaan tambahan dalam peranannya sebagai Ketua Pembangkang, dan beliau juga akan mendapat elaun seganda lebih tinggi berbanding Anggota Parlimen yang dipilih.

Ini bermakna Encik Singh akan menerima pakej tahunan bernilai S$385,000.

Dalam catatan di Facebook pada Selasa malam (28 Jul), Encik Singh turut mendedahkan bahawa beliau sudah membincangkan pakej tambahan itu bersama isterinya dan juga implikasinya.

"Selepas anak-anak perempuan saya masuk tidur, saya dan isteri tahu ada beberapa perkara yang ingin kami bincangkan berhubung pelantikan (Ketua Pembangkang). Antara lain, kami bincangkan tentang kenaikan gaji dan kesannya terhadap keluarga kami," kata Encik Singh.

"Kami berdua benar-benar berpendapat sebahagian gaji itu seharusnya digunakan untuk tujuan yang lebih besar."

Oleh itu, Encik Singh berkata beliau akan memperuntukkan "50 peratus gaji (Ketua Pembangkang) selepas cukai" untuk tujuan-tujuan berikut:

  • Untuk membantu penduduk berpendapatan rendah di SMC Hougang, GRC Aljunied dan GRC Sengkang melalui Dana Masyarakat Parti Pekerja dan/atau Jawatankuasa Akar Umbi WP
  • Program-program kemasyarakatan di SMC Hougang, GRC Aljunied, GRC Sengkang
  • Tujuan-tujuan kebajikan
  • Keperluan khusus Parti Pekerja

"Ia merupakan satu penghormatan bagi saya untuk berkhidmat sebagai Ahli Parlimen dipilih di Singapura. Begitu juga, ia adalah satu penghormatan untuk dilantik sebagai Ketua Pembangkang," kata Encik Singh. "Rakan-rakan sekerja Parti Pekerja saya dan saya sendiri rasa beruntung kerana berpeluang untuk berkhidmat kepada Singapura."

Beliau menambah bahawa walaupun beliau berterima kasih atas sokongan dan pakej tambahan melalui gelaran Ketua Pembangkang, pelantikan itu juga memerlukan lebih banyak masa diluangkan dan berjam-jam berjauhan dari keluarganya.

"Pelantikan sebagai Ketua Pembangkang turut membawa banyak tanggungjawab tambahan yang harus saya galas," kata Encik Singh.

"Perjalanannya bukan mudah, tetapi saya berterima kasih kepada rakyat Singapura atas sokongan dan dorongan mereka."

Selain elaun tambahan, Encik Singh juga akan disediakan dengan pejabat, ruang mesyuarat di Bangunan Parlimen dan disediakan dengan seorang setiausaha untuk membantunya dengan urusan parlimen.

Beliau juga akan mendapat elaun untuk menggajikan lagi tiga penolong perundangan. Ini selain elaun yang diterima oleh semua Anggota Parlimen bagi seorang penolong perundangan dan seorang penolong setiausaha.

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan