Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Polis tidak akan ambil tindakan lanjut terhadap Ong Ye Kung berhubung video Facebook pada GE2020

Polis "tidak akan mengambil tindakan lanjut" berhubung video di Facebook yang dimuat naik oleh Menteri Pendidikan Ong Ye Kung semasa Pilihan Raya Umum, yang tidak sejajar dengan peraturan pilihan raya.

Anggaran Waktu Membaca:
Polis tidak akan ambil tindakan lanjut terhadap Ong Ye Kung berhubung video Facebook pada GE2020

Menteri Pendidikan Ong Ye Kung bercakap kepada wartawan di Sekolah Menengah Tampines pada 16 Julai 2020. (Gambar: Mediacorp)

Diterbitkan : 18 Jul 2020 11:46PM Dikemas Kini : 18 Jul 2020 11:48PM

SINGAPURA: Polis "tidak akan mengambil tindakan lanjut" berhubung video di Facebook yang dimuat naik oleh Menteri Pendidikan Ong Ye Kung semasa Pilihan Raya Umum, yang tidak sejajar dengan peraturan pilihan raya.

Polis mengesahkan pihaknya menerima aduan mengenai video yang dimuat naik oleh Encik Ong pada 2 Jul, menurut Jabatan Pilihan Raya (ELD) dan Pasukan Polis Singapura (SPF) pada Sabtu (18 Jul) dalam jawapan kepada pertanyaan Mediacorp.

Kedua-dua agensi itu menyatakan polis tidak akan mengambil tindakan lanjut memandangkan Penolong Pegawai Pilihan Raya (ARO) sudahpun "menyiasat hal itu".

"Penolong Pegawai Pilihan Raya (ARO) mengeluarkan penasihat kepada Encik Ong Ye Kung bagi mengingatkannya supaya mematuhi undang-undang berkaitan semua kegiatan berkempen," menurut ELD dan SPF.

"Di bawah seksyen 83(1) Akta Pilihan Raya Parlimen, pelajar yang menuntut di sekolah rendah atau menengah tidak dibenarkan mengambil bahagian dalam sebarang kegiatan pilihan raya," tambah ELD dan SPF.

Encik Ong menarik balik video itu pada hari yang sama - 2 Jul - setelah beliau dimaklumkan oleh pihak berkuasa bahawa ia "tidak sejajar dengan peraturan pilihan raya".

"Saya bersembang dan berbual dengan seorang budak lelaki bernama Jony yang tinggal di Sembawang tentang bagaimana kejiranan ini tempat yang baik untuk membesar," tulis Encik Ong di Facebook.

"Jony budak baik, kami seronok berbual, dan kami menghasilkan (video) yang ringkas. Bagaimanapun, kami diberitahu oleh pihak berkuasa bahawa ia tidak sejajar dengan peraturan pilihan raya."

Menurut Encik Ong, video itu sudah pun dipadam dan beliau meminta maaf bagi "sebarang kesukaran yang berlaku".

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan