Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM M'sia Muhyiddin ucap tahniah kepada PM Lee atas kemenangan pilihan raya

Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya dari Singapura, Encik Lee Hsien Loong menyusuli kemenangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum baru-baru ini.

Anggaran Waktu Membaca:
PM M'sia Muhyiddin ucap tahniah kepada PM Lee atas kemenangan pilihan raya

(Gambar: Facebook/Muhyiddin Yassin, Mediacorp)

Diterbitkan : 13 Jul 2020 09:40AM Dikemas Kini : 13 Jul 2020 09:47AM

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Malaysia Muhyiddin Yassin mengucapkan tahniah kepada rakan sejawatannya dari Singapura, Encik Lee Hsien Loong menyusuli kemenangan Parti Tindakan Rakyat (PAP) dalam Pilihan Raya Umum baru-baru ini.

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Isnin (13 Jul), Kementerian Ehwal Luar (MFA) Singapura menyatakan Encik Lee dan Encik Muhyiddin mengadakan perbincangan "baik" mengenai hubungan "kukuh dan positif" antara kedua-dua negara.

"Kedua-dua Perdana Menteri mengalu-alukan kemajuan mantap yang dicapai kedua-dua pihak dalam pelbagai daya usaha dua hala, termasuk projek keterhubungan rentas sempadan yang sedang dijalankan dan penghijrahan rakyat," menurut kenyataan itu.

"Perdana Menteri Lee dan Perdana Menteri Muhyiddin bersetuju bahawa kedua-dua pemerintah harus bekerjasama bagi mengatasi cabaran bersama akibat pandemik COVID-19," tambahnya.

Dalam kenyataan Facebook pada Ahad malam (12 Jul), Encik Muhyiddin berkata: "Saya yakin hubungan dua hala antara kedua-dua negara akan terus mekar di bawah kepimpinan Encik Lee Hsien Loong sebagai Perdana Menteri."

Beliau menambah bahawa kedua-dua pemimpin bersetuju untuk kekal positif dalam mencari huraian kepada isu-isu dua hala "yang belum lagi terlerai" antara kedua-dua negara.

Encik Muhyiddin berkata semasa perbualannya dengan Encik Lee, beliau menimbulkan tentang perbincangan yang sedang dijalankan bagi membenarkan perjalanan rentas sempadan antara kedua-dua negara di tengah-tengah sekatan perjalanan akibat pandemik COVID-19.

Dalam catatan Facebooknya, Encik Muhyiddin berkata: "Saya katakan bahawa Malaysia mengalu-alukan perbincangan bagi kedua-dua daya usaha tersebut - dipercayai berada di peringkat terakhir - untuk dimuktamadkan dan dilaksanakan dalam jangka pendek."

Beliau menambah bahawa kedua-dua pemimpin turut membincangkan tentang projek Laluan Sistem Gerak Cepat (RTS) dan berkata bahawa beliau "yakin" perbincangan yang sedang dijalankan antara kedua-dua negara akan digulung dalam masa yang terdekat.

Projek itu bertujuan menghubungkan Bukit Chagar di Johor Bahru ke Woodlands di Singapura, menampung hingga 10,000 penumpang sejam setiap hala untuk membantu mengurangkan kesesakan lalu lintas di Koswe.

Encik Muhyiddin menambah bahawa beliau juga mengucapkan terima kasih kepada Encik Lee kerana bersetuju untuk menangguhkan projek Kereta Api Laju (HSR) Kuala Lumpur-Singapura tanpa sebarang kos atau pampasan.

Projek HSR sepanjang 350 kilometer itu ditangguhkan sejak September 2018 dan dijangka disambung semula pada penghujung bulan Mei. Penangguhan itu dilanjutkan ke hujung tahun ini.

"Ini adalah penting dalam mencerminkan hubungan baik antara kedua-dua negara," tulis Encik Muhyiddin.

Beliau menambah bahawa kedua-dua pemimpin mengesahkan semula komitmen mereka untuk bertemu dalam masa terdekat ini bagi membincangkan tentang pelbagai isu sebaik sahaja situasi COVID-19 bertambah baik di kedua-dua negara.

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan