Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PM Lee seru adakan Pilihan Raya 2020 demi 'melakar laluan' bagi mandat baru

Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (23 Jun) berkata beliau sudah menasihati Presiden Halimah Yacob untuk membubarkan Parlimen dan mengeluarkan Writ Pilihan Raya.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 23 Jun 2020 06:00PM Dikemas Kini : 23 Jun 2020 09:10PM

SINGAPURA: Perdana Menteri Lee Hsien Loong hari ini (23 Jun) berkata beliau sudah menasihati Presiden Halimah Yacob untuk membubarkan Parlimen dan mengeluarkan Writ Pilihan Raya.

Mengadakan pilihan raya sekarang akan "membolehkan kita menangani semua hambatan" dan memberi Pemerintah akan datang mandat baru selama lima tahun untuk menumpukan perhatian kepada agenda nasional serta keputusan-keputusan sukar yang perlu diambil, kata PM Lee dalam amanatnya kepada negara.

"Ada alternatif iaitu untuk menunggu sehingga pandemik COVID-19 berakhir. Tapi kita tidak ada jaminan bahawa pandemik akan berakhir sebelum penggal Pemerintah sekarang tamat pada April tahun depan," katanya.

Sebelum memutuskan untuk meneruskan pilihan raya, PM Lee berkata beliau perlu yakin akan dua perkara - bahawa para pengundi boleh mengundi dengan selamat, dan parti-parti politik boleh berkempen secara berkesan.

"Saya berpuas hati kedua-dua perkara ini boleh dilakukan," tambah beliau.

Jabatan Pilihan Raya (ELD) sudah membentangkan pelbagai langkah berjaga-jaga untuk memastikan orang ramai boleh mengundi dengan selamat di tengah-tengah penularan wabak COVID-19. Antara langkah yang bakal dijalankan termasuk menetapkan tempoh masa khas bagi warga emas mengundi, menyediakan lebih banyak pusat mengundi serta menyediakan sarung tangan pakai buang bagi para pengundi sebelum memasuki tempat mengundi.

Tiada rapat umum fizikal akan dibenarkan. Sebaliknya, siaran politik kawasan undi akan disiarkan di Saluran 5 Mediacorp, dengan setiap calon diberikan masa tiga minit. Ini di samping dua siaran parti politik yang akan disiarkan di 19 saluran TV dan radio.

Parti-parti politik yang melakukan lawatan menemui penduduk dan berkempen dari rumah-ke-rumah perlu mengehadkan kumpulan masing-masing kepada lima orang. Mereka juga harus mengambil langkah berjaga-jaga lain - seperti memakai pelitup dan mengelak sebarang kontak fizikal, menurut ELD.

"PERJUANGAN BERLIKU MENANTI": PM LEE

Pandemik COVID-19 sememangnya "sangat menjejas" seluruh dunia, kata PM Lee.

Singapura mengesan kes pertama COVID-19 pada Januari. Kebanyakan jangkitan awal adalah kes import, tetapi jumlah jangkitan dalam masyarakat meningkat dan virus menular dalam kalangan pekerja di dormitori.

Setakat tengah hari tadi (23 Jun), Singapura mencatat 42,432 kes COVID-19 dan 26 kematian.

Singapura menguatkuasakan tempoh 'circuit breaker' selama dua bulan demi mengekang penularan virus itu. Ia juga sudah meluluskan empat Belanjawan, mengeluarkan rizabnya dan menyuntik hampir S$100 bilion untuk merancakkan ekonomi.

"Selepas usaha besar itu, kita sekarang dalam kedudukan stabil," kata PM Lee. "Kita sedang berhati-hati menyambung semula kegiatan-kegiatan sosial dan secara progresif memulihkan ekonomi kita."

Namun, Singapura "tidak harus menganggap" ia sudah menewaskan COVID-19, tegas PM Lee.

"Perjuangan yang panjang dan berliku menanti. COVID-19 akan bersama kita selama sekurang-kurangnya setahun dan mungkin lebih lama, sehingga vaksin dapat dihasilkan dan tersedia."

Banyak negara lain sudah berjaya menurunkan jumlah jangkitan, tetapi kemudian virus itu merebak lagi setelah sekatan-sekatan dilonggarkan, tambah PM Lee.

Singapura harus bersedia secara psikologi bagi lebih banyak cabaran dalam usahanya melawan COVID-19, kata PM Lee, sambil menambah Singapura belum lagi merasakan kesan kelembapan ekonomi sepenuhnya daripada pandemik COVID-19.

Singapura juga berdepan ketidakpastian luaran, seperti ketegangan antara Amerika dengan China, pilihan raya Presiden Amerika, pertempuran di sempadan antara China dengan India, dan perkembangan politik di Asia Tenggara, tegas PM Lee lagi.

"Kita tidak tahu apa yang menanti kita pada tahun depan. Tetapi sedang bahaya-bahaya ini timbul, kita harus mengharunginya dengan bijak demi melindungi keselamatan dan kepentingan nasional Singapura. Pemerintah harus mampu memberi respons yang cepat dan tegas dalam menangani penularan COVID-19, keadaan ekonomi dan perkembangan-perkembangan di luar negara.

"Kita perlukan sebuah Pemerintah yang berkebolehan, yang mendapat sokongan kuat dari rakyat, untuk melakukan semua yang perlu bagi pihak anda serta mengharungi masa-masa sukar ini," ujar PM Lee.

PASUKAN BERTINDAK COVID-19 AKAN TERUS JALANKAN TUGAS

Semasa tempoh pilihan raya, Pemerintah akan terus menjalankan tugas, jelas PM Lee, sambil menambah bahawa Kabinet tetap bertanggungjawab meski Parlimen dibubarkan. Perkhidmatan awam juga akan terus berfungsi, sama seperti dalam setiap Pilihan Raya Umum yang lalu.

Pasukan Bertindak Kementerian yang memimpin respons
Singapura melawan COVID-19 akan meneruskan tugasnya manakala perniagaan, pekerja serta keluarga akan menerima bantuan dan sokongan.

Pilihan Raya kali ini tidak akan seperti yang pernah dilalui rakyat Singapura - tidak hanya kerana ada persiapan khas untuk menangani COVID-19, tetapi juga keadaan dan isu-isu lain yang dipertaruhkan, kata PM Lee.

"Pemerintah yang anda pilih akan perlu membuat keputusan-keputusan yang kritikal. Keputusan-keputusan itu akan menjejas kehidupan dan mata pencarian anda, serta membentuk Singapura bagi tahun-tahun mendatang, jauh melebihi penggal lima tahun pemerintah akan datang," tambah PM Lee lagi.

"Tidak lama lagi, anda akan mempunyai peluang untuk menentukan siapa yang harus diamanahkan dengan tanggungjawab untuk bekerjasama dengan anda dan membawa negara ini lebih maju ke hadapan.

"Saya benar-benar yakin anda akan memikirkannya dengan teliti, dan mengundi dengan bijak, demi menjamin kehidupan, pekerjaan dan masa depan kita."  

Sumber : CNA/AQ/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan