Skip to main content

Iklan

Iklan

Perjuangan Zainal Sapari bolehkan pekerja pembersihan, keselamatan dapat gaji lebih tinggi

"Saya rasa detik terbaik saya adalah apabila saya dapat membantu meningkatkan gaji pekerja penting tersebut kepada lebih 30 peratus."

Anggaran Waktu Membaca:
Perjuangan Zainal Sapari bolehkan pekerja pembersihan, keselamatan dapat gaji lebih tinggi

Mantan AP GRC Pasir Ris-Punggol Zainal Sapari berucap di Parlimen pada 15 Mei.

SINGAPURA: "Saya rasa detik terbaik saya adalah apabila saya dapat membantu meningkatkan gaji pekerja penting tersebut kepada lebih 30 peratus."

Dengan bantuan itu, para pekerja pembersihan atau pegawai keselamatan misalnya, menyaksikan kenaikan gaji jauh lebih tinggi.

Demikian kongsi mantan Anggota Parlimen (AP) GRC Pasir Ris-Punggol, Zainal Sapari, kepada BERITAmediacorp ketika diminta mengenang perjalanan dan sumbangannya dalam politik. Beliau baru sahaja mengundurkan diri daripada politik dan tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum 2020.

Encik Zainal malah berasa berbesar hati kerana Menteri Kanan Tharman Shanmugaratnam dan pemimpin buruh Lim Swee Say turut mendakapi model gaji progresif dan menjadikannya mandatori.

"Model gaji progresif menggalak pekerja meningkatkan kemahiran dan menjalani latihan, tetapi lebih banyak yang masih boleh dilakukan," kata Encik Zainal, Penolong Setiausaha Agung NTUC.

Ini memandangkan kedudukan gaji golongan pekerja tersebut, seperti dalam bidang pembersihan dan pegawai keselamatan, masih lagi di lima peratus terbawah bagi gaji bulanan kasar.

(Gambar: Zainal Sapari/Facebook)

Itulah antara warisan beliau, sebagai mantan AP buruh, yang berpeluang menjadi 'suara' bagi para pekerja khidmat penting yang bergaji rendah setelah berkhidmat selama dua penggal di parlimen.

SKIM EDUSAVE BAGI PELAJAR MADRASAH

Malah, satu lagi aspek yang dapat dibanggakan bagi diri Encik Zainal adalah membolehkan pelajar madrasah meraih manfaat daripada skim Edusave.

"Ramai AP yang menggesa bagi perubahan ini, tetapi hujah saya adalah untuk menawarkannya kepada semua rakyat Singapura.

"Jadi dengan itu, walaupun semua pelajar rakyat Singapura dapat menggunakannya, anda harus akur kumpulan yang paling meraih manfaat adalah para pelajar madrasah," jelas beliau.

DETIK-DETIK SUKAR DALAM POLITIK

Bagaimanapun, Encik Zainal, yang berusia 54 tahun, akur khidmatnya selama lebih sembilan tahun juga ada pasang surutnya.

Ini termasuk apabila beliau berasa tidak berdaya, tidak dapat membantu para penduduk mengatasi isu-isu yang dihadapi mereka dek kekangan tertentu.

"Agak mengecewakan apabila mereka inginkan flat sewa tetapi mereka tidak memenuhi kriterianya.

(Gambar: BERITAmediacorp)

"Saya pernah perjuangkan agar ia berlandaskan pendapatan per kapita, berbanding pendapatan bulanan.

"Kementerian Pembangunan Negara (MND) sedar akan hal ini, tetapi ia tetap bergantung kepada kes demi kes. Bagi sebilangan penduduk dengan perancangan kewangan yang lemah, saya amat bersimpati dengan mereka," luah beliau.

Satu lagi cabaran dalam politik pada Encik Zainal juga adalah apabila tutur kata beliau disalah anggap.

"Di media sosial, apabila ayat anda disalah tukil tentang perkara-perkara yang anda sebut, orang mula menyerang anda.

"Ia ibarat 'occupational hazard' (risiko pekerjaan) namun saya tetap melakukan kerja saya," jelasnya.

PERLU SUNGGUH-SUNGGUH BUAT PERUBAHAN

Malah dua penggal lalu jelas mengajar Encik Zainal tentang matlamat berkhidmat kepada masyarakat sebagai seorang AP.

"Penting bagi anda berkhidmat kepada penduduk, kerana anda tidak akan berada di mana anda ada sekarang jika penduduk tidak mengundi anda.

"Bukan penduduk yang berkhidmat kepada anda, anda yang patut berkhidmat kepada penduduk dan menjadikan kejiranan itu lebih baik kerana perubahan perlu berlaku," ujarnya.

Namun perubahan tersebut perlu diiringi dengan semangat bersungguh-sungguh untuk merubah keadaan.

(Gambar: Zainal Sapari/Facebook)

Tambah beliau: "Anda harus bersungguh-sungguh mendesak bagi perubahan, walaupun adanya kekangan.

"Pada akhirnya, saya yakin semua orang mencuba sedaya upaya mahu melihat daripada perspektif berbeza bagi mencapai penerobosan."

BERKHIDMAT DI BELAKANG TABIR

Meskipun sudah berundur daripada menggalas tanggungjawab seorang AP, Encik Zainal mengesahkan beliau masih di bawah Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan menyokong dari belakang tabir.

"Sebilangan mantan AP memberi ceramah dan nasihat bagi menyokong AP sedia ada. Malah saya sendiri mendedahkan Wan Rizal (Wan Zakariah) ke dalam kerja kemasyarakatan dan Sharael Taha dalam mendampingi penduduk.

"Saya masih akan berada di balik tabir dan mempengerusikan beberapa jawatankuasa tiga pihak, yang mana isunya juga boleh dibangkitkan di parlimen," dedah Encik Zainal.

(Gambar: Zainal Sapari/Facebook)

Meskipun tidak akan berkata "sudah berpuas hati" dengan khidmatnya selama ini, beliau berharap para AP sedia ada berkongsi minatnya bagi terus membantu pekerja dalam khidmat penting dan mendesak bagi membawa perubahan bagi meningkatkan kehidupan golongan pekerja tersebut.

"Bagi setiap AP yang berundur, mereka mempunyai banyak ilmu yang boleh dikongsi, dan ia bergantung kepada anggota baru parti ini untuk belajar daripada ilmu ini, mengenal pasti 'blind spot' (kelemahan) dan bagaimana menanganinya," ujar Encik Zainal, seorang mantan guru berpangkat Superintenden di Kementerian Pendidikan sebelum menceburi politik.

Kerusi Encik Zainal di GRC Pasir Ris-Punggol kini ditandingi oleh Encik Sharael Taha dalam GE2020. Wan Rizal Wan Zakariah yang kini bertanding di GRC Jalan Besar pula adalah bekas anak muridnya di Sekolah Menengah Tampines. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan