Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pengerusi SPP Jose Raymond cabar penyandang PAP Sitoh Yih Pin di SMC Potong Pasir

Encik Sitoh Yih Pin dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan bersaing dengan pengerusi Parti Rakyat Singapura (SPP) Jose Raymond di SMC Potong Pasir dalam Pilihan Raya Umum 2020.

Anggaran Waktu Membaca:
Pengerusi SPP Jose Raymond cabar penyandang PAP Sitoh Yih Pin di SMC Potong Pasir

Pengerusi SPP Jose Raymond berentap dengan Sitoh Yih Pin dari PAP di SMC Potong Pasir (Gambar: Jose Raymond/People's Action Party)

Diterbitkan : 30 Jun 2020 03:32PM Dikemas Kini : 30 Jun 2020 03:37PM

SINGAPURA: Encik Sitoh Yih Pin dari Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan bersaing dengan pengerusi Parti Rakyat Singapura (SPP) Jose Raymond di SMC Potong Pasir dalam Pilihan Raya Umum 2020.

Kedua-duanya memfailkan pencalonan mereka di Sekolah Kong Hwa pada Selasa (30 Jun).

Encik Sitoh, 56 tahun, mewakili Potong Pasir sejak Pilihan Raya Umum 2011 apabila beliau menang tipis ke atas Cik Lina Chiam dari SPP dengan perbezaan hanya 114 undi.

Dalam Pilihan Raya Umum 2015 pula, Encik Sitoh sekali lagi bersaing dengan Cik Chiam dan berjaya meraih undi lebih banyak iaitu 66.39 peratus berbanding 33.61 peratus undi yang diraih SPP.

Potong Pasir merupakan kubu kuat pembangkang yang diterajui Encik Chiam See Tong selama 27 tahun sehingga 2011, apabila beliau beralih dari kawasan itu untuk betanding di GRC Bishan-Toa Payoh.

Calon SPP dalam pilihan raya ini ialah Encik Raymond, yang mengambil alih tugas Cik Chiam sebagai pengerusi SPP sejak November tahun lalu. Ini adalah kali pertama beliau bertanding dalam pilihan raya.

Bekas wartawan itu kini bertugas sebagai ketua pegawai strategi firma komunikasi Spin Worldwide.

Beliau juga merupakan bekas pengarah eksekutif Majlis Sekitaran Singapura dan pernah bertugas sebagai Setiausaha Akhbar Menteri Ehwal Luar Vivian Balakrishnan.

"Perjalanan kami ke arah sebuah masyarakat yang berihsan, dan adil bermula hari ini. Perjalanan itu bermula dengan keputusan yang kami buat. Bagi saya, ia adalah satu perjalanan untuk cuba membantu anda melihat bahawa ada Singapura yang lebih baik," kata beliau.

Sempadan kawasan undi Potong Pasir diubah buat pertama kali dalam tempoh 30 tahun apabila ia dikaji semula bagi Pilihan Raya Umum 2020.

SMC itu sekarang termasuk dua daerah yang sebelum ini adalah sebahagian daripada GRC Marine Parade.

Dua lagi daerah - Braddell Road dan lorong 8 Toa Payoh bertukar dari Potong Pasir ke Bishan-Toa Payoh.

 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/NK/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan