Pasukan S Iswaran akan bentuk majlis bandaran baru, merangkumi GRC West Coast, SMC Pioneer
Menteri Penerangan dan Perhubungan S Iswaran yang memimpin pasukan PAP dalam kemenangan di GRC West Coast berkata pasukannya akan membentuk majlis bandaran yang baru, merangkumi kedua-dua GRC West Coast dan SMC Pioneer.
SINGAPURA: Menteri Penerangan dan Perhubungan S Iswaran yang memimpin pasukan PAP dalam kemenangan di GRC West Coast berkata pasukannya akan membentuk majlis bandaran yang baru, merangkumi kedua-dua GRC West Coast dan SMC Pioneer.
Majlis bandaran West Coast-Pioneer itu akan dipengerusikan oleh bakal Anggota Parlimen SMC Pioneer, Encik Patrick Tay.
Pagi tadi (12 Jul), Encik Iswaran bersama anggota pasukan PAP yang menewaskan pasukan Parti Kemajuan Singapura (PSP) dalam pilihan raya yang lalu, melawat penduduk kawasan undi itu.
Ini termasuk Encik Desmond Lee, Encik Ang Wei Neng, Cik Foo Mee Har dan muka baru Cik Rachel Ong.
Mereka bersembang dengan penduduk yang sedang bersarapan di beberapa tempat seperti di Pasar dan Pusat Makanan Boon Lay.
Encik Iswaran memberitahu wartawan, keutamaan pasukannya sekarang adalah membentuk majlis bandaran baru - suatu tugasan yang bukan baru bagi mereka.
Menurut beliau Encik Patrick Tay yang pernah mempengerusikan Majlis Bandaran West Coast sebelum ini, adalah pilihan terbaik kerana akan ada kesinambungan.
Ini bagi memastikan keperluan dan isu-isu dalam kawasan-kawasan undi terbabit, dapat ditangani dengan baik.
"Semasa pilihan raya kami dapat berbagai maklum balas dan kami akan mula berusaha dari sekarang untuk menunaikan janji-janji kami dan juga untuk melancarkan berbagai rancangan yang akan memenuhi keperluan penduduk-penduduk di GRC West Coast terutama sekali tentang pekerjaan, tentang kesejahteraan keluarga," kata Encik Iswaran.
Encik Iswaran menambah pasukannya di GRC West Coast akan terus mengumpulkan maklum balas termasuk daripada penduduk yang tidak mengundi mereka.
Dalam pilihan raya yang baru lalu, pasukan PAP mengatasi pasukan PSP pimpinan Dr Tan Cheng Bok, dengan kelebihan 3.38 peratus undi saja.
Ini berbanding pada 2015, apabila PAP mengalahkan Parti Reform dengan lebih 57 peratus undi.
Encik Iswaran berkata pasukannya di GRC West Coast akan mengadakan "post-mortem", mengambil kira pelbagai faktor yang boleh menyumbang kepada jumlah undi yang diterima PAP.
Beliau turut menghargai majoriti penduduk yang menyokong pasukannya.
Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini
Langgani buletin emel kami
Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.