Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasukan PM Lee menang GRC Ang Mo Kio dengan 71.91% undi

Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP)yang dipimpin Perdana Menteri Lee Hsien Loong terus menguasai GRC Ang Mo Kio dengan memperoleh 71.91 peratus undi.

Anggaran Waktu Membaca:
Pasukan PM Lee menang GRC Ang Mo Kio dengan 71.91% undi

(Gambar: PAP)

Diterbitkan : 11 Jul 2020 04:20AM Dikemas Kini : 11 Jul 2020 04:25AM

SINGAPURA: Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP)yang dipimpin Perdana Menteri Lee Hsien Loong terus menguasai GRC Ang Mo Kio dengan memperoleh 71.91 peratus undi.

Pesaing mereka dari Parti Reform (RP) memungut 28.09 peratus undi. Jumlah undi PAP kali ini bagaimanapun lebih rendah berbanding 78.64 peratus yang diperolehinya pada Pilihan Raya Umum 2015, juga menentang RP.

PAP menampilkan dua muka baru di Ang Mo Kio - Cik Ng Ling Ling dan Cik Nadia Samdin - dengan mantan Anggota Parlimen Darryl David dan Gan Thiam Poh melengkapkan pasukan tersebut.

Pasukan RP dianggotai setiausaha agungnya Kenneth Jeyaretnam, pengerusi Andy Zhu, Encik Charles Yeo, Cik Noraini Yunus dan Encik Soh Guan Soon.

Bercakap dalam satu sesi Facebook Live setelah keputusan diumumkan, Encik Lee mengucapkan terima kasih kepada semua penduduk dan pengundi atas sokongan mereka.

"Kami sangat menyedari tanggungjawab berat yang telah anda berikan kepada kami," katanya. "Kami sangat berbesar hati atas kepercayaan dan keyakinan anda, dan kami akan melakukan yang terbaik untuk berkhidmat kepada anda selama lima tahun akan datang."

Beliau juga mengucapkan terima kasih kepada aktivis dan relawan parti itu, dengan menarik perhatian mereka telah "membantu kami memperjuangkan kempen ini" dan menjaga penduduk; serta "membolehkankami membangunkan sebuah masyarakat dan rangkaian di Ang Mo Kio yang berkhidmat kepada anda, yang perjuangkan kepentingan anda, dan yang akan bekerjasama dengan anda untuk menjadikan Ang Mo Kio tempat yang lebih baik, bandar yang lebih baik untuk tinggal, bekerja dan bermain," kata Encik Lee.

Awal sebelum itu, bercakap selepas hasil kiraan undi sampel diumumkan, Encik Jeyaretnam menyifatkannya sebagai "keputusan yang boleh diterima". Tambahnya pasukan beliau "cukup senang dengan keputusan itu, memandangkan semua rintangan yang kami hadapi".

"Ang Mo Kio adalah GRC terbesar di pulau ini, sangat sukar untuk meliputi seluruh kawasannya," kata Encik Jeyaretnam.

"Tetapi kami telah membuktikan bahawa Parti Reform adalah parti berwibawa," tambahnya, sambil menekankan bahawa tidak apa pun keputusannya, mereka akan terus "berada di sini untuk jangka masa panjang" dan akan terus bekerja di lapangan.

GRC Ang Mo Kio dikurangkan dari enam anggota kepada lima anggota bagi pilihan raya ini, setelah kerusi SMC Yio Chu Kang dikeluarkan. GRC itu juga menyerap sebahagian SMC Sengkang West.

Kemenangan PAP di Ang Mo Kio memang sudah dijangkakan. Encik Lee, yang merupakan setiausaha agung PAP, menjadi anggota parlimen kawasan undi itu sejak ia dibentuk pada 1991.

Semasa berkempen, PAP menekankan bahawa pekerjaan adalah keutamaannya. Calon-calon juga membentangkan pelbagai program yang dilancarkan di Ang Mo Kio sejak bertahun-tahun sebelumnya untuk memperbaiki kediaman dan sekitar estet matang itu.

Dalam kempen RP, Encik Yeo berkata pengundi sepatutnya mempunyai anggota parlimen sepenuh masa yang berkhidmat kepada mereka. Pasukan ini juga menyentuh cara menangani isu-isu berhubung kos sara hidup dan pekerjaan. Encik Jeyaretnam tidak hadir semasa berkempen, kerana menjalani notis jangan keluar rumah selama 14 hari setelah pulang dari United Kingdom.

Dengan 185,465 pengundi, GRC Ang Mo Kio menang tanpa bertanding sebanyak tiga kali sejak pembentukannya pada 1991. Ia dicabar Parti Pekerja pada 2006. Pada 2011, ia bertanding satu lawan satu dengan RP.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan