GE2020

Images
  • PAP RP
    Dari atas, kiri: Lee Hsien Loong, Darryl David, Gan Thiam Poh, Ng Ling Ling, Nadia Samdin, Soh Guan Soon, Noraini, Charles Yeo, Andy Zhu, Kenneth Jeyaretnam.

Pasukan PM Lee gembira ada saingan dari Parti Reform di GRC Ang Mo Kio

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) akan berdepan Parti Reform (RP) di GRC Ang Mo Kio.

Ini disahkan selepas dua pasukan calon itu memfailkan kertas pencalonan mereka di Sekolah Menengah Deyi hari ini (30 Jun).

Pasukan lima anggota PAP yang dipimpin Perdana Menteri Lee Hsien Loong termasuk mantan AP Darryl David dan Gan Thiam Poh serta wajah baru Ng Ling Ling dan Nadia Samdin.

Parti Reform pula menampilkan setiausaha agungnya Kenneth Jeyaretnam, pengerusi Andy Zhu, Encik Charles Yeo, Cik Noraini Yunus dan Encik Soh Guan Soon.

Semasa ditemui wartawan Encik Lee berkata beliau gembira ada persaingan di GRC Ang Mo Kio.

"Kami alu-alukan persaingan ini dan saya pasti penduduk juga mahu mengetahui apa rancangan Parti Reform dan apa yang boleh mereka lakukan," kata beliau.

Menjawab pertanyaan jika beliau ada peratusan undi yang "disasarkan" pada Pilihan Raya Umum kali ini dan sama ada PAP menyasarkan prestasi lebih baik berbanding 69.9 peratus undi yang diraih pada GE2015, Encik Lee berkata beliau tidak pernah menetapkan sasaran sedemikian untuk GE.

"Saya tidak ada sasaran dari segi peratusan bagi GE - kami bertanding, kami lakukan yang terbaik, kami berusaha pikat setiap undi dan apabila kami buka kotak-kotak undi, kami akan tahu bagaimana prestasi kami," kata beliau.

"Kali ini, kami memandang serius setiap undi yang diraih.....setiap kawasan undi ditandingi," kata beliau. "Ini bukan satu pilihan raya kecil, ini Pilihan Raya Umum bagi isu-isu penting berkaitan negara pada saat ini...semua orang harus ingat dan berfikiran sedemikian."

Beliau juga mengumumkan bahawa mantan AP Intan Azura Mokhtar dan Ang Hin Kee akan bersara dari politik.

Encik Zhu dari Parti Reform berkata parti itu tidak bersetuju pilihan raya diadakan di tengah-tengah wabak COVID-19. Namun pasukannya akan mengambil bahagian dengan dalam pilihan raya ini dengan ketua RP Encik Jeyaretnam yang sedang menjalani notis jangan keluar rumah.

"Beliau juga dikenali oleh ramai rakyat Singapura dan kami sudah bertemu penduduk. Penduduk juga pernah nampak beliau, kenal beliau dan beliau sering tampil online," kata Encik Zhu kepada para wartawan selepas sesi penamaan calon tadi.

Seorang lagi anggota pasukannya, Encik Charles Yeo menambah mereka berkomunikasi dengan Encik Jeyaretnam setiap hari menerusi WhatsApp dan telefon.

"Ini bukan zaman 70-an dan 80-an seperti zaman bapa Kenneth (Encik JB Jeyaretnam) yang bertanding menentang Encik Lee Kuan Yew. Kami boleh memaklumkan kepada beliau tentang apa yang sedang berlaku pada bila-bila masa untuk mendapatkan pandangannya," kata beliau dalam bahasa Mandarin.

Pada Pilihan Raya Umum 2015, PAP menang di GRC Ang Mo Kio - yang pada waktu itu merupakan GRC enam anggota - dengan meraih 78.64 peratus undi.

Dalam GE tahun ini, GRC itu dikurangkan kepada lima anggota setelah SMC Yio Chu Kang dikeluarkan daripada kawasan undi itu dan ia menyerap pula SMC Sengkang West.

GRC Ang Mo Kio, yang dibentuk pada tahun 1991, mempunyai 185,465 pengundi. WP pernah bertanding di GRC Ang Mo Kio pada 2006. Pada 2011 RP pula bertanding di sana.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/NK/nk

Top