GE2020

Images
  • GRC Tampines
    Pasukan yang akan bertanding bagi GRC Tampines. (Gambar: Anne-Marie Lim)

Pasukan baru PAP dicabar NSP di GRC Tampines

SINGAPURA: Pasukan Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang bertanding di GRC Tampines bakal dipimpin oleh Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli. Menteri Negara Kanan Perdagangan dan Perusahaan Koh Poh Koon pula menyertai pasukan tersebut untuk menggantikan Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat.

Encik Heng sebaliknya akan bertanding di GRC East Coast dalam pilihan raya kali ini. Dr Koh sebelum ini berkhidmat di GRC Ang Mo Kio.

Tiga calon PAP lain yang akan mempertahankan kerusi mereka adalah Encik Baey Yam Keng, Encik Desmond Choo dan Cik Cheng Li Hui.

Mereka akan dicabar oleh pasukan dari Parti Perpaduan Nasional (NSP), yang dipimpin oleh presiden parti, Reno Fong. Turut masuk gelanggang untuk bertanding bagi NSP adalah Encik Mohd Ridzwan Mohammad, Yeo Ren-Yuan, Choong Hon Heng dan Vincent Ng.

NSP pernah bertanding di Tampines, tetapi kalah di tangan PAP pada 2011 dan 2015.

NSP mendapat 42.8 peratus undi pada 2011. Peratusan undinya pada 2015 jauh lebih rendah, iaitu 27.9 peratus.

GRC Tampines kali ini mempunyai 151,708 pengundi.

"Ramai pengundi bersama kami sejak GRC Tampines dibentuk pada 1988. Ini kerana anda tahu NSP tidak akan pernah rasa gentar untuk bersuara bagi anda," kata Encik Fong dari NSP dalam ucapannya selepas pencalonan pasukannya disahkan hari ini (30 Jun) di Sekolah Poi Ching.

Beliau menambah, ada bahaya "nyata" di mana pihak pembangkang kali ini akan disingkirkan sepenuhnya, sambil merujuk kepada kenyataan ketua Parti Pekerja Pritam Singh pada Ahad (28 Jun) semasa mendedahkan manifesto partinya.

"Harus ada semakan dan imbangan, perbahasan kritikal sebelum sebarang dasar diluluskan di Parlimen. Saya gesa anda supaya memikirkan perkara ini dengan sebaik-baiknya," kata Encik Fong.

"Memberi mandat kukuh kepada Pemerintah seperti memberi mereka cek kosong," tambah beliau. "Apabila Hari Mengundi nanti, tolong pertimbangkan untuk memberi peluang kepada parti-parti alternatif seperti kami. Lakukanlah perkara yang benar."

Dalam ucapannya, Encik Masagos menyambut Dr Koh ke dalam pasukannya dan berkata: "Selama lima tahun, apa yang kami janjikan, kami tunaikan. Undilah Pasukan PAP Tampines sebagai kediaman kita dan hati kita. Tampines bersama!"

Semasa ditemui pihak media selepas itu, Encik Masagos berkata PAP sudah membentuk pasukan "kuat" di Tampines. "Meskipun kita sedih melihat DPM (Heng Swee Keat) meninggalkan kita... kami sentiasa di sini untuk para penduduk dan akan mengingati bimbingannya selama ini," tambah beliau.

Menjawab pertanyaan tentang bagaimana beliau dipilih untuk bertanding di GRC Tampines pula, Dr Koh menjelaskan bahawa prosesnya sama seperti ketika para doktor dikerahkan ke hospital-hospital berbeza.

"Tetapi tidak kira di hospital mana anda berkhidmat, misinya tetap sama. Etika dan dorongan untuk merawat setiap pesakit sebaik mungkin adalah sama," ulas beliau.

"Sedang kita dikerahkan ke kawasan undi berlainan, kesungguhan, etika, nilai dan tekad kami untuk menyumbang dan mempertingkatkan lagi kehidupan rakyat masih sama seperti sebelumnya.

"Saya harap di sinilah saya dapat menyumbang tenaga dan usaha saya bagi lima tahun mendatang, dan saya berharap orang ramai akan memberi saya peluang itu."  

- CNA/AQ/aq

Top