Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pasir Ris-Punggol satu-satunya GRC saksikan pertandingan 3 penjuru; SDA, Parti Suara Rakyat masuk gelanggang lawan PAP

GRC Pasir Ris-Punggol akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum (GE) kali ini. Para calon dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA) dan Parti Suara Rakyat (PV) disahkan pencalonan mereka pada Hari Penamaan Calon pada Selasa (30 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Jun 2020 06:51PM Dikemas Kini : 30 Jun 2020 09:24PM

SINGAPURA: Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Pasir Ris-Punggol akan menyaksikan pertandingan tiga penjuru dalam Pilihan Raya Umum (GE) kali ini. Para calon dari Parti Tindakan Rakyat (PAP), Perikatan Demokratik Singapura (SDA) dan Parti Suara Rakyat (PV) disahkan pencalonan mereka pada Hari Penamaan Calon pada Selasa (30 Jun).

Pasukan PV untuk GRC lima anggota itu terdiri daripada aktivis Gilbert Goh, 58, pensyarah bebas Mohamed Nassir Ismail, 63, pemandu peribadi Jireh Lim, 61, pengurus kewangan perniagaan Prabu Ramachandran dan guru prasekolah Vigneswari Ramachandran.

"Parti Suara Rakyat adalah sebuah parti politik yang baru. Namun kami bukan parti yang bodoh, tidak bertanggungjawab atau pembuat kacau,” kata Encik Lim, setelah proses penamaan calon ditutup di pusat penamaan calon di Sekolah Rendah Canossian St Anthony.

“PAP juga bermula sebagai sebuah parti pembangkang. Orang-orang pada ketika itu memberi kepercayaan kepada mereka dan seterusnya adalah sejarah,” tambahnya.

Rakan sepasukannya, Encik Goh, menyertai parti itu seminggu yang lalu dan sebelum ini dijangka akan bertanding di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Pioneer, tetapi beliau sebaliknya menegaskan bahawa PV memutuskan untuk "memberi laluan" kepada Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang akan bertanding di sana.

PAP membariskan Menteri Kanan merangkap Menteri Penyelaras bagi Keselamatan Negara Teo Chee Hean, whip parti Janil Puthucheary dan tiga calon baru - mantan ketua Persatuan Rakyat Desmond Tan Kok Ping, 50, ketua eksekutif Caregiver Asia Yeo Wan Ling, 44, dan Sharael Taha, 39, naib presiden Singapore Aero Engine Services.

Pada penggal terakhir PAP, Encik Teo menyelia Divisyen Pasir Ris West, sementara Dr Puthucheary dan Encik Zainal Sapari masing-masing menerajui divisyen Pasir Ris Coast dan Pasir Ris East.

"Krisis COVID ini adalah krisis paling serius yang pernah saya hadapi dalam 40 tahun berkhidmat dalam perkhidmatan awam saya," kata Encik Teo. "Kita memerlukan pemerintah yang diyakini dan berkeupayaan agar kita sama-sama dapat mengharungi krisis ini."

Ketika ditanya oleh para wartawan mengenai pertandingan tiga penjuru di GRC tersebut, Encik Teo berkata bahawa pasukannya "mengalu-alukan semua yang bakal bertanding". Beliau menambah bahawa pasukannya akan "bekerja rapat" dengan SMC Punggol West yang baru ditubuhkan untuk "memastikan majlis bandaran dan kedudukan kewangannya diurus dengan baik".

Parti lawan, SDA sudah bertanding di GRC Pasir-Ris Punggol sejak tiga pilihan raya yang lalu. Seperti pada tahun 2015, SDA akan membariskan satu-satunya pasukannya di sana kali ini.

Lima calonnya kali ini adalah pengerusi parti, Desmond Lim, ketua pegawai media Harminder Pal Singh, 48, setiausaha agung Abu Mohamed, 69, dan calon baru Kelvin Ong dan Kuswadi Atnawi. Encik Ong, 34, adalah seorang pengurus kemudahan, sementara Encik Kuswadi, 57, adalah seorang jurutera elektrik.

"Sepanjang 13 tahun lalu, kami tidak pernah membiarkan (penduduk) begitu saja selepas setiap pilihan raya tetapi telah bekerja lebih keras untuk menyokong anda kerana kami percaya bahawa kepentingan anda adalah keutamaan kami, terutama warga emas dan penduduk yang kurang bernasib baik," kata Encik Lim dalam bahasa Mandarin.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan