Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Parti Reform lancar manifesto tertumpu kepada bina masyarakat 'lebih adil' untuk rakyat S'pura

Parti Reform pada Jumaat (26 Jun) melancarkan manifestonya bagi Pilihan Raya Umum 2020, tertumpu kepada membina sebuah "masyarakat lebih baik dan  adil bagi rakyat Singapura".

Anggaran Waktu Membaca:
Parti Reform lancar manifesto tertumpu kepada bina masyarakat 'lebih adil' untuk rakyat S'pura

Seorang lelaki membaca risalah Parti Reform di pusat penjaja di Ang Mo Kio pada 27 Jun 2020. (Gambar: Christy Yip)

Diterbitkan : 27 Jun 2020 07:01PM Dikemas Kini : 27 Jun 2020 07:03PM

SINGAPURA: Parti Reform pada Jumaat (26 Jun) melancarkan manifestonya bagi Pilihan Raya Umum 2020, tertumpu kepada membina sebuah "masyarakat lebih baik dan adil bagi rakyat Singapura".

Manifesto itu dilancarkan bersama cogan kata kempennya iaitu "Membina Semula Lebih Baik, Lebih Adil" dalam satu catatan di laman webnya sambil menarik perhatian "krisis ekonomi dan kesihatan sejagat belum pernah berlaku" yang dihadapi Singapura.

"Ini adalah ancaman khusus terhadap kemampuan Singapura untuk terus makmur kerana kita sudah terlalu bergantung kepada perdagangan global dan model ekonomi Pemerintah yang menyimpan secara berlebihan selain menggunakan lebihan Belanjawan serta akaun semasa yang besar," menurut parti itu.

"Walaupun kami tidak mengkritik jumlah agak besar dan belum pernah terjadi sebelumnya yang dibelanjakan oleh Pemerintah dalam usaha melindungi pekerjaan serta mata pencarian warga Singapura, kami yakin ia masih belum mencukupi," tambahnya.

Parti itu menganggarkan Singapura mempunyai "sekurang-kurangnya S$1.5 trilion" dalam rizabnya dan mampu untuk membelanjakan tambahan S$60 bilion setiap tahun dari jumlah tersebut.
Parti itu bagaimanapun tidak memberi perincian bagaimana ia memperolehi perangkaan tersebut.

"Sedang kita menangani krisis ini, kita perlu membangunkan semula Singapura dan ini adalah peluang untuk membangunkan (negara) yang lebih baik dan lebih adil," menurut parti itu.

"Oleh kerana krisis ekonomi yang begitu teruk, ratusan ribu rakyat Singapura biasa yang bekerja keras berdepan risiko kehilangan pekerjaan mereka bukan atas sebab kesalahan mereka sendiri," tambahnya.

Manifesto itu membentangkan beberapa cadangan dasar termasuk menggantung Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) untuk tahun ini dan 2021 diikuti dengan satu semakan untuk menggugurkan GST bagi sesetengah kategori perbelanjaan penting seperti makanan, api air serta ubat-ubatan.

Ia juga mengusulkan diadakan bayaran faedah pengangguran sehingga enam bulan, berdasarkan 75 peratus jumlah gaji terakhir diterima, tidak melebihi S$2,500 sebulan.

Warga tua berusia lebih 65 akan menerima bayaran S$500 sebulan. Kanak-kanak yang keluarga mereka tergolong dalam kumpulan "berpendapatan median pada atau kurang 1.5" juga akan menerima S$300 sebulan, menurut usulan itu.

Parti Reform juga menyarankan khidmat jagaan kesihatan universal dan pendidikan universiti percuma buat mereka yang sudah menjalani Perkhidmatan Negara, tanpa menyediakan perinciannya.

Ia mencadangkan gaji minimum S$100 sejam sambil menyatakan ini akan "memastikan lebih banyak pekerjaan diberikan kepada rakyat Singapura dan gaji lebih baik bagi pekerja asing."

Parti itu juga mengusulkan gaji minimun bagi pemegang pas pekerja dinaikkan kepada S$5,000 berbanding S$3,900 sekarang ini.

Mereka yang tidak menjalani NS juga seharusnya membayar cukai tambahan, tambahnya.  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan