Skip to main content

Iklan

Iklan

Parti pembangkang giat tambat hati penduduk jelang Hari Penamaan Calon

Parti-parti pembangkang giat bertemu penduduk pada Ahad (28 Jun) menjelang Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum akan datang.

Anggaran Waktu Membaca:
Parti pembangkang giat tambat hati penduduk jelang Hari Penamaan Calon

Setiausaha agung Parti Kemajuan Singapura (PSP) Dr Tan Cheng Bock. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Diterbitkan : 28 Jun 2020 10:17PM Dikemas Kini : 28 Jun 2020 10:26PM

SINGAPURA: Parti-parti pembangkang giat bertemu penduduk pada Ahad (28 Jun) menjelang Hari Penamaan Calon bagi Pilihan Raya Umum akan datang.

Para bakal calon daripada pasukan Parti Pekerja (WP) yang dijangka bertanding di GRC Aljunied mengadakan sesi bertemu penduduk dua hari berturut-turut.

Ketua WP Encik Pritam Sing, pengerusi parti Cik Sylvia Lim, naib pengerusi Encik Faisal Manap, Encik Leon Perera dan Encik Gerald Giam, dilihat mengedarkan risalah dan beramah mesra dengan para pelanggan dan pemilik gerai di Pasar dan Pusat Penjaja Serangoon Garden pagi tadi (28 Jun).

Pada pagi semalam (27 Jun), kelima-lima bakal calon WP itu berkunjung ke dua pusat penjaja di Bedok North dan Eunos.

Semasa sidang media online parti itu pada Jumaat, Encik Singh berkata bahawa beliau akan mempertahankan kerusinya di Aljunied - bersama dengan Cik Lim dan Encik Faisal - bagi Pilihan Raya Umum pada 10 Jul.

Mereka akan disertai oleh mantan Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) Encik Giam dan Encik Perera.

Di kubu kuat WP di Hougang, bakal calon Dennis Tan mengadakan lawatan bertemu penduduk dengan Encik Png Eng Huat dan Encik Low Thia Khiang, menurut rakaman video yang dimuat naik ke laman Facebooknya.

LAWATAN BERTEMU PENDUDUK PSP DI BOON LAY PLACE FOOD VILLAGE

Di Boon Lay Place Food Village, setiausaha agung Parti Kemajuan Singapura (PSP) Dr Tan Cheng Bock dan anggota partinya Encik Lee Hsien Yang dilihat beramah mesra dengan para penduduk dan pemilik gerai di pusat penjaja itu.

Mereka diiringi oleh penolong setiausaha agung parti Leong Mun Wai dan anggota parti tersebut Encik Michael Chua.

Pasar itu terletak di GRC West Coast, sebuah kawasan undi di mana PSP menyatakan bahawa ia merancang untuk bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Para penduduk juga mendekati Encik Lee, iaitu adik lelaki kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, untuk menyapa dan meminta bergambar dengannya

Dr Tan berkata bahawa PSP akan bertanding di empat GRC dan lima SMC - GRC West Coast, Nee Soon, Tanjong Pagar dan Chua Chu Kang serta SMC Hong Kah North, Pioneer, Yio Chu Kang, Kebun Baru dan Marymount.

SDP PERLUAS LAWATAN BERTEMU PENDUDUK

Setiausaha Agung Parti Demokratik Singapura (SDP) Dr Chee Soon Juan pada Ahad melakukan apa yang dipanggilnya sebagai "lawatan bertemu penduduk yang lebih luas" di Bukit Batok - yang diadakan selama lebih tiga jam.

Lawatannya, yang bermula sekitar 8.30 pagi, membawanya ke kedai kopi, pusat penjaja dan sebuah pasar.

Meskipun beliau sudah mengesahkan bahawa beliau akan bertanding di SMC Bukit Batok, perincian mengenai calon-calon lain hanya akan didedahkan pada Hari Penamaan Calon, katanya.

SDA BERTEMU PENDUDUK DI PASIR RIS

Sementara itu, para bakal calon Perikatan Demokratik Singapura (SDA) dilihat bertemu penduduk di Pasir Ris.

Pengerusi parti, Encik Desmond Lim, ketua pegawai media Harminder Pal Singh, Encik Kuswadi Atnawi dan Encik Abu Mohamed pada mulanya beramah mesra dan mengambil gambar dengan sekitar 20 penduduk lanjut usia di kolong blok Blok 614 Elias Road.

Mereka kemudian berpecah untuk meneruskan lawatan bertemu penduduk di Elias Mall dan flat-flat HDB di Elias Road.

Keempat-empat lelaki itu adalah sebahagian daripada para bakal calon SDA yang dijangka akan bertanding di GRC Pasir Ris-Punggol bagi Pilihan Raya Umum akan datang. Encik Kelvin Ong, anggota kelima pasukan itu dilihat di Punggol.

LAWATAN BERTEMU PENDUDUK NSP DI PUSAT PENJAJA KAMPUNG ADMIRALTY

Setiausaha Agung Parti Perpaduan Nasional (NSP), Encik Spencer Ng mengetuai sebuah rombongan seramai 10 orang untuk mengadakan lawatan bertemu penduduk di Pusat Penjaja Kampung Admiralty pagi tadi.

Antara mereka adalah anggota parti Encik Kevryn Lim dan Encik Yadzeth Haris - kedua-duanya pernah bertanding di GRC Sembawang pada 2015 - dan Encik Sebastian Teo.

Encik Ng bagaimanapun enggan mendedahkan barisan lengkap NSP, hanya setakat mengesahkan bahawa tiga calon baru dan parti itu akan bertanding di GRC Sembawang dan GRC Tampines.

Para anggota parti itu turut mengedarkan risalah kepada para penduduk di pusat penjaja berkenaan. 

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/NA/na
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan