Skip to main content

Iklan

Iklan

Parti Pekerja menang GRC Sengkang yang baru dengan 52.13% undi

Parti Pekerja (WP) memenangi kawasan undi baru GRC Sengkang dengan pungutan undi 52.13 peratus berbanding 47.87 peratus yang diperolehi oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Anggaran Waktu Membaca:
Parti Pekerja menang GRC Sengkang yang baru dengan 52.13% undi

(Gambar: Marcus Mark Ramos)

Diterbitkan : 11 Jul 2020 06:06AM Dikemas Kini : 11 Jul 2020 06:15AM

SINGAPURA: Parti Pekerja (WP) memenangi kawasan undi baru GRC Sengkang dengan pungutan undi 52.13 peratus berbanding 47.87 peratus yang diperolehi oleh Parti Tindakan Rakyat (PAP).

Pasukan WP terdiri daripada Cik He Ting Ru, Dr Jamus Lim, Cik Raeesah Khan dan Encik Louis Chua.

Mereka berjaya mengatasi pasukan PAP yang terdiri daripada Menteri di Pejabat Perdana Menteri Ng Chee Meng, Encik Lam Pin Min, Amrin Amin dan muka baru Raymond Lye, yang merupakan seorang peguam.

Para pemerhati telah menjangkakan pertandingan sengit di GRC Sengkang.

Dr Jamus Lim muncul sebagai calon yang menarik perhatian ramai semasa berkempen, dipuji atas prestasinya semasa perbahasan politik di televisyen bersama Menteri Luar Vivian Balakrishnan.

Pada Sabtu, Dr Lim mengucapkan terima kasih kepada pengundi dalam video langsung di laman Facebook WP setelah kemenangan pasukannya.

Cik He pula mengucapkan terima kasih kepada pengundi atas "keyakinan" mereka kepada pasukan tersebut.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada sukarelawan dan anggota parti lain, seperti Cik Lee Li Lian, bekerja di lapangan sebelum pasukannya.

Semasa berkempen, WP perlu menangani isu berhubung komen yang dibuat Cik Raeesah setelah beliau disiasat polis kerana didakwa menggalakkan "permusuhan antara kumpulan yang berlainan agama atau kaum".

Cik Raeesah meminta maaf atas komen "tidak sensitif" yang dibuatnya di media sosial.

Pasukan WP di Sengkang kemudian menumpukan kempen mereka dengan menjanjikan pekerjaan baik untuk warga Singapura, pendidikan inklusif dan lebih banyak ruang sosial di kawasan undi tersebut.

PAP pula berkongsi wawasannya untuk mewujudkan gerakan "Sengkang Bersama", berikrar untuk menjaga keluarga muda dan warga senja. Encik Ng, selaku setiausaha agung Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC), juga berkata beliau dalam "kedudukan baik" untuk membantu penduduk yang bimbang mengenai jaminan pekerjaan.

Bercakap kepada wartawan setelah keputusan diumumkan, Encik Ng berkata meskipun keputusan itu "tidak seperti yang mereka inginkan", perjalanan mereka di Sengkang tetap "indah".

Apabila ditanya sebab pasukannya kalah, Encik Ng berkata: "Beri kami masa untuk menilai faktor-faktor yang berbeza. Mungkin ada pelbagai isu yang perlu kami tangani. Beri kami ruang untuk berbincang dengan rakan-rakan dan mendapatkan pemahaman lebih menyeluruh tentang kawasan itu."

GRC Sengkang terbentuk dari bekas kerusi SMC Sengkang West dan Punggol East, serta sebahagian dari GRC Pasir-Ris Punggol.

Pada Pilihan Raya Umum 2015, calon PAP Charles Chong menang tipis ke atas Cik Lee dari WP di Punggol East dengan meraih 51.8 peratus undi.

Pada tahun itu, jumlah undi PAP di Sengkang West, sebanyak 62.1 peratus juga,adalah di bawah purata nasional parti itu iaitu 69.9 peratus.

GRC Sengkang mempunyai lebih 120,000 pengundi, dan kawasan itu termasuk Compassvale, Rivervale dan Anchorvale.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan