GE2020

Images
  • tan cheng bock psp
    (Gambar: Mediacorp)

Parti Kemajuan Singapura lancar manifesto, slogan 'You Deserve Better'

SINGAPURA: Parti Kemajuan Singapura (PSP) pada Isnin (29 Jun) mendedahkan manifesto parti itu bagi Pilihan Raya Umum 2020, yang antara matlamatnya menetapkan sasaran bagi memastikan rakyat Singapura dapat menikmati hasil pertumbuhan ekonomi Singapura.

Manifesto setebal 13 muka surat itu, juga mendedahkan slogan kempen parti itu iaitu "You Deserve Better" atau "Anda Layak Terima Lebih Baik".

Ia dibahagikan kepada tiga bahagian: Pembangunan ekonomi, pembangunan sosial dan pembangunan politik, kesemuanya menetapkan bagaimana PSP dapat membangunkan "wawasan alternatif' untuk Singapura.

Manifesto tersebut dibentangkan oleh naib pengerusi parti Hazel Poa dalam sidang media online. Turut hadir di sidang maya itu termasuk setiausaha agung parti Tan Cheng Bock dan penolong setiausaha agung Leong Mun Wai.

PSP mengambil "pendekatan hibrid" dalam melakarkan prinsip panduan yang meluas dalam pelbagai aspek sebelum menggariskan beberapa dasar terpilih, jelas Cik Poa.

Mengenai perkembangan ekonomi, Cik Poa menarik perhatian bahawa "ekonomi harus berkhidmat untuk rakyat Singapura, bukan sebaliknya."

"Tujuan bagi pertumbuhanekonomi adalah untuk membaiki taraf hidup penduduk, dan bukan untuk melihat penduduk sebagai penyumbangbagi menjana ekonomi," katanya.

Cik Poa juga berkata strategi membawa masuk pekerja asing menyebabkan "timbal balik' di mana GDP negara meningkat tetapi pertumbuhan gaji sebenar menguncup.

"Dari segi keutamaan, kami akan mengutamakan pertumbuhan gaji dan justeru mencari cara untuk mengembangkan ekonomi yang akan bantu meningkatkan gaji, dan tidak melakukannya menerusi strategi yang sebenarnya memberi tekanan kepada pertumbuhan gaji."

Menjawab soalan media, penolong setiausaha agung PSP Encik Leong berkata tumpuan kepada GDP sahaja bukan sesuatu yang "berkesan".

"Hanya menumpukan pada GDP sahaja tidak memadai. Kita harus memberi tumpuan kepada rakyat - termasuk dalam pengurusan ekonomi, kita perlu ada belas kasihan," katanya.

PSP akan berusaha memastikan keutamaan pekerjaan adalah bagi rakyat Singapura selain mengurangkan tenaga kerja asing, kata Cik Poa. Parti itu juga menganjurkan agar perjanjian dagangan bebas disemak semula, terutama sekali bagi yang melibatkan pertukaran tenaga kerja seperti Perjanjian Kerjasama Ekonomi Menyeluruh (CECA) Singapura-India.

Dengan kehilangan pekerjaan dijangka berlaku di masa hadapan disebabkan oleh kesan COVID-19 terhadap ekonomi, ini akan menyediakan peluang untuk mengurangkan tenaga kerja asing dan memulakan dengan 'proses penyusunan semula struktur', kata Cik Poa.

"Sebarang penyusunan semula ekonomi menyebabkan kesulitan, namun disebabkan oleh COVID-19, keperitan itu sudah pun kami alami," katanya. "Tujuan kami adalah untuk menambah peruntukan gaji dalam GDP untuk mencapai piawai ekonomi lebih maju."

"Bagi PSP, gaji bukan hanya dianggap sebagai satu kos perniagaan. Ia melibatkan kehidupan rakyat Singapura, berlandaskan prinsip kami bahawa pertumbuhan ekonomi adalah bagi kepentingan rakyat, dan bukan untuk menjejas gaji rakyat."

PSP CADANG "KEPERLUAN ASAS" DIKECUALIKAN DARIPADA GST

Dari segi pembangunan sosial pula, manifesto PSP itu menyarankan agar "keperluan asas" dikecualikan daripada cukai barangan dan perkhidmatan (GST). I ajuga menyarankan sebarang kenaikan cukai dan yuran dibekukan bagi lima tahun akan datang.

PSP turut menganjurkan bagi had pengeluaran CPF lebih tinggi apabila pencarum berusia 55 tahun serta bayaran premium MediShield Hayat dibayar Pemerintah.

Bagi memastikan flat Lembaga Perumahan dan Pembangunan (HDB) terus dalam kemampuan rakyat, PSP menambah dalam manifestonya bahawa ia ingin memadankan harga flat baru kepada tahap pendapatan. Menurutnya, ini akan mengurangkan harga rumah bagi golongan muda dan memberi mereka kebebasan untuk menceburi bidang niaga.

Cik Poa memberi contoh harga flat 4-bilik yang dapat dipadankan kepada gaji median supaya harganya terus dimampui dalam "situasi ekonomi yang berbeza".

Anggota PSP Francis Yuen berkata ia adalah matlamat yang realistik kerana buat masa ini, harga tanah membentuk sekitar 60 peratus kos membina sebuah flat.

Oleh yang demikian, katanya saranan itu adalah rasional dan satu "huraian wajar" untuk mengurangkan harga flat baru untuk pembeli.

Selain itu, bagi memastikan pasaran jualan semula flat tidak terjejas disebabkan harga flat-flat Bina-Ikut-Tempah (BTO) yang lebih rendah, Encik Leong berkata parti itu akan melaksanakan program pembangunan kelompok bagi semua flat HDB sedia ada.

"Ini bagi menyediakan sokongan kepada pasaran jualan semula flat. Kami akur kami akan perlu menguruskan pasaran HDB secara perlahan, bagi mencapai matlamat sosial kami," kata Encik Leong.

"Namun pada masa yang sama, kami tidak mahu sebarang gangguan yang tidak diperlukan pada pasaran hartanah kami," katanya lagi.

PSP akan bertanding di empat Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan lima Kawasan Undi Perseorangan (SMC) dalam Pilihan Raya Umum yang akan datang, bagi merebut 24 kerusi.

Ia menampilkanbarisan bakal calonnya yang akan ditempatkan di GRC West Coast, Nee Soon, Tanjong Pagar dan Chua Chu Kang serta di SMC Hong Kah North, Pioneer, Yio Chu Kang, Kebun Baru dan Marymount.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/HA/ha

Top