GE2020

Images
  • Sengkang GRC
    Barisan calon yang akan merebut GRC Sengkang. (Gambar: PAP/WP)

PAP, WP rebut kawasan undi baru GRC Sengkang

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) dan Parti Pekerja (WP) siap bertarung di kawasan undi perwakilan berkumpulan (GRC) yang baru di Sengkang.

Barisan calon WP terdiri daripada Encik Jamus Lim, 44 tahun: Cik Raeesah Khan, 26 tahun; Cik He Ting Ru, 37 tahun; dan Encik Louis Chua, 33 tahun.

Mereka akan berdepan pasukan PAP yang terdiri daripada Encik Ng Chee Meng, Encik Lam Pin Min, Encik Amrin Amin dan calon baru Raymond Lye.

Dibentuk awal tahun ini, GRC baru itu mempunyai lebih 120,000 pengundi. Ia meliputi kawasan yang sebelum ini SMC Sengkang West dan Punggol East serta bahagian Sengkang Central di bawah GRC Pasir Ris-Punggol sebelum ini.

Kawasan-kawasan di bawah GRC baru itu adalah Compassvale, Rivervale dan Anchorvale.

Encik Ng ialah bekas AP di GRC Pasir Ris-Punggol, Encik Lam bekas AP Sengkang West, Encik Amrin AP GRC Sembawang sebelum ini menakala Encik Lye mempengerusikan Jawatankuasa Perundingan Rakyat (CCC) Punggol East.

Berucap di pusat penamaan calon di Sekolah Rendah St Anthony's Cannossian selepas barisan AP GRC itu diumumkan, Encik Lye berkata meskipun kawasan undi itu baru, pasukan PAP mempunyai pengalaman bertahun-tahun dalam hal-hal berkaitan GRC tersebut.

Encik Ng, yang juga setiausaha agung NTUC, berkata negara ini sedang berdepan "krisis yang belum pernah berlaku sebelum ini" dan menggesa pengundi supaya memilih PAP agar parti itu boleh memimpin negara ini keluar daripada krisis.

Beliau menambah, bukan hanya ekonomi dunia tetapi kehidupan penduduk yang menjadi kebimbangan PAP serta mutu kehidupan mereka dan pelbagai kemudahan yang mahu PAP bangunkan bersama-sama penduduk.

"Kami mahu bekerja dengan anda, kami mahu mendampingi anda supaya kita boleh mendengar daripada anda dan membina bandar Sengkang menjadikannya tempat yang boleh kita diami dengan selesa," ujar Encik Ng.

Encik Lim dari WP pula berkata pasukannya berbesar hati dapat bertanding di GRC itu dan tidak sabar untuk berjumpa dengan penduduk dan mendampingi mereka menerusi sebanyak mungkin wadah perjumpaan yang boleh. Beliau menggesa penduduk supaya " menjadikan undi anda bermakna".

"Sedang kami bertemu penduduk sepanjang beberapa tahun lalu, kami sudah mendengar kisah-kisah anda, kebimbangan dan keprihatinan serta aspirasi dan harapan anda. Ini mewujudkan idea-idea, perancangan dan dasar-dasar," kata beliau.

"Kami berharap agar diberi peluang untuk berkongsi dengan anda aspirasi dan visi kami untuk mewujudkan masyarakat yang terus hidup bahagia dan inklusif di Sengkang dan di Singapura."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/NK/nk

Top