Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

PAP tampilkan 8 calon baru termasuk Nadia Ahmad Samdin dan Mohd Fahmi Aliman

Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperkenalkan kumpulan pertama seramai lapan calon pada Rabu (24 Jun), sehari selepas Parlimen dibubarkan. 

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 24 Jun 2020 03:04PM Dikemas Kini : 24 Jun 2020 09:35PM

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperkenalkan kumpulan pertama seramai lapan calon pada Rabu (24 Jun), sehari selepas Parlimen dibubarkan.

Terbahagi kepada dua sesi, empat calon pertama diperkenalkan oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat manakala kumpulan kedua pula ditampilkan oleh Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkilfi.

Kumpulan pertama calon pilihan raya itu termasuk mantan ketua Persatuan Rakyat (PA) Desmond Tan, 49 tahun, pengarah urusan dan pengasas bersama kumpulan gaya hidup serta hiburan Timbre Edward Chia, 36 tahun, pengarah bersekutu di firma guaman TSMP Law Corporation Nadia Ahmad Samdin, 30 tahun, dan pengurus besar di Keppel Offshore & Marine Ivan Lim, 42 tahun.

Parti itu turut memperkenalkan peguam Hany Soh Hui Bin, 33 tahun, naib presiden kanan UOB Don Wee Boon Hong, 43 tahun, wakil kesatuan Mohd Fahmi Aliman, 43 tahun, dan mantan pegawai perkhidmatan awam Yip Hon Weng, 43 tahun.

Encik Heng berkata pembaharuan calon untuk pilihan raya kali ini akan membolehkan parti itu untuk membawa masuk wajah baru dari pelbagai segmen masyarakat supaya mereka dapat mewakili segmen-segmen tersebut dan mengetengahkan kepentingan yang berbeza untuk dibincangkan.

"Kami sudah memperkukuhkan keupayaan kami untuk berkhidmat kepada rakyat dan membawa Singapura maju ke hadapan," kata Encik Heng.

"Apa yang sangat menggembirakan bagi kami adalah sekarang kami sudah melihat ramai orang, ramai rakyat Singapura yang mengambil kesempatan untuk memulakan lembaran baru dengan cara yang berlainan. Laluan berbeza yang pelbagai dalam pendidikan atau dalam aspirasi kerjaya mereka mahupun dalam kursus yang mereka minati dan dapat mencapai kemajuan untuk mempertingkatkan diri mereka sepenuhnya dalam proses ini."

Kesemua 93 kawasan undi akan ditandingi oleh PAP, kata Encik Heng. Bagaimanapun, parti itu tidak akan mendedahkan di manakah calon-calon baru itu akan bertanding.

CALON-CALON BARU PAP

Encik Desmond Tan Kok Ming, 49 tahun

Encik Tan melepaskan jawatan sebagai ketua Persatuan Rakyat (PA) pada 15 Jun, setelah berkhidmat selama tiga setengah tahun. Beliau mengetuai operasi akar umbi PA sebagai sebahagian daripada respons COVID-19 seluruh pemerintah, menurut persatuan itu ketika mengumumkan pengunduran beliau.

Sebelum ini, Encik Tan adalah seorang Brigadier Jeneral dan pelantikan terakhirnya adalah Ketua Turus (Kakitangan Turus Am) dalam tentera. Beliau berkhidmat dalam Batalion Pertama Rejimen Infantri Singapura dan merupakan Ketua Pegawai Pengawal. Beliau sudah berkahwin dan mempunyai tiga orang anak. Beliau aktif dalam Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Pasir Ris-Punggol.

Encik Edward Chia Bing Hui, 36 tahun

Encik Chia adalah pengarah urusan dan pengasas bersama kumpulan gaya hidup serta hiburan Timbre, yang mengasaskan Timbre @ the Substation - sebuah bar muzik langsung - pada usia 21 tahun. Beliau juga kini berkhidmat sebagai pengerusi bersama kumpulan kerja Agensi Sekitaran Kebangsaan (NEA) untuk melestarikan budaya penjaja. Beliau juga adalah anggota lembaga Majlis Politeknik Ngee Ann.

Menerusi Pelan Tindakan SG Youth, yang dipengerusikan beliau bersama dengan Menteri Negara Kanan Kebudayaan, Masyarakat dan Belia (MCCY) Sim Ann, beliau menyasarkan untuk bekerjasama dengan golongan belia untuk merangka hala tuju masa depan. Ini di samping mengubah idea menjadi tindakan untuk sebuah Singapura yang lebih baik . Beliau pernah dilihat bersama dengan Anggota Parlimen GRC Holland-Bukit Timah Liang Eng Hwa.

Cik Nadia Ahmad Samdin, 30 tahun

Cik Nadia adalah pengarah bersekutu di TSMP Law Corporation, sebuah firma guaman korporat. Beliau adalah anggota lembaga dan ketua belia di LBKM, juga dikenali sebagai Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud, sebuah badan amal untuk masyarakat Melayu/Islam di Singapura.

Cik Nadia sebelum ini adalah seorang penerbit ehwal semasa di CNA dan juga pernah berkhidmat dengan Majlis Belia Kebangsaan (NYC), Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) dan sebagai penasihat panel di Mahkamah Belia. Beliau berharap dapat mengurangkan pencemaran plastik dan menjadi "suara untuk generasinya" dalam seruan bagi menggalak "pertumbuhan ekonomi yang mampan".

Encik Ivan Lim Shaw Chuan, 42 tahun

Encik Lim adalah pengurus besar di Keppel Offshore & Marine. Pada 2018, Perdana Menteri Lee Hsien Loong menulis di Facebook mengenai bagaimana Encik Lim memulakan kerjayanya di Keppel Harbour Yard pada 1994 sejurus selepas Peringkat O pada usia 16 tahun, sebelum beliau menerima biasiswa Keppel untuk melanjutkan pengajian ke peringkat diploma dan kemudiannya, ijazah.

"Dengan keadaannya sedemikian rupa sehingga beliau tidak mempunyai pilihan selain mula bekerja pada usia muda sebegitu... Ini adalah kisah inspirasi bagaimana Keppel menggilap bakatnya," tulis Encik Lee. Encik Lim dilihat melakukan kegiatan sukarela di GRC Jurong.

Cik Hany Soh Hui Bin, 33 tahun

Cik Soh adalah seorang pengarah di MSC Law Corporation, firma guaman dan huraian pertikaian. Beliau menganggotai Jawatankuasa Peguam Muda, Jawatankuasa Skim Bantuan Guaman Jenayah dan Jawatankuasa Klinik Perundangan Masyarakat Persatuan Undang-Undang Singapura.

Cik Soh juga seorang pemimpin akar umbi di Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Bukit Panjang dan pernah berkhidmat dalam Jawatankuasa Perundingan Rakyat dan Jawatankuasa Penduduk Bukit Panjang. Beliau adalah mantan Ketua PAP Muda cabang Bukit Panjang dan dipilih untuk menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Ibu Pejabat PAP pada 2016.

Beliau berharap dapat mewakili suara penduduknya di Parlimen dan diperkenalkan oleh Encik Masagos Zulkifli, Menteri Sekitaran dan Sumber Air, sebagai seorang yang aktif dalam inisiatif kemampanan di Bukit Panjang.

Encik Don Wee Boon Hong, 43 tahun

Encik Wee kini bertugas di UOB sebagai naib presiden kanan. Beliau juga menganggotai lembaga Pelawat Institut Kesihatan Mental (IMH) dan bekerja dengan Pejabat Penjaga Awam Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF) secara pro bono, menurut profil LinkedInnya.

Encik Wee adalah anggota majlis Institut Akauntan Berkanun Singapura dan anggota Jawatankuasa Pendidikan Profesional Berterusan. Membesar di flat sewa, Encik Wee berkata beliau menerima pendidikan yang bukan konvensional serta "telah menjadi penerima sistem meritokratik Singapura" dan ingin membantu mereka yang kurang bernasib baik.

Encik Mohd Fahmi Aliman, 43 tahun

Encik Fahmi menyertai Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) tahun lalu tetapi mengundurkan diri pada 24 Mac. Mantan kolonel itu berkhidmat bersama Angkatan Bersenjata Singapura (SAF) selama 26 tahun dan pada suatu ketika pernah berkhidmat sebagai pengarah Pusat Bantuan Kemanusiaan dan Penyelarasan Bantuan Bencana Serantau Changi.

Beliau kini bersama Kongres Kesatuan Sekerja Kebangsaan (NTUC). Beliau dibesarkan di flat sewa dan ibu bapanya pernah bekerja sebagai pekerja gas dan pekerja pembersihan. "Saya mahu meningkatkan kesedaran bagi para pekerja bergaji rendah dan untuk pekerja khidmat penting agar mereka dapat terus meningkatkan kemahiran mereka," katanya.

Encik Yip Hon Weng, 43 tahun

Encik Yip baru-baru ini menjadi ketua kumpulan Pejabat Pejabat Generasi Warga Emas bagi Agensi Penjagaan Bersepadu dan kini berkhidmat sebagai perunding kanannya. Penjawat awam selama 17 tahun ini sudahpun berkhidmat di kementerian pendidikan, pertahanan, kesihatan dan pembangunan negara.

Beliau sebelum ini adalah pengarah pengasas Pejabat Perkhidmatan Perbandaran, yang bertugas di pelbagai kementerian dan agensi untuk menyelesaikan masalah perbandaran. Bapa kepada lima anak itu berkata menceburi bidang politik - ibarat mempunyai keluarga yang besar - datang dengan kegembiraan dan penghargaan yang "jauh lebih tinggi daripada kosnya". 

LAPORAN BERKAITAN: 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan