Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Pada usia 87 tahun Puan Noor Aishah gagahkan diri mengundi walau sakit-sakit

Menjalankan tanggungjawab mengundi terlalu penting untuk ditinggalkan bagi wanita 87 tahun ini meskipun pergerakannya terbatas dek pelbagai masalah kesihatan dan terpaksa berkerusi roda.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Menjalankan tanggungjawab mengundi terlalu penting untuk ditinggalkan bagi wanita 87 tahun ini meskipun pergerakannya terbatas dek pelbagai masalah kesihatan dan terpaksa berkerusi roda.

Wanita yang dimaksudkan itu tak lain dan tak bukan ialah balu Presiden Yusof Ishak, Puan Noor Aishah Mohd Salim.

Seawal 7.00 pagi lagi beliau sudah berada di Hospital Parkway East untuk menjalani dialisis selama empat jam.

Memang lazimnya para pesakit kencing manis akan berasa cukup letih dan ada kalanya mabuk-mabuk selepas dialisis. Namun bagi Puan Noor Aishah, sejurus menjalani rawatan cuci darah itu, beliau tidak terus pulang ke rumah untuk berehat.

Sebaliknya, Puan Noor Aishah menggagahkan dirinya untuk keluar mengundi dengan diusung kerusi roda. Menjalankan tanggungjawab mengundi demi negara sangat penting bagi beliau.

SAKIT TETAPI TEPAT TUNAI KEWAJIPAN

Sebenarnya, dalam tempoh setahun ini, Puan Noor Aishah banyak meluangkan masa di hospital. Sejak Jun 2019, beliau mengalami rasa sakit pada kaki kerana pembuluh darahnya tersumbat.

Beberapa bulan selepas itu, Puan Noor Aishah diserang angin ahmar ringan. Akibatnya lima bulan beliau terpaksa duduk di Hospital Besar Singapura (SGH).

Tidak lama selepas dibenarkan pulang pada Tahun Baru Cina awal tahun ini, beliau terjatuh pula ketika keluar dari bilik air. Mukanya luka gara-gara tersembam di ruang kecil dan kakinya bengkak.

Semua yang dilaluinya ini tidak termasuk rawatan dialisis tiga kali seminggu yang dijalani sejak lebih dua tahun dahulu.

Sungguhpun demikian, semangat beliau memang luar biasa kuat. Puan Noor Aishah tetap aktif dan hari ini (10 Jul), beliau keluar mengundi - sejurus selepas dialisis.

"Mestilah perlu keluar mengundi, ini kewajipan kita. Jangan rosakkan undi. Rugi. Kalau boleh, yang waras kita mestilah undi sebab kita berapa tahun sekali baru dapat undi. Kalau kita rosakkan, negeri kita dah lain nanti," kata Puan Noor Aishah yang juga sering disapa sebagai 'Mak Tok' itu.

Beliau memangkah kertas undi di Sekolah St Patrick's bagi GRC Marine Parade pada sekitar 12.00 tengah hari tadi.

"Ramai tadi (di pusat mengundi)," kongsi beliau.

SUDAH SAKSIKAN 13 PILIHAN RAYA DI S'PURA

Ini satu perkara menarik. Dengan pengundian kali ini, Puan Noor Aishah sudah menyaksikan dan mengundi dalam 13 Pilihan Raya Umum Singapura kesemuanya, sejak Singapura merdeka.

Pilihan Raya pertama Singapura sebagai sebuah negara merdeka berlangsung pada April 1968 - iaitu ketika Allahyarham suami beliau masih berkhidmat sebagai Presiden Pertama Singapura.

Setiap Pilihan Raya Umum, kata Puan Noor Aishah, sememangnya titik penting dalam sejarah Singapura. Ia juga seringkali menjentik nostalgia bagi pengundi lanjut usia sepertinya.

"Dulu arwahnya kalau ada, kami dua orang tidak tidur sampai pagi, tunggu keputusan Pilihan Raya. Saya pun terpaksa tengok, duduk di sebelahnya. Jadi kami tengok siapa yang menang. Daripada dulu, kalau pilihan raya kita berdua tidak tidur. Mesti nak jaga, nak tengok," cerita Puan Noor Aishah lagi.

Kali ini, tidak terkecuali. Wanita ceria ini berazam, meski letih, beliau ingin tetap meneruskan tradisi itu - iaitu berjaga hingga lewat malam nanti untuk melihat siapa yang menang dalam GE2020.  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan