Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Meski berkerusi roda, bertongkat & dipapah warga emas antara terawal laksana tugas mengundi

Warga emas berusia 65 tahun ke atas yang merupakan antara yang terawal berpusu-pusu keluar mengundi antara 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, iaitu slot yang dikhususkan untuk mereka.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Ada yang berkerusi roda, ada juga yang bertongkat. Meskipun langkah kaki mereka perlahan, golongan warga emas kelihatan tetap menguatkan diri dan langkah kaki masing-masing demi melaksanakan hak demokratik dan tanggungjawab mengundi hari ini (10 Jul).

Warga emas berusia 65 tahun ke atas yang merupakan antara yang terawal berpusu-pusu keluar mengundi antara 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari, iaitu slot yang dikhususkan untuk mereka.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Malah, sebelum pukul 8.00 pagi lagi sebilangan pengundi dilihat sudah beratur di luar pusat mengundi di Sekolah Menengah Dunearn ini yang terletak di Bukit Batok West Ave 2. Ia antara lain tempat mengundi bagi kawasan undi SMC Hong Kah North.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Sebahagian besar pengundi di pusat itu pagi tadi terdiri daripada warga tua, manakala ada juga segelintir individu-individu yang datang untuk mengundi lebih awal atas sebab-sebab tersendiri.

Warga tua yang agak uzur dibenarkan datang ke pusat bersama seorang anggota keluarga. Ada yang BERITAmediacorp lihat perlu dipapah anak atau mungkin cucu mereka.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Jika mereka tidak mampu berdiri lama, kerusi-kerusi juga disediakan untuk mereka duduk berehat sementara menunggu giliran.

Para pengundi perlu melalui proses keselamatan seperti pemeriksaan suhu badan dan jarak selamat.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Pengesahan identiti diri juga dilakukan secara tanpa sentuh atau 'contactless' sebelum mereka bergerak ke ruang memangkah undi.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Dalam satu jam pertama selepas pusat mengundi dibuka, keadaan nampak teratur dan para pengundi juga tidak beratur terlalu panjang dan lama.

Sebilangan pengundi yang kami temui di sana melahirkan rasa puas hati dengan waktu khusus yang ditetapkan. Mereka menyifatkan prosesnya sebagai mudah, cepat dan selamat.

Ini lebih-lebih lagi di tengah-tengah krisis COVID-19, di mana warga emas perlu diutamakan kesihatan dan keselamatan mereka.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Sepanjang BERITAmediacorp berada di pusat mengundi itu antara pukul 8.00 dengan 10.00 pagi, jumlah pengundi lebih muda tidak begitu ketara.

Salah seorang pengundi yang sempat kami sapa berkongsi bahawa beliau terpaksa datang awal kerana perlu bekerja. Beliau juga berkata proses mengundi berjalan lancar dan tidak memakan masa begitu lama.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Bagaimanapun selepas sekitar jam 10.00 pagi, jumlah pengundi yang datang semakin ramai dan mereka terpaksa beratur lebih panjang dan lama. Keadaan itu disaksikan juga di banyak pusat mengundi yang lain di serata negara.

(Gambar-gambar: BERITAmediacorp/Nurulkhasanah Agost)

Gambar-gambar dan video yang dimuat naik oleh warga siber ke media sosial menunjukkan orang ramai beratur panjang menjalar sehingga ke bahagian luar pekarangan pusat-pusat undi.

Menurut Jabatan Pilihan Raya Singapura (ELD), ini berlaku ekoran langkah-langkah keselamatan tambahan yang dilaksanakan khususnya proses pemakaian sarung tangan yang memakan masa.

Bagi menghuraikan masalah beratur panjang itu, ELD kemudian mengambil keputusan meniadakan peraturan memakai sarung tangan.

Menjelang pukul 4.00 petang tadi, keadaan di pusat-pusat mengundi didapati bertambah baik. Sebahagian pengundi malah tidak perlu beratur pun untuk masuk ke ruang memangkah undi. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/nk
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan