Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Masanya sudah tiba': Reaksi parti-parti pembangkang kepada pengumuman GE2020

Beberapa parti pembangkang di Singapura dengan pantas memberi reaksi setelah Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan pada Selasa (23 Jun) supaya diadakan pilihan raya.

Anggaran Waktu Membaca:
'Masanya sudah tiba': Reaksi parti-parti pembangkang kepada pengumuman GE2020

Dari kiri: Raeesah Khan, Nicole Seah dan Fadli Fawzi muncul dalam video WP pada 23 Jun 2020

Diterbitkan : 23 Jun 2020 09:00PM Dikemas Kini : 23 Jun 2020 09:55PM

SINGAPURA: Beberapa parti pembangkang di Singapura dengan pantas memberi reaksi setelah Perdana Menteri Lee Hsien Loong mengumumkan pada Selasa (23 Jun) supaya diadakan pilihan raya.
Parti Pekerja (WP) memuat naik video di Facebook yang menampilkan barisan wajah lama dan baru.

Setelah tamat siaran nasional PM Lee, Jabatan Pilihan Raya (ELD) mengumumkan Presiden Halimah Yacob membubarkan Parlimen dan mengeluarkan Writ Pilihan Raya. Hari Penamaan Calon ditetapkan pada 30 Jun dan rakyat Singapura akan keluar mengundi pada 10 Jul.

Catatan Facebook WP hanya disertakan dengan kapsyen: "GE2020: Akan Datang."

Video itu memberi imbasan 12 wajah termasuk pengerusi WP Sylvia Lim, setiausaha penganjur Dennis Tan, bekas calon dari Parti Perpaduan Nasional (NSP) Nicole Seah dan seorang wajah baru - Cik Raeesah Khan, pengasas badan tidak meraih untung Reyna Movement.

Turut kelihatan: Cik Lee Li Lian, yang disebut-sebut akan bertanding di GRC Sengkang, profesor ekonomi Jamus Lim, peguam Fadli Fawzi, Cik Cheryl Loh dan Encik Kenneth Foo, yang sebelum ini bertanding di GRC Nee Soon pada 2015, serta seorang anggota jawatankuasa sayap belia Yudhishthra Nathan.

Dua wajah terakhir dalam video itu adalah Encik Leon Perera, yang mengetuai sayap belia WP, dan setiausaha agung Pritam Singh.

Beberapa anggota kanan tidak kelihatan, termasuk mantan ketua Low Thia Khiang, mantan AP GRC Aljunied Chen Show Mao dan Faisal Manap, serta bakal calon Gerald Giam dan Yee Jenn Jong.

Sementara itu, ketua Parti Demokratik Singapura Chee Soon Juan menulis di Facebook untuk mengesahkan beliau akan bertanding di SMC Bukit Batok dan memohon sokongan.

"Teman-teman, Writ Pilihan Raya sudah dikeluarkan. Masanya sudah tiba. Saya akan bertarung lagi di Bukit Batok dan berharap anda akan memberikan sokongan kepada saya sepertimana yang telah anda lakukan sejak sekian lama," kata beliau.

Parti Rakyat Singapura (SPP) menyatakan ia mengalu-alukan pilihan raya ini. Sebelum ini, ia mengumumkan akan bertanding di Potong Pasir dan GRC Bishan-Toa Payoh.

"Kami sudah bersiap sedia bagi kemungkinan berlakunya Pilihan Raya Umum," kata pengerusi SPP Jose Raymond.

"Kami sudah mulakan usaha mendampingi penduduk di Potong Pasir sejak tiga tahun lalu, dan kami mengalu-alukan pertandingan, di kawasan yang dekat di hati kami."

Beliau menambah SPP mahu mendekati seberapa banyak penduduk yang mungkin, termasuk di Bishan-Toa Payoh, dan akan berkempen "dengan mengambil perhatian bahawa kita belum terlepas daripada pandemik COVID-19".

Parti Kemajuan Singapura, yang sebelum ini mengumumkan akan bertanding di lapan kawasan undi menulis di Facebook: "Parti Kemajuan Singapura, di bawah kepimpinan teguh Setiausaha Agung Dr Tan Cheng Bock, bersedia untuk berkhidmat kepada warga Singapura dan berjuang untuk masa depan yang sepatutnya kita nikmati."

Parti Perpaduan Nasional menyatakan is menyambut seruan Encik Lee untuk membubarkan Parlimen.

"Pilihan Raya ini bukan hanya pilihan raya untuk memilih pemerintah yang boleh memberi respons kepada krisis seperti COVID-19 tetapi mempunyai sistem memeriksa dan seimbang yang dimainkan oleh yang mana parti-parti pembangkang. Sebuah pemerintah yang bertanggungjawab, telus, jujur dan dipertanggungjawabkan oleh warga Singapura. Undi dengan bijak," tulisnya di Facebook.

Ketua Parti Kuasa Rakyat Goh Meng Seng berpendapat Hari Penamaan Calon seharusnya ditunda bagi membolehkan calon di luar negara untuk kembali ke Singapura.

"Sepatutnya ditunggu sekurang-kurangnya 14 hari bagi membolehkan bakal calon yang kini berada di luar negara untuk kembali bagi Hari Penamaan Calon mulai hari ini. Memandangkan COVID-19, kita tidak seharusnya membahayakan kesihatan rakyat semata-mata untuk GE," kata beliau.

Encik Goh, yang memimpin pasukannya bertanding di GRC Chua Chu Kang pada 2015, awal sebelum itu berkata akan bertanding di sebuah SMC pada pilihan raya ini akibat "isu teknikal untuk membawa pulang salah seorang calon utama kami dari luar negara". 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan