Skip to main content

Iklan

Iklan

Masagos sanjung jasa 4 AP Melayu/Islam yang bersara sebagai 'tidak ternilai'

Jasa dan sumbangan empat mantan Anggota Parlimen Melayu/Islam yang mengundurkan diri dari politik tahun ini - Dr Yaacob Ibrahim, Dr Intan Azura Mokhtar, Dr Fatimah Lateef dan Encik Zainal Sapari - sesungguhnya "tidak ternilai".

Anggaran Waktu Membaca:
Masagos sanjung jasa 4 AP Melayu/Islam yang bersara sebagai 'tidak ternilai'

(Gambar: Masagos Zulkifli/ Facebook)

SINGAPURA: Jasa dan sumbangan empat mantan Anggota Parlimen Melayu/Islam yang mengundurkan diri dari politik tahun ini - Dr Yaacob Ibrahim, Dr Intan Azura Mokhtar, Dr Fatimah Lateef dan Encik Zainal Sapari - sesungguhnya "tidak ternilai".

Demikian pujian dari Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam Masagos Zulkifli buat mereka dalam catatan satu Facebook beliau pada Selasa (30 Jun).

Keempat-empat pemimpin masyarakat itu tidak bertanding dalam Pilihan Raya Umum kali ini.

Encik Masagos yang merupakan Naib Pengerusi Parti Tindakan Rakyat (PAP) itu berkata: "Mereka berwibawa, dan mempunyai naluri untuk berbakti demi kebaikan masyarakat dan bukan untuk memenuhi keperluan sendiri.

"Kepada Dr Yaacob Ibrahim, Dr Intan Azura, Dr Fatimah Lateef dan Encik Zainal Sapari, terima kasih atas sumbangan ikhlas anda. Walaupun sudah bersara dari arena politik, saya yakin anda akan terus berbakti, dalam cara anda sendiri demi pembangunan masyarakat dan negara kita."

PUCUK KEPIMPINAN DR YAACOB PENTING

Encik Masagos berkata Dr Yaacob sudah "memberikan yang terbaik untuk membantu ramai rakyat Singapura, terutama sekali masyarakat Melayu/Islam" sejak 23 tahun lalu.

"Sebagai mantan Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam, pucuk kepimpinan beliau penting bagi mengekalkan keharmonian kaum dan agama di Singapura sedang muslim di seluruh dunia terdedah kepada kritikan selepas serangan pengganas pada 11 September 2001.

"Ia adalah waktu membimbangkan dan tidak menentu bagi masyarakat Melayu/Islam tetapi kita menghadapinya dengan berani dan terus cemerlang di bawah pucuk kepimpinannya yang kukuh," jelas Encik Masagos tentang mantan Anggota Parlimen Jalan Besar itu.

(Gambar: Masagos Zulkifli/Facebook)

Ini termasuk mengukuhkan lagi institusi-institusi agama menerusi Sistem Madrasah Bersama (JMS) dan Wakaf Ilmu yang menyokong pembangunan dan keperluan madrasah.

Walau demikian, menurut Encik Masagos, Dr Yaacob kekal merendah diri dan sering digelar "lelaki budiman" walaupun kepada pengkritik beliau.

DR INTAN AZURA LEMBUT TETAPI TEGAS

Encik Masagos juga yakin keperibadian Dr Intan Azura Mokhtar yang lembut, namun tegas, akan dirindui ramai di parlimen.

"Beliau berpegang teguh kepada pendidikan dan pembangunan asatizah dan bersuara bagi golongan kurang bernasib baik dan terpinggir.

"Intan kekal komited dan sangat berminat menyokong isu-isu ini," kongsi Encik Masagos tentang mantan AP GRC Ang Mo Kio itu.

DR FATIMAH SEDIA MENYUMBANG

Selepas berkhidmat selama 14 tahun, Dr Fatimah Lateef seseorang yang tidak asing lagi kepada masyarakat, ujar Encik Masagos.

Beliau memuji Dr Fatimah sebagai seorang yang "selalu bersedia menyumbang" dan komited dalam menyokong penduduk di Geylang serta menyokong isu-isu wanita.

Mantan GRC Marine Parade itu juga baru-baru ini berkongsi di Seminar RRG-IRCC tentang bagaimana masyarakat boleh mengekalkan keharmonian agama meskipun wujud cabaran COVID-19.

ZAINAL SAPARI PASTIKAN MASYARAKAT TINGKAT KEMAHIRAN

Encik Masagos juga mengiktiraf sumbangan Encik Zainal Sapari sebagai seorang anggota kesatuan yang bekerja rapat dengan pelbagai pertubuhan Melayu/Islam.

Ini bagi memastikan masyarakat terus meningkatkan kemahiran, demi mencapai mobiliti dan peluang kerjaya lebih baik.

"Beliau yakin bahawa pendidikan adalah kunci mobiliti sosial dan sebagai penasihat M3@Pasir Ris-Punggol , Encik Zainal antara yang pertama memperkenalkan Kelas Matematika (KMM@CC) di GRC beliau," kata Encik Masagos.

Yang jelas, naluri kemasyarakatan mereka menyerlah, tekan Menteri Sekitaran dan Sumber Air itu.

"Mereka sama seperti kata pepatah, hidup kayu biar berbuah, hidup manusia biar berjasa.

"Bagi pihak rakan AP Melayu/Islam lain, saya ucapkan jutaan terima kasih kepada mereka dan saya doakan agar mereka maju jaya dalam apa juga bidang yang mereka ceburi seterusnya," tulis Encik Masagos. 

Sumber : BERITA Mediacorp/im
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan