Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

'Mandat jelas' tapi undi popular PAP 'tidak setinggi' diharapkan, kata PM Lee

Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperolehi "mandat yang jelas" tetapi peratusan undi popular tidak setinggi yang diharapkan, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyusuli keputusan Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 11 Jul 2020 10:23AM Dikemas Kini : 11 Jul 2020 10:38PM

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) memperolehi "mandat yang jelas" tetapi peratusan undi popular tidak setinggi yang diharapkan, menurut Perdana Menteri Lee Hsien Loong menyusuli keputusan Pilihan Raya Umum 2020 (GE2020).

PAP memenangi 83 daripada 93 kerusi Parlimen dan meraih 61.2 peratus undi popular. PM Lee menyifatkan jumlah undi itu sebagai sesuatu yang "boleh dibanggakan".

Meskipun tewas di GRC Sengkang kepada Parti Pekerja (WP), PM Lee berkata keputusan secara keseluruhan "mencerminkan sokongan yang lebih berasas luas bagi PAP".

"Kami mempunyai mandat jelas tetapi peratusan undi popular tidak setinggi yang saya harapkan," kata Perdana Menteri semasa sidang media pasca GE2020.

Perdana Menteri berkata PAP akan menganggap kemenangan 83 kerusi dalam "keadaan ini" sebagai satu "sokongan" terhadap dasar dan rancangan parti itu. "Kami akan meneruskannya dan bekerjasama dengan rakyat Singapura untuk merealisasikan rancangan tersebut serta menghuraikan masalah yang kita hadapi."

Encik Lee, yang juga Setiausaha Agung PAP, berkata: "Rakyat Singapura memahami apa yang dipertaruhkan - mengapa kita mesti bersatu untuk sama-sama melindungi kepentingan negara."

Beliau juga berikrar akan menggunakan mandat ini "secara bertanggungjawab" bagi menangani keadaan COVID-19 dan kemelesetan ekonomi untuk membawa Singapura "keluar menjangkaui krisis yang sedang melanda".

"Keputusan ini menggambarkan keperitan dan ketidaktentuan yang dirasai rakyat Singapura dalam krisis ini, kehilangan mata pencarian, keresahan tentang pekerjaan, gangguan akibat pemutus rantaian jangkitan dan pelaksanaan sekatan jarak selamat," kata beliau.

Ini bukanlah pilihan raya semata-mata untuk "menyedapkan hati", tambahnya.

Di sidang media itu, beliau diiringi oleh Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat, Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chun Sing, Menteri Undang-Undang merangkap Ehwal Dalam Negeri K Shanmugam, Menteri Sekitaran dan Sumber Air Masagos Zulkifli serta Menteri Kebudayaan, Masyarakat dan Belia Grace Fu.

KERENCAMAN SUARA RAKYAT

Encik Lee berkata keputusan itu turut menunjukkan "keinginan jelas" bagi suara yang lebih rencam di Parlimen.

"Rakyat Singapura mahu PAP untuk membentuk pemerintah tetapi mereka, terutamanya pengundi muda, juga mahu melihat kehadiran lebih ramai pembangkang di Parlimen," ujarnya.

Perdana Menteri menambah beliau mengalu-alukan penyertaan dan sumbangan Anggota Parlimen pembangkang di Parlimen.

Setiausaha Agung Parti Pekerja Pritam Singh bercakap kepada media pada dinihari 11 Jul 2020. 

Beliau berkata Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP) Pritam Singh 'wajar diiktiraf secara rasmi' sebagai ketua pembangkang dan beliau akan disediakan dengan "sokongan kakitangan serta sumber yang sewajarnya untuk melaksanakan tugasannya".

WP, yang berjaya mempertahankan GRC Aljunied, kini akan mempunyai 10 Anggota Parlimen (AP).

"Sama ada ia berjalan dengan baik ... dan sama ada ia dilihat sebagai sesuatu yang memperkukuhkan Singapura akan bergantung bukan saja kepada apa yang PAP lakukan tetapi juga apa yang akan dilakukan pembangkang kerana pembangkang kini ada 10 AP dipilih daripada kawasan undi masing-masing," kata Encik Lee.

Menurut PM Lee, parti yang memerintah itu akan mendengar rakyat Singapura dan melakukan yang terbaik untuk menangani keprihatinan mereka serta "cuba untuk menambat" sokongan mereka, tanpa mengira sama ada mereka mengundi untuk PAP atau sebaliknya.

Apabila ditanya pihak media jika parti itu kehilangan undi golongan belia pada GE kali ini, Encik Lee menarik perhatian bahawa generasi berbeza mempunyai pengalaman hidup yang berbeza dan golongan muda mempunyai aspirasi serta keutamaan kehidupan yang berbeza dengan ketara jika dibandingkan dengan generasi lebih tua.

"Ini perlu dipaparkan dalam proses politik kami dan dalam dasar-dasar Pemerintah kerana hakikatnya, dasar-dasar Pemerintah mesti membantu setiap generasi rakyat Singapura untuk mencapai aspirasi masing-masing," jelasnya.

Beliau berharap generasi baru rakyat Singapura akan "meneliti secara kritikal tetapi dengan minda yang terbuka" terhadap apa yang sudah dilakukan oleh generasi-generasi lalu, "menilai apa yang relevan dan apa yang munasabah buat mereka dalam persekitaran yang baru" serta "belajar daripada pengalaman-pengalaman yang dilalui sendiri oleh ibu bapa serta datuk nenek mereka".

Ini supaya mereka tidak perlu "mengharunginya sekali lagi dan menanggung padahnya jika mereka membuat kesilapan".

"Generasi-generasi yang berbeza perlu saling bekerjasama demi mencapai matlamat tersebut dan bukan semakin renggang sehingga kita tidak dapat menghargai sejarah kita bersama," ujarnya.

"KEHILANGAN BESAR" BAGI KEPIMPINAN 4G

Encik Lee menambah bahawa beliau pastinya kecewa dengan kehilangan GRC Sengkang yang baru dibentuk dengan WP memenanginya setelah memperolehi 52.13 peratus undi.

Pasukan PAP yang bertanding di GRC Sengkang diketuai oleh Ng Chee Meng (depan) tiba di Sekolah St Anthony's Canossian pada 30 Jun 2020. (Gambar: Hanidah Amin)

"Ng Chee Meng dan pasukannya - Lam Pin Min, Amrin Amin dan Raymond Lye - memang sudah tahu bahawa ia adalah satu persaingan sengit," kata PM Lee. "Mereka sudah memberikan yang terbaik tetapi pengundi Sengkang sudah bersuara dan kami menghormati keputusan mereka."

Tiga anggota pasukan PAP di Sengkang, iaitu Encik Ng, Dr Lam dan Encik Amrin, adalah pemegang jawatan politik.

PM Lee menyifatkan kekalahan itu sebagai satu "kehilangan besar bagi pasukan saya" dan kepada para pemimpin generasi keempat terutamanya kerana Encik Ng adalah Setiausaha Agung gerakan buruh.

Perdana Menteri menambah beliau sudahpun menghubungi Encik Ng dan pasukannya untuk mengucapkan terima kasih kepada mereka serta menggalak mereka supaya terus berkhidmat kepada parti dan Singapura melalui cara yang berbeza.

"PAP akan berusaha untuk merampas GRC Sengkang. Kami juga akan terus berjuang untuk memenangi semula GRC Aljunied dan SMC Hougang," kata Encik Lee.

"Pasukan saya dan saya akan berkhidmat untuk semua rakyat Singapura, tidak kira parti mana yang anda sokong. Sama ada anda mengundi PAP atau sebaliknya, kami mendengar anda, melakukan yang terbaik untuk menangani keprihatinan anda serta cuba mendapatkan sokongan anda."

Dalam responsnya kepada pertanyaan yang diajukan pihak media, Encik Lee sekali lagi menekankan ia adalah satu "kehilangan" untuk tidak mempunyai empat anggota berkenaan dalam pasukan AP beliau mahupun sebagai anggota Kabinetnya.

"Tetapi kami akan melangkah ke hadapan dan meneruskan perjalanan kami dari sini sebagai mana yang kami lakukan setelah Aljunied jatuh ke tangan pembangkang pada 2011," tambah beliau.

MENJANGKAUI PILIHAN RAYA

Dengan pilihan raya melabuhkan tirainya, Encik Lee berkata "kita perlu mengetepikan perbezaan kita, bersatu dan saling berganding bahu bagi tugas yang sedang dihadapi iaitu untuk membawa kita keluar daripada krisis ini."

Cabaran-cabaran yang menanti bukan setakat memerlukan respons seluruh Pemerintah tetapi juga respons seluruh negara.

Beliau menarik perhatian bahawa pasukan baru PAP akan meliputi 24 AP baru, yang akan "memperkukuhkan proses pembaharuan" parti. Calon-calon baru sudah menunjukkan prestasi baik, kata Encik Lee, sambil menyebut calon-calon seperti Cik Gan Siow Huang dan Encik Yip Hon Weng - kedua-duanya bertanding di kawasan undi perseorangan sebagai "muka baru".

"Terima kasih kerana memberi mereka peluang untuk membuktikan kepada anda tentang kemampuan mereka," ujar PM Lee.

Dalam responsnya kepada pertanyaan mengenai apa yang ingin beliau sampaikan kepada masyarakat perniagaan menyusuli keputusan pilihan raya ini, Encik Lee berkata Pemerintah PAP akan "terus berjuang untuk meyakinkan mereka" bahawa Singapura benar-benar berbaloi dari segi keyakinan dan pelaburan mereka.

"Ia juga bergantung kepada bagaimana pembangkang bertindak untuk meyakinkan mereka bahawa hakikatnya, di Singapura, ada pembangkang bertanggungjawab yang memahami kepentingan negara dan lebih mengutamakannya daripada politik parti."

Encik Heng berkata usaha untuk menyusun semula ekonomi Singapura dan merubah industri "mesti diteruskan".

"Usaha melindungi pekerjaan, menyelamatkan pekerjaan dan mewujudkan pekerjaan baru mesti diteruskan," kata DPM Heng yang menyokong pandangan Encik Lee bahawa "pembangkang mesti bersedia untuk berkerjasama demi melindungi kepentingan negara".

Encik Lee juga berkata meskipun beliau sudah mempersiapkan pasukan 4G untuk mengambil alih tampuk kepimpinan negara, beliau tidak menyangka akan berdepan dengan krisis "luar biasa" pada penghujung tempoh kepimpinannya.

"Saya bertekad untuk menyerahkan Singapura dalam keadaan yang kukuh dan baik kepada pasukan seterusnya," kata beliau sambil menambah bahawa tugas Pemerintah baru akan bermula "serta-merta".

"Pemerintah saya akan bekerjasama dengan anda semua untuk mengatasi krisis kesihatan serta ekonomi ini dan bangkit lebih teguh," katanya. "Dengan pilihan raya ini sudah berlalu, marilah kita berganding bahu sebagai Singapura yang bersatu padu untuk menjamin kehidupan, pekerjaan dan masa depan kita."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan