Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Lee Hsien Yang sertai PSP pimpinan Tan Cheng Bock

Encik Lee Hsien Yang, adik kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, menyertai Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang dipimpin oleh Dr Tan Cheng Bock.

Anggaran Waktu Membaca:
Lee Hsien Yang sertai PSP pimpinan Tan Cheng Bock

Lee Hsien Yang di Pasar Tiong Bahru pada 24 Jun 2020. (Gambar: Amir Yusof)

Diterbitkan : 24 Jun 2020 09:57AM Dikemas Kini : 24 Jun 2020 09:59AM

SINGAPURA: Encik Lee Hsien Yang, adik kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, menyertai Parti Kemajuan Singapura (PSP) yang dipimpin oleh Dr Tan Cheng Bock.

Dr Tan mengumumkan demikian pada pagi Rabu (24 Jun) setelah bersarapan dengan Encik Lee di Pasar Tiong Bahru.

"Saya dengan senang hati memberikan kad keanggotaan (Parti Kemajuan Singapura) ini kepada Lee Hsien Yang," kata Dr Tan, sambil menambah bahawa Encik Lee sudah menyertai parti itu "beberapa waktu lalu tetapi kami tidak dapat menyampaikannya".

"Namun sekarang kami dapat bersama-sama dan pagi ini, kami menggunakan kesempatan ini untuk menyerahkan kad berharga ini kepadanya."

Dr Tan bagaimanapun tidak pula mengesahkan jika Encik Lee akan bertanding dalam Pilihan Raya Umum akan datang.

Berita ini diumumkan sehari selepas Perdana Menteri mengumumkan dalam amanat yang disiarkan di televisyen pada Selasa bahawa beliau sudahpun menasihatkan Presiden Halimah Yacob supaya membubarkan Parlimen dan mengeluarkan Writ Pilihan Raya.

Berikutan itu, Pejabat Perdana Menteri mengumumkan pembubaran Parlimen sekali gus membuka laluan kepada Hari Penamaan Calon untuk diadakan pada 30 Jun. Jabatan Pilihan Raya (ELD) kemudian mengumumkan Hari Mengundi jatuh pada 10 Jul.

Pada Julai 2019, Dr Tan berkata beliau akan mengalu-alukan Encik Lee sekiranya Encik Lee memutuskan untuk menyertai parti itu tetapi dengan syarat beliau mematuhi syarat-syarat PSP.

Encik Lee, yang sudah dilihat bersama dengan Dr Tan di khalayak ramai bagi lebih daripada satu kali, dalam catatan Facebooknya awal tahun ini berkata bahawa Dr Tan adalah "pemimpin yang wajar untuk Singapura".

"Saya sudah mengenali Cheng Bock selama bertahun-tahun dan beliau secara konsisten mengutamakan kepentingan rakyat," kata Encik Lee dalam catatan yang bertarikh 24 Jan 2019.

"Kita bernasib baik kerana beliau sudah tampil untuk berkhidmat kepada Singapura," tambahnya.

Encik Lee, bersama-sama kakaknya Lee Wei Ling, terlibat dalam pertelingkahan secara terbuka dengan Perdana Menteri berhubung sama ada rumah keluarga mendiang Lee Kuan Yew di 38 Oxley Road seharusnya dirobohkan apabila tiba masanya.

Pada Selasa, Dr Tan berkata PSP berminat untuk bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) West Coast, Tanjong Pagar, Chua Chu Kang serta Kawasan Undi Perseorangan (SMC) Hong Kah North, Marymount, Pioneer dan Yio Chu Kang.

Bagaimanapun Dr Tan, yang menjawab pertanyaan media di satu sidang media maya, berpendapat bahawa perkara boleh berubah dan keputusan muktamad mengenai kerusi-kerusi yang akan ditandingi PSP hanya akan diumumkan pada Hari Penamaan Calon. 

Sumber : CNA/FZ/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan