Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Langkah keselamatan COVID-19 dilaksana di pusat mengundi merata S'pura

Sedang Singapura membuat persediaan untuk keluar mengundi di tengah-tengah pandemik COVID-19, esok (10 Jul) beberapa langkah bagi melindungi orang awam semasa mengundi sudah dilaksanakan.

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 09 Jul 2020 08:05PM Dikemas Kini : 09 Jul 2020 11:30PM

SINGAPURA: Sedang Singapura membuat persediaan untuk keluar mengundi di tengah-tengah pandemik COVID-19, esok (10 Jul) beberapa langkah bagi melindungi orang awam semasa mengundi sudah dilaksanakan.

Antaranya, memberikan waktu tertentu selama dua jam untuk keluar mengundi.

Pusat mengundi di Bukit Panjang Ring Road ini menjangkakan seramai 1,600 pengundi untuk keluar mengundi esok.

Jumlah ini dikurangkan daripada 4,000 pengundi sebelum ini, berikutan pelaksanaan langkah-langkah jarak selamat.

Di Sekolah Tinggi Chung Cheng pula, para pegawai pilihan raya juga sibuk mengemas dan membersihkan kawasan itu untuk menyambut para pengundi esok.

Selain maklumat peribadi dan perincian tentang tempat mengundi, kad undi kali ini juga tertera waktu mengundi yang diperuntukkan supaya barisan beratur di pusat-pusat mengundi dapat diurus dengan lebih baik.

Bagi menjadikan proses mengundi lebih selamat untuk warga tua yang dianggap mudah dijangkiti COVID-19, mereka diminta mengundi dari 8.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Namun mereka tetap diberi keutamaan jika datang ke pusat mengundi di luar waktu itu.

Tahun ini, lagi 220 pusat mengundi telah ditambahkan untuk mengurangkan jumlah pengundi di sesebuah tempat mengundi.

Setibanya di pusat mengundi, suhu badan pengundi akan diperiksa.

Pelekat-pelekat juga diletakkan di lantai untuk memastikan para pengundi mematuhi jarak selamat.

Mereka akan diminta untuk membersihkan tangan menggunakan cecair pembasmi kuman, serta memakai sarung tangan pakai buang sebelum mengambil kertas undi.

Para pengundi boleh membawa pena sendiri jika tidak mahu menggunakan pena khas yang disediakan.

Setelah melipat dan memasukkan kertas undi ke dalam kotak undi, para pengundi perlu membuang sarung tangan mereka dan segera meninggalkan pusat tersebut. 


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : CNA/SY/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan