Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Ketua Pembangkang Pritam Singh mungkin diberi akses data pemerintah, sumber tapi Kabinet Bayangan belum diperinci

PAP mungkin kembali berkuasa dengan undi majoriti di Parlimen, namun tindakan PM Lee Hsien Loong melantik secara rasmi ketua WP Pritam Singh sebagai Ketua Pembangkang dilihat sebagai mengiktiraf keinginan rakyat ingin melihat kehadiran lebih ramai anggota pembangkang di Parlimen, kata penganalisis

Anggaran Waktu Membaca:
Ketua Pembangkang Pritam Singh mungkin diberi akses data pemerintah, sumber tapi Kabinet Bayangan belum diperinci

Setiausaha Agung Parti Pekerja (WP), Pritam Singh.

Diterbitkan : 14 Jul 2020 02:14PM Dikemas Kini : 14 Jul 2020 02:26PM

SINGAPURA: Parti Tindakan Rakyat (PAP) mungkin kembali berkuasa dengan undi majoriti di Parlimen, namun tindakan Perdana Menteri Lee Hsien Loong untuk melantik secara rasmi ketua Parti Pekerja (WP) Pritam Singh sebagai Ketua Pembangkang dilihat sebagai langkah bagi mengiktiraf keinginan rakyat Singapura yang ingin melihat kehadiran lebih ramai anggota pembangkang dalam Parlimen, kata para penganalisis politik.

Dan meskipun PM Lee belum mengumumkan lebih banyak perincian mengenai peranan itu selain "sokongan kakitangan dan sumber yang sewajarnya" diberikan kepada Encik Singh, para penganalisis berkata Encik Singh perlu diberikan akses kepada data dan maklumat pemerintah untuk meneliti dasar dan menawarkan huraian alternatif yang berkesan.

Sungguhpun demikian, mungkin terlalu awal untuk menjangkakan WP akan menubuhkan sebuah Kabinet Bayangan yang, seperti peranan Ketua Pembangkang, adalah berdasarkan sistem Parlimen Westminster yang diwarisi Singapura sejak zaman dijajah British.

Walaupun begitu, dengan peranan Ketua Pembangkang tidak lama lagi akan dirasmikan, para penganalisis berpendapat para pengundi akan meletakkan "piawai yang lebih tinggi" pada WP mejangkaui peranan semak dan imbang kepada parti pemerintah.

Takrif istilah "Ketua Pembangkang" dan "Kabinet Bayangan" kini disediakan di bahagian glosari laman web Parlimen.

APA ITU KETUA PEMBANGKANG?

Ketua Pembangkang adalah jawatan yang biasanya boleh dilihat pada negara-negara yang mewarisi sistem Parlimen Westminster dari Britain, seperti Australia, New Zealand dan Kanada.

Ketua Pembangkang, bersama dengan para anggota pembangkang yang lain, akan menubuhkan Kabinet Bayangan, di mana setiap anggota akan meniru peranan setiap menteri Kabinet.

Penolong Profesor Walid Jumblatt Abdullah dari Sekolah Sains Kemasyarakatan Universiti Teknologi Nanyang berkata bahawa selain meneliti dasar-dasar pemerintah, Ketua Pembangkang juga berperanan sebagai Perdana Menteri alternatif jika berlaku perubahan pada Pemerintah selepas mengadakan pilihan raya.

Hak dan keistimewaan yang diberikan kepada Ketua Pembangkang juga berbeza-beza mengikut negara, dengan sebilangan daripada mereka menerima gaji yang hampir setaraf dengan menteri Kabinet, seperti Pemimpin Pembangkang di Britain.

Mantan Perdana Menteri Goh Chok Tong, yang sudah bersara daripada politik semasa pilihan raya kali ini, berkata dalam catatan di Facebook pada hari yang sama PM Lee mengumumkan jawatan rasmi Ketua Pembangkang, bahawa langkah itu adalah "langkah yang sangat penting".

HAK DAN KEISTIMEWAAN PERANAN BARU

Walaupun Encik Lee belum mengumumkan perincian berhubung peranan sebenar Ketua Pembangkang, para penganalisis berkata Singapura mungkin merujuk kepada Britain, tanpa 'mengimport' bulat-bulat istilah dan takrif jawatan di sebalik jawatan tersebut.

Penolong Profesor Walid berkata beliau berharap Encik Singh dapat bertanya lebih banyak soalan kepada Perdana Menteri di Parlimen, sama seperti sesi Parlimen di Britain.

Profesor Madya Eugene Tan dari Universiti Pengurusan Singapura (SMU) juga berkata bahawa delegasi asing dalam lawatan rasmi ke sini juga boleh meminta untuk bertemu dengan Encik Singh sebagai Ketua Pembangkang.

Lebih penting lagi, mereka berkata bahawa Ketua Pembangkang akan memerlukan akses kepada data dan maklumat pemerintah agar dapat berfungsi dengan berkesan dan meneliti dasar parti pemerintah dengan lebih baik.

Beliau malah boleh meminta diberikan taklimat oleh Kementerian Ehwal Luar untuk mengetahui hubungan Singapura dengan Malaysia, misalnya.

Para penganalisis juga menarik perhatian kepada betapa pentingnya akses kepada data penting untuk mengadakan perbincangan yang lebih menyeluruh dan mendalam di Parlimen kerana banyak pertanyaan yang diajukan di Parlimen kurang mendalam.

DEMOKRASI S'PURA KIAN MATANG

Peranan Ketua Pembangkang di Singapura belum jelas jika dibandingkan dengan peranan itu di negara-negara lain dan para pakar masih belum pasti sama ada penubuhan Kabinet Bayangan boleh dilakukan.

Penolong Profesor Walid mengatakan bahawa adalah "tidak adil" untuk menjangkakan Encik Singh akan menubuhkan sebuah Kabinet Bayangan dengan hanya 10 Anggota Parlimen WP di Parlimen.

Prof Madya Tan dari SMU pula berkata penubuhan Kabinet Bayangan mungkin merupakan langkah seterusnya dalam sistem parlimen Singapura yang semakin berkembang sekiranya jumlah anggota parlimen pembangkang terus meningkat.

Namun, Encik Adrian Tan dari TSMP Law Corporation menyifatkan perasmian peranan Ketua Pembangkang sebagai "detik bersejarah" bagi Singapura dan ia juga menjadi lambang yang menandakan demokrasi negara ini semakin bertambah matang.

SEMAKIN DIPERHATIKAN PENGUNDI

Perasmian peranan Ketua Pembangkang akan membuat para pengundi lebih menumpukan perhatian kepada WP, sambil menilai lebih dekat prestasi mereka dan mengharapkan lebih banyak lagi daripada mereka, kata para penganalisis.

Encik Tan berkata: “Dengan Ketua Pembangkang rasmi mempunyai sumber yang sesuai, Parti Pekerja juga perlu meningkatkan prestasi mereka. Dengan sumber tambahan, akan datang tekanan tambahan untuk mengusulkan saranan dan idea yang lebih terperinci mengenai pelbagai isu.

Pengundi juga dapat menilai jika WP memiliki apa yang diperlukan untuk membentuk Pemerintah alternatif, kata Penolong Profesor Walid.


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan