GE2020

Images
  • nomination overview
    Para calon (atas, kiri, ikut putaran jam) dari PSP, PAP, WP dan SDA memasuki Pusat Penamaan Calon pada 30 Jun 2020. 

Kesemua 17 GRC, 14 SMC ditandingi; 2 kawasan undi saksikan pertandingan 3 penjuru

SINGAPURA: Kesemua 93 kerusi parlimen akan dipertandingkan dalam Pilihan Raya Umum pada 10 Julai nanti.

Seramai 192 calon daripada 11 parti politik berjaya mengemukakan borang pencalonan masing-masing pada Hari Penamaan Calon hari ini (30 Jun).

Ini bermakna buat dua pilihan raya berturut-turut, tiada calon yang menang tanpa bertanding.

Sebaik sahaja pencalonan ditutup, parti-parti yang bertanding memulakan kempen untuk merebut kerusi di 17 Kawasan undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) dan 14 Kawasan Undi Perseorangan (SMC).

Parti Tindakan Rakyat (PAP) merupakan satu-satunya parti yang bertanding di semua kawasan undi.

Walaupun para penyokong tidak dibenarkan berkumpul pada Hari Penamaan Calon kerana peraturan jarak selamat, masih ada beberapa kejutan.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat berpindah dari GRC Tampines untuk menerajui pasukan PAP di GRC East Coast.

Pertandingan tiga penjuru akan berlaku di SMC Pioneer dan di GRC Pasir Ris-Punggol.

Sekitar 2.65 juta pengundi akan keluar mengundi dalam Pilihan Raya Umum yang bakal diadakan di tengah-tengah pandemik COVID-19. 

- CNA/MM/fz

Top