Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Keputusan GE2020 menunjukkan perubahan paradigma: pengamat politik

Pakar-pakar politik berkata keputusan pilihan raya umum Singapura pada kali ini dianggap cukup bersejarah dan menunjukkan perubahan paradigma dalam landskap politik Singapura.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Pakar-pakar politik berkata keputusan pilihan raya umum Singapura pada kali ini dianggap cukup bersejarah dan menunjukkan perubahan paradigma dalam landskap politik Singapura.

Ini khususnya berkaitan dengan corak pengundian golongan muda kali ini yang kemungkinan juga akan berkali pada pilihan raya mendatang.

Selain tumbangnya sebuah lagi GRC kepada parti pembangkang iaitu Parti Pekerja, undi popular yang dimiliki Parti Tindakan Rakyat (PAP) adalah yang paling rendah dalam sejarah negara ini.

PENGUNDI MUDA TERBUKA UNDI PEMBANGKANG

Pakar-pakar politik yang dihubungi BERITAmediacorp berkata, pengundi muda menunjukkan mereka tidak takut untuk mengundi pembangkang.

Zamil Pelawat di Pusat Kajian Jantina dan Kaum Universiti California, Los Angeles (UCLA) Dr Nawab Osman berkata perkembangn itu harus dilihat oleh pemerintah PAP sebagai satu cabaran agak serius.

"Ini bukan seperti 2011 di mana pilihan raya itu menukar landskap politik di mana lebih ramai orang inginkan parti pembangkang. Saya rasa seperti ada perubahan paradigma di dalam pilihan raya ini di mana segelintir golongan muda melihat pembangkang atau parti-parti seperti Parti Kemajuan Singapura (PSP) atau Parti Pekerja (WP) sebagai parti yang boleh menjadi Pemerintah. Ini saya rasa salah satu perubahan yang kita tidak lihat pada pilihan-pilihan raya lalu," jelas beliau.

Lee Hsien Yang (tengah) dan Tan Cheng Bock (kanan) dari PSP bersarapan sebelum bertemu penduduk pada 28 Jun 2020. (Gambar: REUTERS/Edgar Su)

Pengamat politik dari Jabatan Sains Politik Universiti Nasional Singapura (NUS) Dr Bilveer Singh pula berpendapat golongan muda kini lebih berani di kotak undi.

"Jadi dari pilihan raya ini, hikmahnya apa? Hikmahnya adalah penduduk kita tidak menggunakan pemikiran lama lagi. Ini anak muda ada pendidikan yang hebat di sosial media dan berani bermain dengan undi mereka."

Siapa tahu, suatu hari dengan keberanian ini akan ada "freak election juga," kata beliau.

DPM HENG SWEE KEAT TERBUKTI PEMIMPIN MAPAN

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat ketika ditemui di Blk 216 Bedok North St 1. (Gambar: Gaya Chandramohan)

Kedua-dua Dr Bilveer dan Dr Nawab akur bahawa satu sumbangan penting Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat ialah beliau berjaya menyelamatkan GRC East Coast dengan berpindah dan bertarung di situ.

Menurut mereka, tidak adil untuk melihat prestasi DPM Heng yang menurun kerana beliau memang terbukti sebagai seorang anggota parlimen yang baik dan popular di Tampines serta pemimpin yang bijak.

STRATEGI PAP KURANG MENYENGAT

(Gambar: PAP)

Dr Nawab merasakan ada kekurangan dalam strategi kempen PAP untuk mendampingi pengundi dalam pilihan raya kali ini.

"Saya rasa dari segi dasar ataupun pendekatan strategi politik kempen PAP, saya rasa tidak ada satu strategi-strategi yang baik, tidak ada satu naratif yang kita lihat dikendalikan.

"Dari segi analisa saya sendiri, saya bingung siapa sebenarnya yang mungkin di bahagian di parti itu yang menjadi ketua, ataupun orang yang mengetengahkan kempen PAP itu. Pada mulanya kita melihat DPM Heng Swee Keat begitu aktif dan sebagainya, selepas itu kita lihat PM Lee lepas itu kita lihat SM Tharman Shanmugaratnam," kata Dr Nawab.

Dr Bilveer pula percaya, bahawa PAP mempunyai masalah berhubungan dengan para pengundi muda dan ini ditambah dengan isu laporan polis Cik Raeesah Khan yang dianggap golongan muda sebagai buli politik.

KEBANGKITAN PEMBANGKANG

Satu lagi faktor penting kata Dr Bilveer adalah "kebangkitan pembangkang".

"Kekuatan pembangkang bangkit. Mereka tidak fokus pada terlalu banyak kerusi tapi cara mereka bermain politik adalah "concentrated power". Kalau katakan Parti Pekerja menyasarkan 21 kerusi manakala sasaran PSP sebanyak 24 kerusi."

(Gambar: Marcus Mark Ramos)

Satu lagi menurut pemerhatian Dr Bilveer adalah persaingan hebat ke atas PAP.

"Suatu hal yang baru terjadi kali ini yang tidak pernah terjadi. Apa? Pertama kali PAP itu dibantai di timur dan barat. Itu tidak pernah diuji dalam lebih 50 tahun," kata beliau. 

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan