Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Kenaikan pangkat 3 AP Melayu beri bayangan kepimpinan pelapis 'sudah disediakan'

Kenaikan pangkat tiga Anggota Parlimen Melayu/Islam kepada jawatan Menteri Negara hingga Menteri penuh dalam kabinet terbaru, mencerminkan bayangan bahawa barisan kepimpinan pelapis bagi masyarakat Melayu tempatan "sudah disediakan".

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Kenaikan pangkat tiga Anggota Parlimen Melayu/Islam kepada jawatan Menteri Negara hingga Menteri penuh dalam kabinet terbaru, mencerminkan bayangan bahawa barisan kepimpinan pelapis bagi masyarakat Melayu tempatan "sudah disediakan".

Encik Zaqy Mohamad yang dinaikkan pangkat ke jawatan tersebut, setelah hanya dua tahun menyertai kabinet Perdana Menteri Lee Hsien Loong, juga dilihat sebagai "berpotensi" untuk mengambil alih kepimpinan masyarakat Melayu pada masa akan datang.

Demikian kupasan Zamil Kanan ISEAS - Institut Yusof Ishak, Dr Norshahril Saat, semasa diminta berkongsi penilaiannya terhadap rombakan terbaru kabinet yang diumumkan pada Sabtu (25 Jul).

Encik Zaqy, 45 tahun, dinaikkan pangkat kepada Menteri Negara Kanan di Kementerian Pertahanan (MINDEF) selain mengekalkan portfolionya sekarang dalam Kementerian Tenaga Manusia (MOM).

Dr Faishal Ibrahim pula dinaikkan pangkat kepada Menteri Negara dan diberi dua portfolio baru iaitu Kementerian Ehwal dalam Negeri (MHA) dan Kementerian Pembangunan Negara (MND).

Dr Mohd Maliki Osman, 55 tahun, yang memasuki politik hampir 20 tahun lalu, kini dinaikkan pangkat menjadi Menteri penuh. Ini menjadikan beliau sebaris dengan Encik Masagos Zulkifli yang menjadi Menteri penuh sejak 2015. Encik Masagos yang kini Menteri Bertanggungjawab bagi Ehwal Masyarakat Islam mula memasuki politik pada 2006.

"Menariknya adalah tentang kenaikan pangkat Encik Zaqy sebagai Menteri Negara Kanan. Ini menunjukkan beliau mungkin berpotensi untuk mengambil alih (kepimpinan Melayu) pada masa akan datang. Begitu juga Dr Faishal.

"Justeru kita melihat masa hadapan, dari segi masyarakat Melayu, barisan pelapis sudah tersedia," ulas Dr Norshahril.

Beliau juga mengalu-alukan langkah Pemerintah mengekalkan tradisi dua Menteri penuh dalam kabinet.

Kali pertama Kabinet mula mempunyai dua AP Melayu sebagai Menteri penuh adalah pada 2015 - Encik Masagos dan Dr Yaacob Ibrahim.

"Kita tentu sekali gembira dengan kembalinya dua menteri Melayu dalam satu masa. Saya lebih cenderung untuk melihat (pelantikan ini) dari sudut kepimpinan dan idea-idea baru yang mungkin boleh diketengahkan. Ini adalah satu permulaan yang baik, satu permulaan yang sihat," tambah Dr Norshahril.

Dr Maliki pada 27 Julai akan rasmi menjadi Menteri di Pejabat Perdana Menteri (PMO) dan juga Menteri Kedua Pendidikan (MOE) merangkap Ehwal Luar (MFA). Encik Masagos pula akan memimpin Kementerian Pembangunan Sosial dan Keluarga (MSF), serta menjadi Menteri Kedua Kementerian Kesihatan.

Kesemuanya kabinet baru Perdana Menteri Lee Hsien Loong bakal mempunyai enam penjawat politik Melayu/Islam.

Dua pelantikan baru adalah Encik Fahmi Aliman sebagai Datuk Bandar Daerah Tenggara dan Cik Rahayu Mahzam sebagai Setiausaha Parlimen dalam Kementerian Kesihatan.

"KEJUTAN" DALAM ROMBAKAN KABINET KALI INI

Diminta mengulas tentang kepimpinan 4G pula, Dr Norhshahril berkata beliau tidak melihat perubahan peralihan kuasa yang ketara. Namun ada satu perkara "signifikan".

Kabinet kali ini mempunyai satu Timbalan Perdana Menteri sahaja, sedangkan Perdana Menteri secara tradisinya melantik dua orang timbalan.

Timbalan Perdana Menteri Heng Swee Keat. (Gambar: Gaya Chandramohan)

"Sangat signifikan bagi saya adalah penamaan Encik Heng Swee Keat sebagai Timbalan Perdana Menteri. Ia menunjukkan beliau masih di hadapan untuk memimpin negara dan untuk mengambil alih Perdana Menteri."

Sebelum Encik Heng dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri (DPM), Encik Teo Chee Hean dan Encik Tharman Shanmugaratnam kedua-duanya menyandang jawatan DPM. Mereka melepaskan jawatan tersebut pada April tahun lalu tetapi kekal dalam kabinet sebagai Menteri Kanan.

KRISIS COVID-19 PERLU KEPIMPINAN TEGAS

Dalam rombakan kabinet kali ini juga, hanya enam dari 15 kementerian akan dipimpin menteri baru. Ini berbanding perubahan dalam 11 kementerian semasa rombakan Kabinet 2011.

Langkah ini, kata Dr Norshahril, menunjukkan PM Lee enggan mengambil risiko di tengah-tengah krisis COVID-19. Sebaliknya beliau memilih kesinambungan dalam kepimpinan yang sudahpun diyakini keberkesanannya.

"Apa yang boleh saya katakan ialah saya akan memimpin negara mengharungi krisis ini dan akan menyerahkan pucuk kepimpinan negara ini dalam keadaan yang kukuh dan mantap kepada pasukan seterusnya."

"(Beliau) mungkin mengambil langkah-langkah drastik kerana masalah ini boleh mencetuskan satu masalah ekonomi yang berskala besar. Justeru memerlukan kepimpinan yang tegas," kata Dr Norshahril.

"Dan masyarakat dunia kenal dengan kepimpinan yang ada di Singapura sejauh ini. Mereka mahukan kestabilan."

Meski tidak ada banyak peralihan kuasa, Dr Norshahril akur laluan tetap dibuka kepada muka-muka baru.

"Ada kepelbagaian dan saya fikir hasratnya adalah untuk mendengar pandangan-pandangan yang berbeza. Dengan kemasukan seperti Encik Tan See Leng, mungkin kerana pengalaman beliau dalam sektor korporat, beliau boleh mendengar masalah-masalah dari sektor tersebut dan memberikan satu huraian bagi cara menangani ekonomi secara menyeluruh. Itu mungkin pertimbangan Perdana Menteri," terang Dr Norshahril.

Barisan kabinet baru mempunyai 37 penjawat politik - sama seperti kabinet sebelum ini. 

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan