GE2020

Images
  • lim tean peoples voice party
    (Gambar: Facebook/Lim Tean)

Jawatan pengurus HR tidak sepatutnya disandang warga asing, kata ketua Parti Suara Rakyat

SINGAPURA: Jawatan sebagai pengurus sumber manusia (HR) di Singapura tidak seharusnya disandang oleh warga asing, kata ketua parti Suara Rakyat (PV) Lim Tean pada Selasa (30 Jun).

Encik Lim mengadakan ucapan secara maya menerusi Facebook Live di mana beliau bercakap tentang rancangan parti itu dan mengecam Parti Tindakan Rakyat (PAP) yang mentadbir.

"Jika PV menubuhkan sebuah pemerintah, saya ingin katakan bahawa jawatan pengurus sumber manusia tidak akan diberikan kepada warga asing," kata Encik Lim sambil menambah bahawa beliau pernah mendengar "kisah-kisah mengerikan" mengenai rakyat Singapura yang menghadiri sesi temu duga bersama dengan pengurus HR warga asing dan mereka melalui pengalaman yang "sangat menjatuhkan maruah mereka".

"Rakyat Singapura dilengkapi dengan kemahiran yang baik," katanya.

Meskipun warga asing dialu-alukan di Singapura, PV tidak akan membenarkan kepentingan warga asing itu menjangkaui kepentingan rakyat Singapura, tegas Encik Lim.

Semasa menyampaikan ucapannya itu, Encik Lim turut menggesa para pengundi supaya "berbincang dengan anggota keluarga mereka, sahabat handai (dan) saudara-mara" dan berkata beliau ingin pemerintah PAP "dipertanggungjawabkan".

Itulah sebabnya beliau memutuskan untuk memimpin "pasukan yang kuat" di GRC Jalan Besar bagi mencabar pasukan PAP yang diketuai oleh Menteri Tenaga Manusia Josephine Teo.

"Pilihan raya ini, terutama sekali di Jalan Besar, adalah mengenai Josephine Teo dan ketidakcekapan PAP," katanya, sambil menukil jawapan Cik Teo di Parlimen berhubung penularan COVID-19 di dormitori-dormitori pekerja asing dan "pemutus rantaian jangkitan COVID-19" yang menjejas banyak perniagaan dan pekerjaan.

"Josephine Teo berada di tengah-tengah medan perang di Jalan Besar, kerana bukan sahaja beliau melambangkan keangkuhan PAP, beliau juga satu-satunya menteri yang menyebabkan kita terjerumus ke dalam jurang ini, khususnya yang melibatkan COVID-19," katanya sambil menambah bahawa partinya sudah melakukan lawatan bertemu penduduk di Jalan Besar sejak Februari tahun lalu.

"Saya memutuskan untuk memimpin pasukan yang kuat bagi mencabar Josephine Teo dan pasukannya dari PAP di GRC Jalan Besar. Dan biar saya katakan: "Kami di sana bukan setakat untuk bertanding saja ... kami di sana untuk menang, dan kami yakin akan menang."

MENGHADIRI SESI PARLIMEN HARUS DIWAJIBKAN

Encik Lim turut berjanji bahawa setiap calon PV, jika dipilih, akan menghadiri setiap sidang Parlimen "kecuali jika mempunyai alasan yang munasabah" dan mengusulkan agar para Anggota Parlimen (AP) diwajibkan menghadirinya.

Menurutnya lagi, sidang parlimen yang gagal mendapatkan kehadiran penuh adalah "sesuatu yang memalukan."

Setiap anggota partinya yang dipilih "tidak akan dibenarkan ponteng sidang Parlimen" kecuali mereka tiada pilihan tetapi terpaksa berbuat demikian, kata Encik Lim, sambil mengatakan ia adalah "tanggungjawab" para AP untuk menghadiri setiap sidang Parlimen.

Ketua parti itu yang juga seorang peguam, berkata sidang Parlimen perlu disiarkan secara langsung, sambil menukil negara-negara lain yang mempunyai saluran televisyen khas untuk sidang Parlimen.

Beliau mengakhiri ucapannya dengan menyeru para pengundi supaya memberi peluang kepada pihak pembangkang semasa mengundi, sambil berkata negara ini tidak akan maju jika PAP "diberikan kuasa mutlak pada setiap pilihan raya", meskipun dengan adanya Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP).

Pada Isnin (29 Jun), anggota PAP Indranee Rajah menimbulkan isu itu semasa sidang media secara online, mengatakan kerusi NCMP, dinaikkan dari sembilan kepada 12 pada 2016 untuk memberi jaminan kepada pihak pembangkang bahawa mereka boleh menyuarakan pandangan mereka di Parlimen.

Namun Encik Lim menegaskan di Facebook bahawa hakikatnya "bilangan AP dipilih yang penting" semasa menubuhkan sesebuah Pemerintah.

"NCMP mungkin mempunyai hak mengundi, mereka mungkin diberikan apa-apa sahaja, hakikatnya mereka tetap lemah berdasarkan bilangan mereka yang tidak diambil kira semasa membentuk Pemerintah," katanya lagi.

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

- CNA/HA/ha

Top