Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Janil tegaskan Majlis Bandaran PRPG, AMK sedia buat peralihan bagi GRC Sengkang

Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan Dr Janil Puthucheary menegaskan Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol (PRPGTC) dan Ang Mo Kio (AMKTC) bersedia menjalankan peralihan yang lancar dengan Majlis Bandaran Sengkang (SKTC) sebaik sahaja ia sudah bersedia.

Anggaran Waktu Membaca:
Janil tegaskan Majlis Bandaran PRPG, AMK sedia buat peralihan bagi GRC Sengkang

Dr Janil Puthucheary menegaskan pihaknya bersedia menjalankan peralihan lancar dengan SKTC. (Gambar: Janil Puthucheary, He Ting Ru 何廷儒/Facebook)

SINGAPURA: Menteri Negara Kanan Perhubungan dan Penerangan Dr Janil Puthucheary menegaskan Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol (PRPGTC) dan Ang Mo Kio (AMKTC) bersedia menjalankan peralihan yang lancar dengan Majlis Bandaran Sengkang (SKTC) sebaik sahaja ia sudah bersedia.

Ini akan dilakukan demi kepentingan penduduk, kata Dr Janil menerusi catatan Facebook beliau pada Ahad (19 Jul).

Proses peralihan bagi GRC Sengkang yang baru sahaja dibentuk memerlukan pasukan yang memimpin untuk bekerjasama dengan dua Majlis Bandaran sedia ada - iaitu Majlis Bandaran Ang Mo Kio bagi Anchorvale, dan Majlis Bandaran Pasir Ris-Punggol bagi kawasan Punggol East dan Sengkang Central.

"Pasukan kami dan pengerusi dilantik PRPG dan AMKTC sudah bersedia untuk melakukannya sejak minggu lalu. Kontak awal kami adalah melalui individu yang tidak dilantik sebagai anggota SKTC, dan kami sudah meminta supaya perbincangan dijalankan dengan Pengerusi SKTC dan pasukan yang dilantik," tulis Dr Janil.

SALINAN KONTRAK URUS ESTET DISERAHKAN HARI INI

Menyentuh soal penyerahan salinan kontrak, Dr Janil berkata pihaknya sudah memaklumkan Cik He Ting Ru - ketua pasukan Parti Pekerja bagi GRC Sengkang - bahawa semua yang diperlukan akan diberikan kepadanya hari ini (20 Jul).

Anggota lain yang akan mengendalikan GRC itu termasuk Jamus Lim, Raeesah Khan dan Louis Chua.

Cik He sebelum ini mendakwa pihaknya perlu mengulangi permohonan bagi salinan kontrak khidmat-khidmat Pengurusan Ejen dan penggunaan sofwe Pengurusan Majlis Bandaran.

"Ada proses yang ditetapkan oleh Kementerian Pembangunan Negara bagi peralihan seperti ini, dan kami akan mempermudah semua ini untuk melancarkannya sebaik mungkin," jelas Dr Janil.

Beliau menambah, perkara ini sudah dibincangkan menerusi mesyuarat maya pada Jumaat (17 Jul).

"(Ia) diatur oleh Majlis Bandaran Aljunied-Hougang, dan dihadiri Cik He, Encik Chua, Cik Sylvia Lim, Encik Png Eng Huat dan seorang anggota kakitangan AHTC," kata Dr Janil lagi.

Isu peralihan akan dibincangkan secara lebih lanjut dan empat mata dalam satu mesyuarat pada Khamis (23 Jul).  

Sumber : BERITA Mediacorp/aq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan