Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Heng Swee Keat masuk gelanggang GRC East Coast petanda PAP pandang serius cabaran WP: Pritam Singh

Dengan penolong setiausaha agung pertama Parti Tindakan Rakyat Heng Swee Keat berpindah dari GRC Tampines untuk memimpin pasukan PAP yang akan bertanding di GRC East Coast, ia "memberikan isyarat penting" bahawa PAP memandang serius terhadap Parti Pekerja, kata setiausaha agung WP Pritam Singh.

Anggaran Waktu Membaca:
Heng Swee Keat masuk gelanggang GRC East Coast petanda PAP pandang serius cabaran WP: Pritam Singh

Ketua WP Pritam Singh dan Encik Dennis Tan bercakap dengan media pada 30 Jun 2020 (Gambar: Yong Jun Yuan/TODAY)

Diterbitkan : 30 Jun 2020 08:07PM Dikemas Kini : 30 Jun 2020 08:17PM

SINGAPURA: Dengan penolong setiausaha agung pertama Parti Tindakan Rakyat (PAP) Heng Swee Keat berpindah dari GRC Tampines untuk memimpin pasukan PAP yang akan bertanding di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) East Coast, ia "memberikan isyarat penting" bahawa PAP memandang serius terhadap Parti Pekerja (WP), kata setiausaha agung WP Pritam Singh.

Pada pagi Hari Penamaan Calon pada Selasa (30 Jun), PAP mengumumkan bahawa Encik Heng, yang mengetuai pasukan PAP di GRC Tampines, akan meninggalkan kawasan undi tersebut untuk bertanding di GRC East Coast.

Rakan-rakan sepasukan Encik Heng, 58 tahun, adalah Dr Maliki Osman, 54 dan Jessica Tan, 54; mantan AP Kawasan Undi Perseorangan(SMC) Fengshan Cheryl Chan, 44; dan calon baru Tan Kiat How, 43, mantan ketua eksekutif Lembaga Pembangunan Infokom Media.

Mereka akan bertarung dengan pasukan WP yang terdiri daripada mantan anggota Parti Perpaduan Nasional (NSP) Nicole Seah, 33; bekas penyelidik Abdul Shariff Aboo Kassim, 54; timbalan pengarah Persatuan Barah Singapura, Kenneth Foo, 42; peguam Terence Tan, 48; dan pengarah firma penasihat harta Dylan Ng, 45.

"Saya ingin katakan bahawa kami juga memandang serius terhadap pesaingan ini, itulah sebabnya kami membariskan calon-calon yang kuat di East Coast," kata Encik Pritam, pemimpin parti pembangkang terbesar di Singapura pada Selasa.

Menurut Encik Pritam, beliau menjangkakan GE kali ini, yang diadakan di tengah-tengah pandemik COVID-19, sengit kerana WP akan berdepan dengan lawan yang bukan saja "mempunyai sumber yang baik", tetapi juga berjuang dengan bersungguh-sungguh pada setiap pilihan raya.

Namun, beliau menekankan bahawa beliau juga menaruh "keyakinan penuh" terhadap pasukannya.

"Saya yakin mereka akan menunjukkan prestasi yang baik untuk Parti Pekerja," kata Encik Pritam. "Saya rasa mereka akan membuktikan kepada para pengundi bahawa mereka juga bukan calang-calang calon dan mereka juga bersedia untuk menegakkan kepentingan Singapura dan rakyat Singapura - bukan hanya di Parlimen, tetapi di kawasan undi dan di majlis bandaran mereka juga."

‘AWAS JANGAN TERPEDAYA’

Turut hadir bersama Encik Pritam adalah calon parti itu untuk SMC Hougang, Encik Dennis Tan, 49.

Mantan Ahli Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP), yang menyandang jawatan itu sejak 2015, turut menyentuh tentang batasan jawatan tersebut.

"Rakyat Singapura mesti berwaspada supaya tidak terpedaya dengan tanggapan bahawa seorang NCMP adalah penyelesaian untuk pembangkang alternatif," kata Encik Tan, yang akan berdepan dengan calon PAP Lee Hong Chuang, 50.

Pada Isnin, Cik Indranee Rajah dari PAP menarik perhatian bahawa skim NCMP menjamin sekurang-kurangnya 12 Anggota Parlimen pembangkang.

Jumlah itu dinaikkan dari sembilan pada 2016, semasa perlembagaan dipinda untuk memberi mereka hak mengundi yang sama dengan Anggota Parlimen penuh.

Walaupun Encik Tan bersetuju bahawa beliau dapat bersuara tentang pelbagai isu, beliau menegaskan jawatan itu menghalang anggota parti pembangkang daripada terlibat secara langsung di sesebuah kawasan undi.

Sebagai contoh, Encik Tan berkata bahawa beliau tidak dibenarkan untuk mengadakan acara di SMC Fengshan, di mana beliau kalah di tangan anggota PAP Cheryl Chan semasa GE2015.

Sebaliknya, belliau berkata bahawa di kawasan undi WP, calon PAP yang kalah dibenarkan untuk "menggunakan lebih banyak kemudahan" daripada WP.

Sekiranya rakyat Singapura terus percaya bahawa kedudukan NCMP adalah huraian kepada suara alternatif, Encik Tan berkata bahawa "besar kemungkinan" anggota parti pembangkang tidak akan dapat terlibat secara langsung dalam sesebuah kawasan undi kerana mereka tidak dibenarkan untuk berbuat demikian.

Ini hanya akan meningkatkan "kuasa majoriti" PAP di Parlimen, kata Encik Tan, dan ini boleh menimbulkan masalah kerana ia tidak akan memberikan para anggota parti pembangkang pengalaman politik yang mereka perlukan.

"Suatu hari ... jika PAP gagal atau menunjukkan prestasi yang sangat teruk, bagaimanakah parti lain akan mengambil alih sebagai pemerintah?" soal Encik Tan.

"Adakah Singapura mahu senario seperti itu? Ia akan membawa padah."


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : Today/TQ/tq
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan