Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

Hazel Poa dan Leong Mun Wai lepaskan jawatan kepimpinan PSP untuk tumpu tugas NCMP

Encik Leong Mun Wai dan Cik Hazel Poa daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), yang bakal menjadi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) akan melepaskan jawatan kepimpinan mereka dalam parti tersebut. Ini adalah supaya mereka boleh memberi tumpuan kepada tugas parlimen mereka.

Anggaran Waktu Membaca:
Hazel Poa dan Leong Mun Wai lepaskan jawatan kepimpinan PSP untuk tumpu tugas NCMP

(Gambar: TODAY)

Diterbitkan : 21 Jul 2020 09:50AM Dikemas Kini : 21 Jul 2020 10:01AM

SINGAPURA: Encik Leong Mun Wai dan Cik Hazel Poa daripada Parti Kemajuan Singapura (PSP), yang bakal menjadi Anggota Parlimen Tanpa Kawasan Undi (NCMP) akan melepaskan jawatan kepimpinan mereka dalam parti tersebut. Ini adalah supaya mereka boleh memberi tumpuan kepada tugas parlimen mereka.

Encik Leong, 60 tahun, akan melepaskan jawatan sebagai Penolong Setiausaha Agung parti sementara Cik Poa, 49 tahun, tidak lagi menyandang jawatan naib pengerusi, berkuat kuasa serta merta.

Bercakap kepada Mediacorp, Encik Leong mengesahkan bahawa Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) parti itu telah membuat keputusan ini.

"(Saya dan Cik Poa) diminta untuk meringankan tanggungjawab parti kami dan kami bersetuju sepenuhnya dengan aturan ini," kata beliau.

Encik Leong menambah bahawa beliau dan Cik Poa akan menjadi anggota biasa CEC parti itu.

Kami masih anggota CEC dan kami masih terlibat dalam pelbagai perkara, tetapi parti ini menganggap tugas parlimen sebagai sangat penting," katanya.

Cik Poa dan Encik Leong ialah sebahagian daripada pasukan lima anggota PSP yang bertanding bagi kerusi di Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) West Coast. Mereka kalah tipis kepada Parti Tindakan Rakyat (PAP) semasa Pilihan Raya Umum pada 10 Jul.

Mereka ditawarkan kerusi di Parlimen sebagai NCMP kerana pasukan GRC West Coast adalah calon pembangkang yang tewas dengan peratusan undi tertinggi semasa pilihan raya itu. PSP kemudian memutuskan bahawa mereka sepatutnya menerima dua kerusi yang ditawarkan di bawah skim NCMP, yang membenarkan 12 Anggota Parlimen pembangkang.

Encik Leong dan Cik Poa akan menyertai 10 Anggota Parlimen dipilih daripada Parti Pekerja, di Parlimen.

Dalam pesanan kepada para anggota PSP pada Ahad (19 Jul) yang dilihat oleh Mediacorp, setiausaha penganjur PSP Michael Chua berkata keputusan itu dibuat susuli mesyuarat CEC pada 17 Julai dan akan berkuat kuasa serta merta.

Dalam pesanan itu, Encik Chua berkata anggota CEC Francis Yuen, yang merupakan calon bagi GRC Choa Chu Kang dan mewakili PSP dalam perbahasan yang disiarkan di televisyen semasa kempen pilihan raya - akan mengambil alih jawatan Encik Leong, sementara jawatan naib pengerusi akan dibiarkan kosong buat masa ini.

"Encik Yuen akan merancang penyusunan semula parti bagi kedudukannya untuk masa depan dan memulakan proses memberikan peranan tanggungjawab kepada anggota-anggota lebih lebih muda," menurut pesanan itu.

Encik Leong berkata masih ada kerja yang perlu dilakukan di dalam parti dan juga sebagai persediaan apabila Parlimen bersidang.

"Bagi kedua-dua parti dan Parlimen, banyak yang kami perlu dilakukan demi memenuhi harapan para pengundi terhadap kami," tambah Encik Leong. "Oleh itu kami memandang serius semua perkara."

Beliau berkata bahawa beliau dan Cik Poa sedang melakukan banyak bacaan dan membuat persiapan pada masa ini."

Apabila ditanya tentang perasaan mereka menjadi NCMP, Encik Leong berkata: "Kami amat teruja, tetapi sudah pasti, tanggungjawabnya amat berat dan disebabkan itulah kami sedang mempersiapkan diri kami untuk peranan itu."

Pada Januari, PSP merombak semula kepimpinannya, kurang setahun selepas parti tersebut didaftarkan secara rasmi pada Mac tahun lalu. Ia diterajui oleh mantan AP PAP Dr Tan Cheng Bok, 80 tahun.

Semasa rombakan itu, Penolong Setiausaha Agung PSP Anthony Lee Yung Hwee, 40 tahun, digantikan oleh Encik Leong, dan Naib Pengerusi K S Singam, 82 tahun, digantikan oleh Cik Michelle Lee, 43 tahun. Cik Lee bertanding di GRC Holland Bukit Timah pada Pilihan Raya Umum 2011. Ketika itu, beliau menyertai Parti Demokratik Singapura (SDP).

Sekitar dua bulan kemudian, Cik Lee meninggalkan parti itu untuk menubuhkan sebuah lagi parti politik Red Dot United, yang mengosongkan jawatan naib pengerusi. Satu pengumuman tidak bertarikh di laman PSP kemudian mengumumkan Cik Poa, iaitu penolong bendaharinya, sebagai Naib Pengerusi baru PSP.

Cik Poa kemudian diperkenalkan sebagai calon PSP pada Jun untuk Pilihan Raya Umum tahun ini. Beliau pernah menjadi Setiausaha Agung Parti Perpaduan Singapura (NSP) dan bertanding di GRC Choa Chu Kang pada 2011.

Sumber : Today/AY/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan