Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GRC Tanjong Pagar saksikan persaingan antara PAP & PSP; Lee Hsien Yang tidak bertanding

Parti Kemajuan Singapura (PSP) akan mencabar Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi merebut GRC Tanjong Pagar setelah kedua-dua parti berjaya memfailkan borang pencalonan pada Selasa (30 Jun).

Anggaran Waktu Membaca:
Diterbitkan : 30 Jun 2020 04:52PM Dikemas Kini : 30 Jun 2020 09:22PM

SINGAPURA: Parti Kemajuan Singapura (PSP) akan mencabar Parti Tindakan Rakyat (PAP) bagi merebut GRC Tanjong Pagar setelah kedua-dua parti berjaya memfailkan borang pencalonan pada Selasa (30 Jun).

Pasukan dari PAP terdiri daripada Menteri Perdagangan dan Perusahaan Chan Chung Sing, Menteri Di Pejabat Perdana Menteri Indranee Rajah, Joan Pereira serta muka baru PAP iaitu eksekutif kanan LinkedIn Alvin Tan dan mantan pegawai perkhidmatan awam Eric Chua.

Bakal turun padang bagi PSP adalah setiausaha penganjurnya Michael Chua, eksekutif IT Harish Pillay, peguam Wendy Low, juruterbang Terence Soon dan jurulatih kanan keselamatan di tempat kerja Abas Kasmani.

Pada 2015, PAP bersaing dengan Parti Warga Diutamakan (SingFirst) yang sudah dibubarkan di Tanjong Pagar dan PAP menang 78 peratus undi. Ketua SingFirst Tan Jee Say, seorang bekas calon presiden, mengumumkan pada 25 Jun bahawa beliau akan membubarkan parti itu demi "perpaduan dan kerjasama pihak pembangkang".

Anggota PSP Lee Hsien Yang, iaitu adik kepada Perdana Menteri Lee Hsien Loong, bagaimanapun bukan sebahagian daripada pasukan PSP yang akan bertanding di Tanjong Pagar, sekali gus menamatkan spekulasi bahawa beliau mungkin ditampilkan di GRC lima anggota itu sebagai calon mengejut.

Encik Lee bagaimanapun, hadir bersama pasukan itu pada awal pagi tadi sedang mereka berkumpul di kedai kopi berdekatan sebelum menuju ke pusat penamaan calon.

Apabila ditanya mengenai hal itu, Encik Michael Chua berkata Encik Lee adalah "seorang rakan yang baik" kepada Dr Tan dan parti itu dan beliau juga merupakan penasihat kepada pasukan PSP di Tanjong Pagar.

"Beliau mahu kami berkongsi dan mempelajari daripadanya dari segi pengetahuan politik dan pemahaman proses politik," kata Encik Chua. "Oleh itu, beliau pastinya ingin bersama kami untuk memberikan sokongan moral. Dan beliau mahu menjadi pemangkin dalam proses politik."

Untuk melakukan demikian, Encik Chua berkata Encik Lee perlu menjadi anggota parti politik, namun tidak semestinya menjadi seorang calon.

"Beliau boleh memainkan peranan yang penting untuk membantu kami membawa perubahan kepada para pengundi, untuk mengubah model pemikiran para pengundi supaya mereka dapat melihat menjangkaui kelayakan para calon," katanya.

"Kami mencari para individu yang mempunyai belas ihsan dan semoga komitmen dan usaha kami dihargai oleh para pengundi dari Tanjong Pagar."

GRC Tanjong Pagar dianggap sebagai kubu kuat parti PAP, dengan mantan Perdana Menteri Lee Kuan Yew bertanding di kawasan undi itu dalam setiap pilihan raya dari 1955 hingga 2011.

Lebih 134,600 penduduk layak mengundi di kawasan undi tersebut.

Encik Chan Chun Sing berkata pasukan PAP akan melakukan yang terbaik untuk mendapatkan mandat daripada para penduduk, sambil mengatakan bahawa para penduduk mungkin sudah menyaksikan usaha yang dijalankan oleh pasukannya bagi kawasan undi itu selama bertahun-tahun.

"Kami benar-benar ingin terus bekerjasama dengan para penduduk Tanjong Pagar," katanya. "Jika anda lihat pada kami, kami mempunyai semangat yang bersatu padu dan hubungan yang rapat dengan para penduduk. Kami mahu pastikan kebajikan para penduduk dijaga dengan baik."

Namun, pasukan PSP mengalami kegenjotan pada saat-saat akhir apabila mereka terlupa untuk mengisi nama kawasan undi dalam borang pencalonan mereka.

Cik Indranee berkata pasukan PAP sedar akan hal itu semasa tempoh antara pukul 12.00 tengah hari dengan 12.30 tengah hari apabila parti-parti politik diberi peluang untuk meneliti borang pencalonan dan para calon tidak dibenarkan untuk membuat perubahan.

"Secara teknikal, kami berhak untuk membantah, tetapi memutuskan untuk tidak berbuat demikian," katanya.

Encik Chan dari PAP berkata pasukannya ternampak kesilapan teknikal itu dan "dengan segera" memaklumkannya kepada PSP.

"Kami ingin memberikan para penduduk Tanjong Pagar peluang untuk memberikan mandat yang kukuh kepada kami," katanya. "Jadi kami tidak mahu berlaku situasi di mana para penduduk tidak diberikan peluang untuk berbuat demikian semata-mata kerana satu kesilapan teknikal."

Calon PSP Encik Chua berkata kesilapan itu berlaku apabila salah seorang daripada penjamin parti itu menarik diri lalu mereka perlu mengisi borang yang baru.

Apabila ditanya tentang komen Encik Chan, Encik Chua berkata beliau juga mungkin ternampak satu kesilapan pada salah satu daripada borang PAP, merujuk kepada bagaimana pekerjaan calon dari PAP Eric Chua tertera sebagai "pegawai SCDF yang sudah bersara".

"Ia bukan satu pekerjaan," katanya. "Jika anda benar-benar ingin membincangkannya, ia sepatutnya pesara atau penganggur, bergantung kepada usianya."

Encik Michael Chua berkata demi semangat bersaing, PSP juga ingin memberikan Singapura dan para penduduk Tanjong Pagar pilihan antara dua "pasukan yang sangat baik".

"Ia bukan tentang kerja menulis, kerana pada akhirnya, ia adalah kad laporan untuk parti yang memerintah."

Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp 

Sumber : CNA/HA/ha
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan