Skip to main content

Iklan

Iklan

Singapura

GE2020: Proses pemilihan calon PAP berkesan; tuduhan ke atas Ivan Lim akan disiasat selepas pilihan raya, kata PM Lee

Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP)Lee Hsien Loong pada Isnin (29 Jun) melahirkan rasa yakin terhadap proses pemilihan calon parti itu dan mengingatkan agar jangan  mengamalkan budaya "menghakimi  melalui internet" calon-calon yang ditampilkan.

Anggaran Waktu Membaca:

SINGAPURA: Setiausaha Agung Parti Tindakan Rakyat (PAP)Lee Hsien Loong pada Isnin (29 Jun) melahirkan rasa yakin terhadap proses pemilihan calon parti itu dan mengingatkan agar jangan mengamalkan budaya "menghakimi melalui internet" calon-calon yang ditampilkan.

Beliau menambah PAP akan menyiasat tuduhan terhadap bekas calonnya Ivan Lim selepas Pilihan Raya Umum 10 Julai nanti.

Bercakap semasa sidang media maya untuk mengumumkan barisan calon PAP bagi Kawasan Undi Perwakilan Berkumpulan (GRC) Ang Mo Kio, Encik Lee berkata Encik Lim membuat keputusan yang betul untuk menarik diri dan tidak membiarkan kesnya menggangu tumpuan penting pilihan raya akan datang.

"Tetapi saya rasa perkara itu tidak harus berakhir begitu sahaja kerana kita tidak boleh membiarkan perkara serius seperti itu dilontarkan terhadap seseorang dan membiarkannya terus hidup dengan tanda tanya tersebut. Saya rasa itu tidak adil bagi Ivan,” kata Encik Lee.

"Ini menetapkan preseden yang sangat merosakkan bahawa anda boleh mengutuk seseorang dan menghapuskannya berdasarkan satu kempen internet. Kami tidak mempunyai masa untuk menyelesaikannya sekarang, tetapi kita tidak boleh sewenang-wenangnya memusnahkan kehidupan orang seperti itu, ”tambahnya.

"Jadi, selepas pilihan raya, PAP akan menyiasat tuduhan terhadap Ivan."

HAK LEE HSIEN YANG SELAKU RAKYAT S'PURA

Perdana Menteri juga ditanya mengenai kemungkinan, adiknya, Lee Hsien Yang bertanding dalam Pilihan Raya Umum setelah kini menjadi anggota Parti Kemajuan Singapura (PSP).

Menjawab, Encik Lee berkata Encik Lee Hsien Yang mempunyai hak untuk melakukannya selaku seorang rakyat Singapura.

"Pilihan Raya Umum ini bukan mengenai saya atau tentang mana-mana pertikaian keluarga yang melibatkan saya dan adik saya.

"Ia adalah tentang masa depan Singapura pada tempoh waktu paling sukar dalam sejarah. Apabila kita berdepan dengan krisis paling serius yang tidak pernah kita lihat sejak kemerdekaan - tentang kesihatan, pekerjaan dan masa depan, saya rasa kita harus beri tumpuan pada isu-isu besar itu," kata PM Lee.

Setelah menganggotai PSP secara rasmi minggu lalu, Encik Lee Hsien Yang terus rancak berkempen untuk parti itu, tetapi masih enggan mengesahkan sama ada beliau akan akhirnya bertanding sebagai calon.

Setiausaha Agung PSP Dr Tan Cheng Bock, pula berkata senarai calonnya masih boleh berubah sehingga Hari Penamaan Calon, esok (30 Jun).  


Muat turun aplikasi BERITAmediacorp bagi iOS atau Android dan langgani saluran Telegram kami bagi liputan terkini GE2020: https://t.me/BERITAmediacorp

Sumber : BERITA Mediacorp/fz
Anda suka apa yang anda baca? Ikuti perkembangan terkini dengan mengikuti kami di Facebook, Instagram, TikTok dan Telegram!

Ikuti perkembangan kami dan dapatkan Berita Terkini

Langgani buletin emel kami

Dengan mengklik hantar, saya bersetuju data peribadi saya boleh digunakan untuk menghantar artikel dari Berita, tawaran promosi dan juga untuk penyelidikan dan analisis.

Iklan

Lebih banyak artikel Berita

Iklan